suria

Aunty Purple bertukar kuning! Video transisi tukar baju raya guna kucing buat ramai kagum, terlebih kreatif!

Aunty Purple menggunakan kucing sebagai prop transisi penukaran baju pada Hari Raya.

SEBUT sahaja warna purple atau ungu, sudah pasti ada seorang pempengaruh media sosial atau TikToker terlintas di fikiran.

Auntie Purple atau nama sebenarnya Noor Suhaili Mohamed Amin cukup terkenal dengan warna kesukaannya itu sehingga lebih 80 peratus koleksi pakaian dan barangan rumahnya berwarna ungu.

Bukan sahaja inspirasi buat suri rumah lain, kebolehannya melakukan pelbagai jenis transisi menerusi suntingan video dengan sempurna apabila menggayakan banyak pakaian juga cukup mengagumkan warga maya.

ARTIKEL BERKAITAN: Boleh jadi ‘ungu mata hitamku’, video ‘30hari 30 purple’ trending di TikTok sepanjang Ramadan... Onde-onde pun tukar warna!

ARTIKEL BERKAITAN: Suami sporting layan minat isteri suka warna ungu! Hebat Auntie Purple editing ‘transition’ pun buat sendiri

Bagaimanapun sempena Hari Raya tahun ini, Aunty Purple terpaksa 'berpaling tadah' apabila perlu memakai baju raya berwarna kuning bagi mengikut tema yang ditetapkan oleh keluarga besarnya.

“Tahun ni keluarga besar pilih warna kuning cair sebagai tema baju raya. Suami dan anak-anak semua okay saja tak mengeluh. Tahun lepas saja saya berjaya 'pujuk' semua pakai purple.

Keluarga besar Aunty Purple.

“Kami memang kena patuh arahan keluarga besar. Kalau tak, nanti tak boleh beraya sama-sama,” ujarnya ketika dihubungi mStar.

Sebagaimana yang dilakukan setiap tahun, Aunty Purple tidak pernah mengecewakan pengikut-pengikutnya dengan kejutan transisi menakjubkan.

Wanita berusia 45 tahun yang memiliki sebuah keluarga besar terdiri daripada 65 orang kesemuanya berkata tahun ini dia mencari kelainan dalam transisi penukaran baju raya.

“Baju raya tahun ni keluarga saya hanya beli yang siap dan tidak membuat tempahan lebih awal. Yang penting semua pakai sedondon.

“InsyaAllah tahun ni saya tak nak buat transition sorang-sorang. Saya cuba libatkan semua ahli keluarga termasuk kucing saya dalam video.

Ahli keluarga Aunty Purple.

“Walaupun saya ada buat transition pakai baju raya sebagai cadangan kepada followers (pengikut) baru-baru ni tapi itu bukanlah pakaian Hari Raya saya,” katanya lagi.

Sebagaimana dijanjikan, Aunty Purple memuat naik video penukaran baju raya pada Hari Raya kedua bersama ahli keluarganya.

Dengan hanya menggunakan seekor kucing sebagai 'prop', aksi si bulus melintasi video untuk transisi penukaran baju raya kelihatan begitu gempak.

Video tersebut meraih lebih 4.2 juta jumlah tontonan di TikTok dan rata-rata netizen mengagumi video yang kelihatan begitu bersahaja.

Bercerita tentang Ramadan yang sudah meninggalkan kita, Aunty Purple yang memiliki lebih 800,000 jumlah pengikut masih meneruskan tradisi menyajikan menu 30 hari 30 purple dengan menggunakan tanda pagar #30hari30purple2.

Nak tonjolkan warna purple pada makanan pun susah sebab penerimaan penonton kali ni berbeza-beza.

NOOR SUHAILY

Malah, menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia tetap dengan tema menggunakan bahan berwarna ungu sebagai warna rasminya.

Mengakui ia bukan satu hal yang mudah, namun demi memberikan kandung terbaik buat para peminatnya sebagai tanda penghargaan, wanita ini berjaya menghasilkan kandungan tersebut tanpa gagal.

“Sambutan untuk video-video tu pun sedikit berkurang berbanding tahun lepas. Tapi segmen tu tetap ada peminat yang tersendiri membuatkan saya bersemangat untuk teruskan. Agak sukar untuk dapatkan idea nak jadikan makanan warna purple.

Aunty Purple meneruskan kandungan bulan puasa dengan menghasilkan 30 hari 30 purple.

“Untuk dapatkan bahan mentah berwarna ungu yang asli juga memang agak sukar. Nak tonjolkan warna purple pada makanan pun susah sebab penerimaan penonton kali ni berbeza-beza.

“Nak hasilkan video-video transisi menarik memang kena banyak effort. Editor masih sama saja macam dulu walaupun ramai puji editing makin smooth. Kadang-kadang saya sendiri, ada masa anak edit. Cuma mungkin kami lebih rajin explore cara editing yang baharu untuk upgrade lagi video,” ujarnya lagi.

Baginya yang juga pengasas butik pengantin di Gombak, sokongan daripada keluarga adalah perkara yang paling indah dalam hidupnya.

80 peratus barangan rumah Aunty Purple berwarna ungu.

Ujar Aunty Purple, koleksi perkakas mahupun hiasan rumah berwarna ungu sentiasa bertambah kerana anak-anaknya suka menghadiahkan barangan menepati warna kegemarannya terutama pada hari lahir.

Untuk rekod, perkongsian 30hari 30 purple edisi kedua yang dibuat sentiasa mendapat tontonan dan ada yang menjangkau jutaan tontonan di TikTok.

“Saya bersyukur sepanjangan bergiat aktif dalam dunia TikTok, macam-macam perubahan dan pengalaman baharu saya peroleh. Tapi semua tu tak mungkin terjadi tanpa sokongan orang di sekeliling dan pengikut.

“Di kesempatan ini saya nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan Batin kepada semua. Semoga hari raya ini lebih bermakna buat kita semua,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain