suria

Dulu ayah garang menyinga, kini BFF anak bongsu... Momen gurau senda hari Jumaat sambil potong kuku, trim rambut buat ramai geli hati

Anak ini menghargai setiap saat yang terluang bersama ayahnya.

AIDILFITRI setiap tahun boleh menjadi yang terakhir disambut bersama yang tersayang.

Semua di dunia ini hanyalah pinjaman dan nikmatnya boleh diambil semula pada bila-bila masa tanpa kita sangka oleh sang Pencipta.

Demikianlah kisahnya untuk pemuda ini yang menyedari setiap saat bersama ibu bapanya adalah sangat berharga dan cuba memanfaatkannya sebaik mungkin.

Dalam satu video tular di TikTok, Farouk Sulaiman, 27, yang diuji dengan patah tulang belakang akibat jatuh pokok sanggup mengetepikan cita-cita di kota bagi menjaga orang tuanya di kampung.

"Ayah merupakan hero saya. Layanan saya dekat umi dan ayah saya sekarang akan mencerminkan bagaimana layanan anak-anak dekat saya di kemudian hari.

"Umur ayah saya dah 82 tahun, badan dia memang tak kuat dan perlu orang untuk bantu. Kalau dia jatuh terduduk atas lantai, dia tak boleh bangun sendiri, kena ada orang tolong angkat dia.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Drama raya’ penuh air mata! Syahdu, cucu berlari sambil meraung nampak datuk atas ‘wheelchair’ di hospital

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah tinggal beg tepi simpang, selinap masuk rumah... anak teruskan ‘tradisi’ buat kejutan balik beraya! Ibu tetap gagal hidu rancangan

"Umi saya pula umur sudah berusia 65 tahun. Mata kurang nampak sebab kencing manis, jalan pun teraba-raba dan nak sedia makanan tak mampu, sedih saya fikirkan. Sebab itu saya putuskan untuk duduk di kampung jaga umi dan ayah.

"Biar la apa nak jadi pun sebab saya percaya kalau kita buat baik dekat mak ayah kita, segalanya Allah akan jadikan cukup," kata Farouk yang menetap di Kampung Sulir, Segamat, Johor.

Cerita anak bongsu daripada sembilan orang adik-beradik itu lagi dia membuka perniagaan menjual kasut untuk menyara hidup.

Itu sebab dengan masa dan peluang yang ada sekarang, saya jaga mereka dengan seikhlas hati.

FAROUK SULAIMAN

"Kudrat badan saya tak ada la kuat mana selepas insiden jatuh pokok. sampai tulang belakang saya pecah, kejadian waktu tahun 2021. Dulu saya kerja electrician, sekarang saya jual kasut bundle di live TikTok.

"Dengan apa yang saya dapat daripada jual kasut ni boleh la saya tampung komitmen untuk bayar kereta semua. Bagusnya buat business ni ialah masa saya jadi fleksibel.

"Saya boleh lebihkan masa untuk jaga umi ayah saya. Sarapan dan makan tengah hari saya tolong belikan, nak pergi ke pasar kita boleh tolong bawa, pergi ke mana-mana pun kita teman. Tak ada la mereka seorang sahaja dan sunyi.

Farouk sentiasa memberikan yang terbaik dalam menjaga ayahnya.

"Adik-beradik lain ada juga balik jenguk umi ayah dan tolong apa yang boleh. Tapi dalam keadaan sekarang, Alhamdulillah saya yang lebih berkesempatan untuk jaga umi dan ayah," katanya.

Farouk mengatakan hari yang paling digeruninya adalah apabila ibu bapanya meninggalkannya buat selama-lamanya.

"Saya kerap baca tentang kisah bagaimana anak-anak sangat merindukan arwah ibu bapa mereka, rasa kekosongan yang tak akan mampu diisi semula. Dan perkara yang sama juga boleh terjadi dekat saya pada bila-bila masa.

Tulang belakang Farouk yang patah kerana terjatuh pokok.

"Ramadan tahun ini boleh menjadi yang terakhir saya bersama umi ayah. Syawal tahun ini, ia boleh menjadi yang terakhir dengan umi ayah saya. Segala-galanya boleh menjadi yang terakhir dengan umi ayah sebab kita tak akan pernah tahu.

"Itu sebabnya dengan masa dan peluang yang saya ada sekarang, saya sayangi umi ayah sepenuh hati, jaga mereka dengan seikhlas hati supaya saya tak menyesal nanti.

"Macam dalam video TikTok tu, tolong potongkan kuku kaki ayah dan cukurkan rambut ayah adalah apa yang saya selalu buat dengan dia. Dia tak dapat nak buat sendiri sebab tak sampai dan tak larat," kata Farouk.

Farouk mengatakan ketibaan Aidilfitri pastinya dinanti-nantikan kerana seluruh keluarga besarnya dapat berkumpul sekali.

Farouk bersama ayah dan uminya.

"Syukur persiapan untuk Aidilfitri semuanya berjalan lancar. Barang-barang cukup, adik-beradik ada tolong belikan. Kuih raya kita dah beli dekat Batu Pahat, Johor sana.

"Umi ayah pun happy rumah jadi meriah, biasanya ada saya dengan mereka je. Dan tahun ni special, kak long saya dari Australia yang biasa raya perantauan balik ke Malaysia.

"Sebab dia kahwin dengan orang sana dan family dia semua dekat sana. Harap dengan Aidilfitri ini kami dapat eratkan hubungan sesama adik-beradik," ujar Farouk.

Mengimbas kembali, Farouk mengatakan ayahnya merupakan seorang yang garang suatu masa dahulu tetapi barannya mula mereda apabila lanjut usia.

Farouk mula menjadi rapat setelah ayahnya meningkat usia.

"Ayah saya ni dulu Ya Allah garang dia, cakap la apa je tak pernah, semua jenis barang dia pernah campak dekat saya. Memang tak boleh melawan dia.

"Tapi itulah lumrah lelaki, walaupun kasar, itu sebenarnya ego dia, walaupun air mata dia tak pernah nampak keluar untuk kita, tapi dia sebenarnya sayang kita.

"Ayah saya apabila dah tua ni makin hilang taring. Dia jadi macam kanak-kanak dalam badan orang dewasa. Tapi kita tak boleh layan dia macam kanak-kanak. Kena pandai cara nak bercakap dengan dia dan tawan hati dia.

"Itu yang saya sekarang paling rapat dengan ayah, dia anggap saya macam kawan, boleh bergelak tawa sekali, saya boleh cium kepala ayah," kata Farouk menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain