suria

Patung sado ‘cedera’ dilanggar anak, bapa pasrah bayar ganti rugi... Netizen kata ‘rare’ beli baju sekali dengan ‘mannequin’

Suami Nadia membayar RM290 untuk harga kerosakan patung dan juga sehelai baju.

SIAPA sangka aktiviti menonton wayang sebuah keluarga berakhir dengan insiden lucu gara-gara si anak kecil tanpa sengaja terlanggar patung (mannequin) di sebuah kedai peralatan sukan.

Bukan setakat berselerak dan terlentang di atas lantai, malah insiden berkenaan membuatkan si bapa terpaksa mengeluarkan wang bagi membayar ganti rugi di atas kerosakan patung berkenaan.

"Anak terlanggar patung dalam kedai baju sukan. Bukan baju je kena beli, dengan patung-patung kena ganti sebab ada defect sikit. Masalahnya, patung ni bak buat apa?" demikian coretan yang mengiringi perkongsian video yang dimuat naik di TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nadia berkata, kejadian berlaku pada Ahad lalu selepas dia bersama suami, anak bongsu dan dua lagi kawan selesai menonton wayang.

"Selepas habis menonton, kami nak balik dan berjalan ke kawasan parkir. Anak bongsu saya berusia empat tahun setengah berjalan beriringan tapi biasalah, budak-budak bukannya suka nak dipimpin.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak tertumpah pengilat kuku pada pakaian di butik mewah, Tomok terpaksa bayar ganti rugi RM5,593

ARTIKEL BERKAITAN: Pakaian terkena pengilat kuku habis terjual, Tomok lebih hati-hati bawa anak-anak ke mall

"Masa melewati sebuah kedai sukan, anak saya melencong masuk dan tahu-tahu patung dah jatuh terlentang. Patung tu pula dekat bahagian depan.

"Terkejut dan cuak jugalah sebab semua berlaku pantas... tengok pula patung dah terbungkang. Baju yang dipakai patung tu ada defect sikit, dan patung tu pun defect sikit dekat bahagian dalam.

"Staf kedai tu call bos dia untuk maklumkan, dan kami diminta membayar kos kerosakan. Saya dan suami akur sebab ia adalah tanggungjawab kami," ujar wanita berusia 29 tahun ini.

patung 2

Nadia dan suaminya mengusung patung berkenaan untuk dibawa pulang.

Menurut Nadia, selepas kiraan dibuat, jumlah yang perlu dibayar adalah RM290 merangkumi sehelai t-shirt berharga RM100 dan patung berharga RM190.

"Reda sajalah. Kalau marah pun rasanya dia tak faham dan dia pun tak sengaja terlanggar. Mujurlah beratus, kalau beribu, mahu pening mak ayahnya.

"Sebenarnya ingat nak tinggalkan saja patung tu tapi kawan yang cadangkan bawa balik... mana tahu boleh jual katanya. Saya dan suami fikir, ada ke yang nak beli.

"Jadi kami angkut saja bawa balik. Mujurlah patung tu boleh ditanggal dan dipasang semula. Lucu pula bila kena usung patung ke dalam kereta," ujarnya ketawa kecil.

Seram juga tengok patung ni tercegat saja dekat hall. Hitam dan bersaiz orang dewasa pula.

NADIA

Nadia berkata dia kemudian mencuba nasib dan mengiklankan patung tersebut di laman TikTok.

Apa yang mengejutkan, dalam tempoh satu jam sahaja, dia menerima beberapa mesej menerusi Direct Message (DM) serta panggilan telefon daripada individu yang berminat untuk membeli patung tersebut.

"Alhamdulillah... tak sangka rupanya ramai berminat nak beli. Patung ini bakal dijual kepada seorang individu yang juga pemilik kedai peralatan sukan dari Terengganu.

"Kami jual kurang daripada harga RM190. Tak apalah, asalkan ada yang membeli. Seram juga tengok patung ni tercegat saja dekat hall. Hitam dan bersaiz orang dewasa pula," katanya sambil ketawa kecil.

Nadia yang menetap di Segamat, Johor berkata, patung tersebut akan dipos ke Terengganu secepat mungkin.

komen patung

Netizen turut terhibur dengan perkongsian Nadia.

Dalam pada itu, Nadia sama sekali tidak menyangka perkongsiannya di TikTok mengundang perhatian ramai.

"Saya post sebab nak cari pembeli saja. Tapi tak sangka viral. Ramai juga yang kongsi kejadian seumpamanya. Ada juga komen, kes saya sama seperti kes Tomok. Lucu bila baca komen-komen netizen.

"Ini kejadian pertama sebenarnya... anak bongsu pula bukanlah jenis hyper. Kalau pergi ke mana-mana, memang selalu bawa anak-anak. Tapi benda dah nak jadi. Selepas ini kena lebih berhati-hatilah," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain