suria

Zuriat belum nampak bayang, suami isteri ini ‘tebal telinga’ hadap soalan saudara-mara jauh masa raya... Lega famili sendiri faham

Pasangan ini berharap mereka juga dikurniakan zuriat suatu hari nanti.

KETIKA tibanya Aidilfitri, soalan cepumas tentang jodoh dan zuriat daripada sanak saudara pastinya menjadi igauan ngeri setiap individu.

Mungkin niatnya baik untuk bertanyakan khabar setelah lama tidak bersua, namun soalan-soalan sedemikian ada kalanya boleh menyebabkan seseorang itu terguris hati.

Begitulah perasaan yang dirasai Faizi Firdaus, 30, dan isterinya apabila sering ditanyakan bilakah mereka berdua akan menimang cahaya mata.

Faizi mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Siti Nabilah pada tahun 2020.

Bercerita kepada mStar, Faizi mengatakan dia dan isterinya sudah mendirikan rumah tangga selama tiga tahun tetapi kerana isu sakit puan mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan zuriat.

"Kami ada mencuba dalam dua tahun pertama perkahwinan kami tetapi tidak berhasil, jadi kami berjumpa dengan pakar sakit puan untuk lihat apa yang kami boleh lakukan.

"Rupanya isteri ada masalah Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) iaitu telur tak matang dan gangguan pada hormon wanita hingga menjejaskan kesuburan.

Ibu bapa saya cakap jangan fikirkan sangat, jangan stres sebab soal tzuriat ni kita tak boleh nak paksa.

FAIZI FIRDAUS

"Kami ada cuba berubat dengan doktor tapi setakat masa sekarang belum ada rezeki," kata Faizi yang menetap di Johor Bahru.

Menurut Faizi, rasa kesunyian itu dapat dirasakan dia dan isterinya ketika menyambut hari lebaran kerana mereka hanya berdua tatkala adik-beradik yang lain meriah dengan anak kecil.

"Keluarga belah saya, adik saya ada dua orang baru kahwin dan dua-dua dah dapat anak. Saya okay je kalau ikutkan tapi isteri saya selalu tertanya-tanya kenapa dia belum ada lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berdosa ke kalau tak balik beraya?” - Ibu asyik suruh pulang ke kampung, tak faham anak di kota ‘pening’ tak cukup bajet

ARTIKEL BERKAITAN: Suami lagak bujang balik raya sendirian, tahu-tahu dah sampai kampung! Isteri, anak dibiar lapar sambut Aidiladha

"Kalau belah isteri pula, ramai adik-beradik dia yang berkeluarga dah berseri dengan anak-anak. Kembar isteri pun tengah mengandung anak kedua, itu yang dia lagi sedih.

"Saya cakap dekat isteri tak apa, rezeki kita akan sampai, cuma cepat atau atau lambat je," ujar Faizi yang tahun ini pulang beraya ke Segamat, Johor.

Faizi walau bagaimanapun bersyukur kerana ibu bapanya dan mentuanya memahami situasi dia dan isterinya dan tidak meletakkan sebarang tekanan tambahan.

Faizi hanya mampu berharap ketika melihat adik-beradik dalam keluarganya sudah mempunyai anak.

"Ibu bapa saya cakap jangan fikirkan sangat, jangan stres sebab soal tentang zuriat ni kita tak boleh nak paksa. Orang lain ada yang lagi lama daripada kami tak dapat anak.

"Pedulikan apa orang nak cakap, ini hidup kita bukan hidup mereka. Ibu bapa mentua saya pula nasihatkan untuk ikut nasihat doktor.

"InsyaAllah ada sinar yang sedang menanti kami jika kami terus berusaha," jelas Faizi yang merupakan seorang jurutera di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.

Faizi dan isteri tetap bersabar ketika menerima soalan-soalan dari mereka yang di sekeliling.

Faizi mengatakan keluarga dekatnya memahami situasi yang dihadapinya dan soalan 'pedas' itu biasanya diajukan oleh saudara-mara jauh.

"Belum lagi ada anak lagi ke, soalan ni memang dah kerap singgah di telinga kami, biasanya saudara-mara yang suka tanya macam ni. Kami buat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

"Setiap kali raya, saya dengan isteri dah prepare skrip jawapan nak jawab macam mana. Biasanya kami akan bagi jawapan default kami iaitu belum ada rezeki.

"Tapi isteri saya biasalah perempuan, dia ada ambil hati sikit, saya sebagai suami kena mainkan peranan untuk bagi semangat dekat dia.

Keluarga terdekat memberikan sokongan penuh kerana memahami ujian yang dihadapi Faizi dan isterinya.

"Apabila kami tengok gambar raya yang lain, family ramai dan bahagia, saya dengan isteri masih berdua, rasa sedih tu mesti ada tak boleh nafikan," kata Faizi.

Berbicara mengenai adakah dia dan isterinya berkemungkinan mengambil anak angkat, Faizi mengatakan belum lagi setakat ini.

"Kami bekerja tak sama shift, isteri saya jururawat, kadang kami seminggu pun jumpa dua kali je. Saya tak rasa kami bersedia untuk ada anak angkat buat masa ni.

Walaupun masih belum mempunyai anak, Faizi dan isterinya tidak berasa tersisih dari keluarga mereka.

"Kami akan tunggu dulu untuk anak kami sendiri, kalau dah ditakdirkan untuk dapat zuriat nanti, kami akan fikir lain. Mungkin isteri saya akan berhenti kerja jadi housewife dan saya bekerja seorang.

"Buat masa sekarang concern tentang anak angkat bukan keutamaan kami. Minta tolong doakan kami boleh dapat anak suatu hari nanti apabila Tuhan izinkan," kata Faizi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain