suria

Terbaik... atuk gagah bergayut di dahan, cucu-cucu tengok dari bawah! Anak sahkan ‘bukan AI, real punya’

Seorang datuk bergayut pada dahan pokok sambil diperhatikan cucu-cucu.

"HIPER benar atuknya."

Biarpun sudah bergelar datuk, nampaknya stamina seorang lelaki warga emas ini seperti anak muda.

Mana tidaknya, menerusi satu video yang tular, dia begitu gagah bergayut pada dahan sebatang pokok sambil diperhatikan oleh cucu-cucu yang sedang duduk di kerusi.

Anak kepada lelaki warga emas itu, Siti Nur Farzana Mohammad berkata, video tersebut dirakamkan ketika berada di kawasan rumah bapanya di Kota Bharu, Kelantan.

Lebih mesra disapa Farzana, katanya, bapanya, Mohammad Mohd Amin yang berusia 72 tahun bukan sekadar suka-suka bergayut pada dahan pokok ceri itu.

"Ayah bersama anak saudara saya berusia 11 tahun dan sepupu berumur lapan tahun. Mereka selalu bermain di kawasan situ.

"Ketika itu ayah sedang 'testing' ketahanan dahan pokok ceri sebab dia nak buat buaian di situ. Ayah bergayut untuk pastikan dahan tu kuat dan tak patah," katanya kepada mStar.

Bapa Farzana suka melayan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, Farzana yang berusia 28 tahun memberitahu, buaian yang bakal dibina pada pokok ceri itu juga adalah kehendak bapanya sendiri, atas permintaan cucu-cucu.

ARTIKEL BERKAITAN: Riuh sekampung! Atuk serba tak kena urus lima kembar serentak... Seorang nak susu, ada juga menangis ajak main

ARTIKEL BERKAITAN: Apa sudah jadi? Askar garang akhirnya berjaya 'ditewaskan' tiga tentera kecil... anak dedah bapa seronok sangat layan cucu sampai pitam!

"Ayah kata buaian tu untuk cucu-cucu bermain apabila mereka balik ke kampung. Ayah memang suka DIY (buat sendiri) untuk kemudahan anak-anak dan cucu-cucu bersantai.

"Meja dan kerusi kayu di sebelah pokok tu juga ayah yang buat sendiri. Ayah memang suka melayan cucu-cucu dia," ujarnya yang berasal dari Kota Bharu.

Selain berkebun, bapa Farzana suka bertukang.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, selain menyukai kanak-kanak, bapanya yang sebelum ini berniaga kain batik juga periang dan suka bergurau.

"Ayah juga selalu buat perkara pelik-pelik. Ayah ni nakal, dia pernah buat prank masa hari jadi saya dengan letak labah-labah hidup dalam kotak. Saya terkejut dan lempar kotak tu.

"Dia tahu saya geli dengan binatang seperti cicak dan labah-labah, jadi gurauan itu dibuat sebagai kejutan. Tapi itulah karakter ayah seorang yang suka bergurau dan happy-go-lucky," katanya sambil menambah bapanya kini mempunyai lima cucu.

Walaupun meniti usia emas, bapa Farzana mempunyai stamina yang kuat.

Walaupun meniti usia emas, Farzana mengakui stamina bapanya tidak seperti mereka yang seusia dengannya.

"Ayah sangat menitikberatkan pemakanan, dia akan ambil minuman dan makanan kurang garam dan kurang manis.

"Rutin pagi dia adalah berkebun di kebun pisang selain bermain dengan kucing-kucing. Ayah seorang pencinta haiwan.

"Kalau dengan cucu-cucu, selain rajin membawa mereka bersiar-siar dengan menunggang basikal, ayah akan buat mainan robok menggunakan kotak terpakai," ujarnya lagi.

Bapa Farzana memegang pek kerepek pisang di kebun.

Farzana yang berniaga kerepek pisang berkata, video ‘bapanya bergayut’ dan mencecah lebih 800,000 tontonan di TikTok itu membuatkan netizen menyangka ia adalah hasil kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

"Mereka ingat video tu macam tular gambar nenek dan datuk yang main skateboard (papan luncur) hasil ciptaan AI.

"Tapi itu adalah ayah saya yang sebenar, seorang atuk berusia 72 tahun yang bergayut macam budak nakal di dahan pokok, bukan AI... real punya," katanya secara berseloroh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain