suria

Bagaikan terubat, pasangan belum dapat zuriat sambut raya dengan ‘anak’... siap masak sendiri juadah ayam rebus buat kucing terbiar

Pasangan ini memilih untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama kucing jalanan.

LAIN orang lain caranya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ada yang memilih untuk meraikannya bersama keluarga, malah antara lain lebih selesa menyambut Hari Raya di luar negara.

Bagi Nor Izyan Syahida Rosli, 28, dan suami, mereka meraikan Syawal kali ini bersama kucing-kucing jalanan.

"Kucing jalanan merupakan sebahagian daripada keluarga kecil kami. Jadi kami memilih untuk jadikan salah satu sambutan Hari Raya dengan memberi makanan istimewa pada mereka.

"Sejak berkahwin kami belum dikurniakan zuriat jadi anak-anak bulus jalanan ini kami anggap macam anak sendiri. Mereka 'penenang' buat kami," katanya ketika dihubungi mStar.

Memasuki usia perkahwinan tahun kedua, aktiviti memberi kucing makan sebenarnya merupakan rutin harian mereka sejak bercinta.

Dengan membelanjakan kira-kira RM420 bagi 20 ekor ayam mentah, pasangan ini menyediakan menu istimewa khas ayam rebus sebagai 'juadah' buat kucing jalanan sempena Hari Raya.

Izyan yang menetap di Kota Bharu, Kelantan berkata, dia dan suami mengagihkan makanan tersebut kepada haiwan jalanan di kawasan sekitar Pantai Cahaya Bulan dan Pasar Kedai Buloh.

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas bagi kucing makan baru fikir nak sahur... Suami isteri belum punya zuriat bahagia kongsi rezeki dengan kucing jalanan

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa suruh janji, kan dah 'kejung' merajuk! Pramugari bingung kucing marah baju raya tak sedondon - "Ni haiwan ke manusia?"

"Pada hari biasa kami sediakan makanan basah dalam tin dan makanan kering (kibbles) untuk kucing jalanan.

"Tapi sempena Hari Raya, kami masak sendiri ayam rebus supaya kucing jalanan dapat menikmati hidangan yang lebih sedap.

"Sambil beraya bersama keluarga, kami bagi anak-anak bulus ini makan. Saya bersyukur sangat suami banyak menyokong dan membantu," ujarnya lagi.

Izyan dan suami membelanjakan kira-kira RM420 untuk menjamu haiwan jalanan pada Hari Raya.

Bagi Izyan yang memiliki 67 ekor kucing dibela di rumah, dia tidak boleh hanya mendiamkan diri apabila melihat 'anak-anak'nya dalam kelaparan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Bercerita lanjut mengenai peruntukan dana untuk makanan harian kucing, Izyan menubuhkan satu organisasi yang dinamakan Tabung Kucing Jalanan PCB.

"Kucing-kucing terbiar tidak dipedulikan masyarakat. Tiada siapa yang peduli haiwan-haiwan ini lapar atau sakit. Ada yang kami temui kelaparan selama beberapa hari.

Kasihan membiarkan mereka mencari makanan sendiri. Hakikatnya mereka menderita hidup di luar.

NOR IZYAN SYAHIDA

"Sebagai pencinta haiwan, ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita semua untuk memberi makanan dan tidak membiarkannya mati kelaparan. Lebih-lebih pada bulan puasa banyak kedai-kedai tutup menyebabkan haiwan-haiwan ini susah cari makan.

"Selain dana sendiri, penyumbang-penyumbang di media sosial yang bermurah hati turut membantu berkongsi rezeki," katanya sambil menambah kos makanan harian berjumlah kira-kira RM250.

Walaupun menganggap usahanya hanya kecil, namun Izyan berharap agar lebih ramai insan di luar sana mengambil peluang untuk berbakti kepada haiwan jalanan yang terbiar ini.

Pada masa sama, dia juga berdoa agar populasi kucing jalanan akan berkurangan dengan harapan masyarakat tidak sewenang-wenangnya membuang haiwan-haiwan ini sesuka hati.

Pasangan ini menganggap kucing-kucing jalanan seperti anak sendiri.

"Besar harapan saya jika populasi kucing-kucing jalanan dapat dikurangkan. Kasihan apabila kita membiarkan mereka mencari makanan sendiri. Hakikatnya mereka menderita hidup di luar.

"Terpaksa mencari makanan dalam tong sampah dan meminta simpati daripada pelanggan-pelanggan di kedai makan. Kadang-kadang tidak ada langsung makanan sehingga mati kelaparan. Oleh itu berhentilah membuang kucing anda diluar lagi-lagi anak kucing yang masih kecil sehingga mati dilanggar dan sebagainya.

"Harapan saya juga agar pihak berkuasa dapat membanteras orang-orang yang membuang kucing kerana ia merupakan kesalahan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015. Tangkaplah mereka dan kenakan denda yang setimpal serta menjadikannya sebagai pengajaran," ujar Izyan lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain