suria

Campak-campak siap! Wanita kongsi idea ‘pack’ bahan masak ikut menu, senang nak ‘bersilat’ di dapur lepas kerja

Bahan masakan sudah diperap dan disiapkan lebih awal untuk memudahkan tugas memasak.

TUGAS memasak sememangnya menyeronokkan dan ada kalanya menjadi terapi buat suri rumah.

Lebih-lebih lagi apabila melihat ahli keluarga gembira menikmati sajian yang dimasak sehingga 'licin', ia ibarat memberi satu kepuasan kerana dapat menyediakan air tangan sendiri.

Namun tidak dinafikan, kadang kala timbul juga perasaan malas memasak kerana perlu mengambil masa untuk menyediakan bahan-bahan masakan.

Begitulah juga dengan situasi yang dialami oleh wanita ini.

Dek kerana kesibukan bekerja dan ada kalanya tiba di rumah pada waktu malam, dia mengambil masa yang agak lama untuk menyediakan hidangan makan malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Meriah meja! Keluarga pemandu treler hari-hari makan sedap... bukan kaya tapi bijak berbelanja, jimat sampai boleh beli emas

ARTIKEL BERKAITAN: Rajin sangat memasak, pegawai bank pemalu dapat gelaran ‘housemate kiriman Tuhan’ - “Minta masakan apa pun mesti dia boleh buat”

Justeru, timbul idea untuk dia menyediakan bahan-bahan masakan lebih awal dan mengasingkannya di dalam bekas siap-siap mengikut jenis menu yang diinginkan.

"Saya bekerja di sebuah syarikat kontraktor enam hari seminggu iaitu Isnin sehingga Sabtu. Apabila balik kerja dah penat, lepas tu nak memasak lagi.

"Waktu tahun pertama kahwin, saya hanya potong siap-siap seperti bawang, sayur, bahan basah. Tapi kemudian pening pula nak masak menu apa.

PREP 3

Nadia membuat inisiatif perapan makanan untuk memudahkan tugasnya sebagai seorang isteri di dapur.

"Jadi datang idea untuk siapkan bahan masakan secara set. Saya potong dan sediakan bahan masakan mengikut set menu dalam bekas yang sudah dilabel contohnya set tomyam, set daging goreng kunyit dan sebagainya.

"Balik kerja, saya tinggal keluarkan saja dan masak. Bahan basah tak ambil masa lama nak defrost (nyah beku) sebab dah diasingkan dalam portion kecil," ujar wanita bernama Nadia Rusllan ini kepada mStar.

Wanita berusia 28 tahun ini berkata, sejak memulakan inisiatif tersebut setahun yang lalu, tugas memasak bukan sahaja menjimatkan masa malah perbelanjaan bulanan juga dapat dikurangkan.

"Apabila buat inisiatif macam ni, secara tak langsung kita akan jadi rajin memasak. Saya sendiri hari-hari memasak... jadi kuranglah makan dekat luar," ujarnya yang mendirikan rumah tangga dua tahun lalu.

Apabila buat inisiatif macam ni, secara tak langsung kita akan jadi rajin memasak.

NADIA RUSLLAN

Menurut Nadia, dia akan menyediakan set bahan masakan untuk tempoh seminggu sehingga dua minggu.

Terdapat kira-kira 10 hingga 15 jenis menu yang akan disiapkan seperti siakap stim, singgang daging, daging goreng kunyit, sup ayam dan lain-lain lagi.

"Biasanya selepas balik kerja pada Sabtu, saya akan beli barang. Pagi esoknya saya akan mula memotong dan mengasingkan bahan-bahan ikut menu. Nampak macam banyak, tapi biasanya dua jam saja saya buat.

"Buat sambil-sambil tengok televisyen, jadi tak terasa boring pun. Ada yang tanya dekat komen, tak rosak ke? Saya hanya buat untuk tempoh seminggu hingga dua minggu, jadi tak timbul isu kulat atau sayur rosak.

"Tapi ada juga kata, ia bergantung kepada jenama peti sejuk sebab ada sesetengahnya dicipta dengan sistem tertentu bagi elakkan pertumbuhan kulat.

PREP 2

Hidangan yang disediakan Nadia mampu disiapkan lebih pantas selepas mencuba inisiatif berkenaan.

"Ada yang tanya, muat tak peti ais... siap nak tengok macam mana saya susun. Saya guna peti ais dua pintu 252 liter saja, tapi muat," terang wanita yang menetap di Butterworth, Pulau Pinang ini lagi.

Tidak menyangka perkongsian videonya di aplikasi TikTok meraih sehingga melebihi 260,000 jumlah tontonan, Nadia berkata dia hanya sekadar berkongsi cara tersendiri untuk memudahkan tugas memasak.

"Ada antara wanita yang jadi malas masak sebab ambil masa lama. Jadi niat saya berkongsi tu untuk berkongsi idea. Senang cerita, tak ada lagi alasan untuk tidak memasak.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sebab posting tu bagi inspirasi. Ada yang minta resepi, ada yang tanya macam mana nak mulakan. Senang saja, anda buat list menu yang nak dimasak dan list bahan yang diperlukan. Jadi nanti senanglah beli barang dekat pasar.

"Ada yang tanya juga, macam mana boleh rajin? Sebenarnya, kena rajin sebab nak mudahkan diri sendiri, jimatkan masa dan belanja," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain