suria

Seronok beraya bertukar tragedi... Luruh jantung tengok kesayangan terbujur kaku, wanita masih trauma kucing jatuh dari tingkat 4

Kematian kucing bernama Lucy memberi kesan dalam hidup Sueha.

LULUH hati seorang wanita menyaksikan kucing kesayangan mati akibat terjatuh dari kediamannya.

Insiden tragis yang melibatkan si bulus bernama Lucy ternyata memberi kesan yang mendalam kepada pemiliknya, Siti Nasuha Sarmin, 26.

Berkongsi cerita kepada mStar, gadis yang lebih mesra disapa Sueha berkata, kejadian berlaku pada 1 Syawal ketika dia keluar pergi beraya.

ARTIKEL BERKAITAN: Luluh hati tengok kucing nazak depan mata, 8 ekor mati serentak... Penduduk dakwa jiran warga Singapura jadi dalang, ada sejarah benci si bulus

ARTIKEL BERKAITAN: “Setiap hari saya tunggu...” - Lima kucing ghaib dalam masa seminggu, wanita syak ada sesuatu yang tak kena

"Pagi raya tu saya berbelah bahagi nak bawa Lucy keluar beraya. Biasanya memang saya bawa dia ke butik sebelum ni sebab dia suka mengikut.

"Tapi disebabkan cuaca terlalu panas sekarang, saya pun tinggalkan saja Lucy di rumah.

"Sebelum keluar memang nampak muka dia sedih sangat tapi tak ada pilihan sebab risau dia tak tahan cuaca di luar terlalu panas," katanya yang mengusahakan butik.

Mengimbas kembali peristiwa hitam itu, Sueha bertolak dari rumahnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang seawal pukul 9 pagi untuk ke kediaman ibu bapanya juga di negeri sama.

Sueha sering membawa Lucy bersiar-siar.

Menurut Sueha, kucingnya berwarna oren itu kurang gemar untuk tinggal di dalam sangkar, maka dia membiarkanya bebas di rumah sewaktu ketiadaannya.

"Saya tinggalkan Lucy dekat ruang tamu rumah sebab dia memang tak suka terkurung dalam sangkar. Saya biarkan dia berada bebas dalam rumah.

Sueha menjaga Lucy sejak lapan bulan lalu.

"Masa nak keluar rumah agak kelam kabut sikit. Saya rasa balkoni memang tak berkunci dan Lucy pula pandai buka sendiri sebab pintu bilik pun dia pandai buka. Tapi sebelum keluar rumah memang saya pastikan semua pintu bertutup rapat.

"Malam tu pukul 11 saya balik ke rumah selepas seharian beraya bersama keluarga. Saya tengok Lucy tak ada. Selalunya dia akan sambut saya dengan tunggu depan pintu," ujarnya yang membela kucing itu sejak lapan bulan lalu.

Ketiadaan kucing kesayangan bagi menyambut kepulangannya di pintu rumah mencetuskan tanda tanya sebelum Sueha melakukan pencarian.

Lebih menghairankan apabila bekas makanan yang ditinggalkan juga tidak terusik. oleh kucing yang dibelanya sejak lapan bulan lalu.

Memang sedih tapi siapa kita nak salahkan takdir

SITI NASUHA

"Pada mulanya saya ingatkan Lucy merajuk sebab tak pernah-pernah dia tak tunggu saya depan pintu. Masa tu rasa dah pelik tapi tak syak apa-apa lagi.

"Saya kemudian tergerak hati nak tengok luar rumah. Bila saya tengok ke bawah, ya Allah... nak luruh jantung tengok Lucy terbaring tak bergerak di lantai. Dia jatuh dari tingkat 4.

"Mungkin kejadian berlaku pada waktu pagi kerana bangkainya dah keras sewaktu ditemukan," kata Suea dengan nada kesal.

Walaupun sedih, Sueha cuba mengumpul kekuatan bagi membawa bangkai kucing ke rumah ibu bapanya untuk dikebumikan.

Sueha masih bersedih dengan kematian kucing kesayangan.

Mengakui masih trauma, Sueha berharap kisah kematian kucingnya dijadikan sebagai pengajaran kepada semua pemilik haiwan peliharaan itu.

"Lucy memang buas tapi dia kucing yang jinak dengan semua orang. Famili saya pun terkesan lepas kematian Lucy.

"Memang sedih tapi siapa kita nak salahkan takdir. Jagalah sebaik mungkin pun, kalau Allah nak ambil balik, memang kita kena reda. Dia pinjamkan sekejap saja pun dah bersyukur sangat.

"Nasihat saya, sesiapa yang bela kucing di kawasan kediaman bertingkat kena ada keselamatan tambahan. Sebabnya kucing memang akan cari benda untuk bermain dan tak sedar bahaya di sekeliling," jelas Sueha menitipkan pesanan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain