suria

Harga mahal terbongkar, pemilik dedah dah dapat green light KPDN... tak perlu marah kalau tak pernah datang - “Kami bukan kedai tomyam biasa”

Isteri pemilik restoran tampil menjelaskan rasional di sebalik harga makanan yang mahal.

BARU-BARU ini tular mengenai harga makanan sebuah restoran sajian masakan Thai di Kuala Lumpur yang didakwa cekik darah.

Ia susulan akaun media sosial Restoran Maluri Tomyam berkongsikan insiden pelanggan yang enggan membayar selepas menikmati hidangan.

Namun begitu, warga maya sebaliknya mengecam harga yang dipaparkan dalam perkongsian kisah itu yang bagi mereka tidak masuk akal.

Set tomyam udang galah di Restoran Maluri.

Bercakap kepada mStar, Putri Nurul Balqis, 40, yang merupakan isteri kepada Roazwan Zaibidi, 38, pemilik Restoran Maluri Tomyam menceritakan perkara yang sebenarnya.

"Ramai yang marah dengan harga tu tak pernah datang pun ke restoran kami. Market kami adalah berbeza, kami adalah kedai tomyam premium, kami bukannya kedai tomyam yang biasa-biasa di tepi jalan.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami perasan trend pelanggan berbeza. Kami ada hadiri satu seminar food and beverage (F&B), mereka cakap kami kena tawarkan sesuatu yang lain daripada yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan lesap selepas makan di kedai tomyam harga kayangan... 2 nasi putih RM10, ramai terkejut tengok menu!

ARTIKEL BERKAITAN: Beli nasi kerabu lauk ikan, solok lada harga RM10! Pelanggan anggap sedekah, tak kisahlah mahal atau murah

"Kalau nak ikutkan, kedai tomyam merata tempat pun ada. Jadi sebab itu kami ubah konsep dengan tambah baik dari segi menu hidangan makanan dan minuman yang dijual," katanya yang sudah berniaga sejak tahun 2017.

Menurut Putri, kualiti yang dijaga rapi dan saiz makanannya yang tidak kedekut bahan menjadikan ia sepadan dengan harga yang sedikit tinggi.

"Ikan siakap kami guna yang satu kilogram (kg), sotong dan udang besar, tomyam kami memang penuh lauk. Saya cakap betul, tomyam kami yang saiz medium boleh makan antara dua hingga tiga orang.

Lepas KPDN dah makan semua, mereka pun cakap kalau macam ini berbaloi dengan harga yang kami letak.

PUTRI NURUL BALQIS

"Tomyam kami dijamin ekstra, mewah bahan kami masukkan. Kami siap ada prosedur operasi standard (SOP), berapa senduk bahan yang kena dimasukkan untuk setiap menu. Tak akan ada kes tomyam terkurang ayam atau seafood.

"Memang mengenyangkan dan saya boleh katakan pelanggan yang datang ke kedai kami semua puas hati. Selain itu, pinggan yang kami guna pun eksklusif, warna hitam, satu RM20, nak bagi ada rasa estetik tu.

"Tukang masak kami pun dipilih yang pakar dalam masakan Thai. Bila servis dah premium, maka mestilah harga pun akan sedikit mahal. Kalau makanan mantap tapi harga kekal murah, rugilah kami," ujarnya.

Putri bersama suaminya mengusahakan Restoran Maluri Tomyam.

Mengulas mengenai kritikan warga maya yang membidas harga RM17.90 untuk dua gelas teh O ais limau, Putri berkata ia kerana penyediaan minuman itu yang secukup rasa.

"Saya guna cawan plastik yang berkualiti macam di Boat Noodle, boleh dibawa pulang dan dipakai berkali-kali. Setiap air di restoran kami ni 'kaw', satu gelas ada 10 biji limau. Sebelum ni dua biji limau je segelas.

"Air fresh orange segelas, kami akan guna dua biji buah oren. Bila pelanggan minum, dia akan terasa segala-galanya. Antara minuman killer di restoran kami ialah teh ais cincau dan teh hijau.

Set C cengkerang rebus (talam besar).

"Nasi kami pun guna beras wangi yang lebih sedap dan sihat," kata Putri.

Hasil daripada pembaharuan yang dilakukan, Putri berkata sambutan terhadap restorannya semakin memberangsangkan.

"Hujung tahun lepas ada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) datang ke restoran kami buat pemeriksaan berkaitan harga makanan.

Tomyam saiz L.

"Saya saji mereka makanan kami untuk mereka tengok sendiri portion dan rasa air minuman tu. Lepas KPDN dah makan semua, mereka pun cakap kalau macam ini berbaloi dengan harga yang kami letak.

"Kami bukannya letak harga membabi buta. Nasi goreng banyak sampai segelintir pelanggan terpaksa bungkus bawa balik sebab tak habis.

"Saya boleh katakan pendekatan kami ni berjaya sebab pelanggan yang datang ke kedai kami ni ada dari Putrajaya, Bangi, Klang dan Terengganu. Luar negara pun ada datang dari Indonesia dan Brunei," cerita Putri.

Teh cincau kegemaran ramai di Restoran Maluri.

Bercakap mengenai kes pelanggan yang tidak membayar di restorannya, Putri berkata ia hanyalah insiden kecil dan tidak menyangka akan mencetuskan kontroversi besar.

"Sebahagian daripada proses pembaharuan kami, kami ada dapatkan staf marketing untuk promosikan kedai. Dia yang jaga media sosial semua.

Seafood platter stik limau.

"Bila terjadi kes tu, staf saya kata boleh buat content dekat TikTok untuk kenalkan restoran kami, sekali video tu terus meletup. Kes tu tak ada isu pun sebenarnya.

"Dulu media sosial restoran kami 'sendu' je, sekarang dah rancak," ujar Putri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain