suria

Poket tak cukup tebal, lelaki ini malu balik beraya rumah mentua tangan kosong... Mujur pandai buat brownies!

Lelaki ini dan pasangannya menyambut Aidilfitri dengan cara yang bersederhana.

AIDILFITRI membawa maksud kemenangan untuk umat Islam setelah selesai mengharungi Ramadan dengan jayanya

Ramai yang mengambil kesempatan ini untuk berkumpul bersama keluarga dan menyambut hari lebaran penuh kemeriahan.

Namun seperti ungkapan kita berada di lautan yang sama tetapi dalam kapal berbeza, ada juga yang meraikan Syawal secara bersederhana kerana kekangan tertentu.

Pasangan suami isteri ini tidak memandang kemewahan sebagai sumber kebahagiaan.

Begitulah kisahnya untuk Raja Muhammad Mursyid, 27, yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya pada Disember 2022 dan sangat bersyukur kerana mendapat pasangan yang memahami.

"Isteri saya kerja sektor makanan dan minuman (F&B). Untuk Ramadan kami yang pertama, boleh kira beberapa kali saja kami sempat berbuka puasa bersama-sama.

"Saya pula sibuk uruskan perusahaan home cafe yang dibuka di depan rumah kami, beroperasi pada sebelah malam. Isteri biasanya balik lewat malam dan saya pula tengah jaga kedai waktu tu.

ARTIKEL BERKAITAN: Belum raya, 7,000 ketupat berkulat dulu! Tiada rezeki walau seharian menganyam sejak awal puasa, 20 tahun pengalaman tetap diuji

ARTIKEL BERKAITAN: Mentua pilih bulu, lebihkan cucu lain siap belikan baju raya... Menantu wanita dah terasa hati, asyik disuruh jadi ‘photographer’ gambar famili

"Kadang-kadang saya rasa sedih apabila tengok batchmate sekolah yang baru kahwin. Nampak mereka ada banyak masa dengan isteri. Pergi dengan isteri ke restoran special untuk berbuka.

"Memang timbul rasa teringin nak ada momen berharga macam tu dengan isteri. Tapi memandangkan masa kami yang terbatas, kami sering berbuka puasa berasingan. Isteri di tempat kerja, saya di kedai," kata Raja Mursyid.

Namun kata Raja Mursyid, ketika ada sedikit kelapangan waktu dia sempat beberapa kali membawa isterinya berbuka puasa di restoran secara bersederhana.

Satu hari nanti, masa kita akan sampai juga, peluang untuk kita mampu membahagiakan orang di sekeliling kita.

RAJA MURSYID

"Waktu kami cuti, saya ada ajak isteri keluar dan berbuka puasa di McDonald's. Sebenarnya saya teringin nak bawa dia berbuka puasa tempat makan yang lebih menarik tapi itulah... belum ada rezeki.

"Sebabkan saya punya perniagaan tak besar sangat buat masa ni, jadi ada sedikit kekangan kewangan. Kena fikirkan persiapan raya dan ini kali pertama saya beraya dengan keluarga isteri, banyak perlukan duit.

"Saya rasa tersentuh hati sebab nampak isteri tak marah atau merungut, dia hargai momen kami berbuka puasa sekali di McDonald's," kata Raja Mursyid yang pernah menjadi juruaudit selama empat tahun.

Raja Mursyid dan isterinya berbuka puasa di McDonald's.

Bercakap mengenai sambutan Aidilfitri, Raja Mursyid mengatakan dia dan isterinya hanya menyambut ala kadar dengan apa yang termampu.

"Saya balik kampung belah Isteri di Jeram, Kuala Selangor. Raya pertama je di sana sebab raya yang seterusnya isteri dah mula bekerja semula.

"Sebagai lelaki, kita nak yang terbaik untuk keluarga. Apabila tengok kawan-kawan di media sosial, kita happy sebab nampak mereka mampu beli kereta baharu untuk raya, persiapan raya lengkap, dapat balik raya lama dengan family.

Raja Mursyid akan memberikan segalanya untuk menggembirakan hati isterinya.

"Itu satu rezeki Alhamdulillah. Jauh di sudut hati, kita pun teringin nak ada benda yang sama untuk keluarga kita cuma mungkin belum sampai waktu lagi. Buat masa sekarang kita raya dulu dengan apa yang kita ada.

"Satu hari nanti, masa kita akan sampai juga, peluang untuk kita mampu membahagiakan orang di sekeliling kita," kata Raja Mursyid yang menetap di Kampung Sungai Mulia Gombak, Kuala Lumpur.

Walaupun begitu, Raja Mursyid tidak pulang ke kampung mentuanya dengan tangan kosong kerana dia ada membawa bersama biskut raya dan brownies yang dihasilkannya sendiri.

Home cafe yang dibuka di halaman rumah Raja Mursyid.

"Saya memang minat bidang kulinari dan itu one of the reason juga saya buka home cafe.

"Untuk raya ni saya ada bake some cakes, biscuits dan brownies untuk bawa balik kampung. Bagi semua dapat merasa," ujar Raja Mursyid.

Berkongsikan sedikit mengenai home cafe yang diusahakannya, Raja Mursyid mengatakan hidangan yang menjadi identiti gerainya adalah nasi lemak basmathi ayam berempah.

Mi rebus dan nasi lemak basmathi ayam berempah antara menu utama.

"Home cafe saya ni nama dia Triplets Cakery. Konsep dia ialah untuk jual makanan orang muda dalam kawasan kampung seperti coffee, pastries, desserts, sup kambing, bihun sup dan mi rebus.

"Buka setiap hari kecuali Jumaat, pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.

"Kafe ni saya sasarkan kepada orang yang kerja di Kuala Lumpur, selepas keluar pejabat, boleh datang ke sini, tempat yang tenang dan sunyi sambil minum kopi, lepak dengan kawan," kata Raja Mursyid menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain