suria

Cium-cium dulu kemudian terus peluk... Wanita hidap Tourette kongsi cara jaga bayi, menakjubkan ‘tics’ terus hilang

Wanita ini sering melakukan pergerakan berulang kerana tics yang dialaminya.

PERGERAKAN mahupun pertuturan yang terjadi dengan sendiri membuatkan masyarakat tertanya-tanya bagaimana penghidap sindrom Tourrete khususnya kaum hawa mengendalikan tugasan harian.

Tidak kurang juga yang ingin mengetahui keadaan wanita Tourrete ketika hamil, melahirkan serta menjaga bayi yang baru dilahirkan.

Dengan gerakan dan pertuturan yang berlaku tanpa dapat dikawal, pasti ramai yang membayangkan perkara buruk akan berlaku terutama sekali ketika mengendalikan bayi mahupun senjata tajam.

Sering diasak dengan persoalan seperti itu, Nursyakina Mohd Shah tampil berkongsikan pengalamannya.

Malah dia mengakui mengalami tik (tics) semasa proses melahirkan, namun ia tidaklah sekuat gerakan atau bunyi yang dihasilkan sepanjang hari.

"Stres semasa sakit kontraksi membuatkan saya mengalami pelbagai jenis tics dan ia berlaku dengan kuat.

"Tapi apabila bergerak ke ruangan bersalin dan hampir melahirkan, tics berkurangan kerana fokus dah beralih kepada sakit untuk bersalin," ujarnya yang melahirkan anak ketiga secara normal pada Februari lalu.

Sebagai makluman, sindrom Tourette merupakan sejenis penyakit neurologi dan selalunya bermula dengan gejala tik.

Tia membawa anak kecilnya mandi kolam.

Tia beriadah bersama anak kecilnya.

Tik ialah pergerakan yang tidak boleh dikawal dan keadaan itu berlaku secara tiba-tiba serta berulang, namun hanya sekejap pada peringkat awal kerana keadaan boleh menjadi semakin teruk dan melibatkan lebih daripada satu pergerakan dan anggota badan.

Meskipun sudah mempunyai dua cahaya mata sebelum ini, Nursyakina yang mesra disapa Tia tetap mengalami kesukaran untuk mengurus dan mengendalikan bayi.

Tambahan pula simptom yang dialaminya berkait rapat dengan gangguan obsesif kompulsif (OCD).

"Untuk jaga bayi ada yang saya rasa susah... macam nak pakaikan lampin pakai buang. Sebab tics ni kadang-kadang berkait dengan OCD.

ARTIKEL BERKAITAN: Dibuli sejak kecil, perkahwinan musnah! Wanita hanya sedar hidap tourette ketika usia 24 tahun selepas bakal suami sedar pergerakan pelik

ARTIKEL BERKAITAN: Panik! Bayangkan tiba-tiba gagap, tersedu-sedu sampaikan tak dapat kawal maki hamun... remaja aktif TikTok kesal dituduh pura-pura sakit

"Saya pakaikan baby dengan lampin jenis berpelekat dan semestinya semasa nak pakaikan tu, dia akan bergerak-gerak. Itu membuatkan saya terpaksa berulang kali buka dan lekatkan semula pelekatnya.

"Kadang-kadang sampai lima kali saya lakukan perkara yang sama," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Untuk rekod, kisah Tia dengan sindrom Tourrete pernah mendapat liputan mStar pada Mei tahun lalu.

Pada ketika itu Tia berkongsi cerita menjadi mangsa buli selain perkahwinan pertamanya musnah hanya kerana dia menghidap Tourrete.

Mendukung bayi adalah terapi untuk saya hilangkan tics.

NURSYAKINA MOHD SHAH

Berkongsi lanjut tentang bagaimana dia menguruskan anak-anak, Tia berkata dia tidak mengalami masalah untuk mengangkat mahupun mendukung bayinya.

Malah dia merasakan gerakan tanpa sedar yang sering terjadi terhadapnya, tidak berlaku semasa dia menyentuh bayi.

"Mendukung bayi adalah terapi untuk saya hilangkan tics. Daripada segi penyusuan pula, memang tiada masalah langsung.

"Mungkin sebab ada eye contact semasa menyusukan anak, lagipun masa ni dia berada dekat dan membuatkan saya rasa sangat tenang. Tics tu ada tapi hanya kelip-kelip mata sahaja.

Tia bersama suami dan anak-anaknya semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Tia bersama suami dan anak-anaknya semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

"Mandi kolam bersama bayi pun tiada masalah dan tak pernah lagi berlaku kejadian tidak diingini," kongsinya gembira.

Bercerita lanjut, meskipun pernah gagal dalam perkahwinan pertama, Tia mengakui kehidupannya berubah 360 darjah selepas mengenali Mohamad Nor Alif Jamsari yang kini merupakan suaminya.

Mana tidaknya, dia bukan sahaja dilayan seperti permaisuri malah suaminya sering membuat kejutan yang tidak disangka-sangka.

Paling menggembirakannya apabila suami meletakkan 100 peratus kepercayaan terhadap dia untuk menguruskan anak meskipun mengetahui masalah sindrom Tourrete.

Menyedari sindrom yang dialaminya kurang diketengahkan kerana bilangan pesakit yang tidak ramai di negara ini, Tia tampil dengan pelbagai video di TikTok berkaitan sindrom Tourrete seperti cara mengendalikan bayi, bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

Tambahan pula dia pernah mengalami episod sedih kerana orang sekeliling termasuk ibu dan ayahnya tidak mengetahui tentang gejala tik mahupun masalah yang dihidapi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain