KECOH baru-baru ini mengenai luahan rasa kecewa seorang bapa apabila anaknya berusia dua tahun nyaris dihalau keluar dari sebuah pesawat. Insiden memalukan itu berlaku gara-gara anak kecilnya yang berusia dua tahun tidak berhenti menangis kerana enggan duduk di kerusi berasingan dengan ibunya. Intan membawa anaknya menaiki pesawat seawal selepas dirinya tamat berpantang. Susulan insiden yang tular, seorang ibu berusia 39 tahun, Intan Nur Anum Ahmad Hilaluddin berkongsi pengalamannya membawa dua anak kecilnya menaiki kapal terbang seawal usia mereka 53 hari selepas dirinya tamat tempoh berpantang. "Habis berpantang bawa anak dari Sarawak ke Semenanjung jumpa datuk dan nenek mereka. Saya gemuruh dan buat carian di Google macam mana nak bawa anak naik kapal terbang. "Bermula dari itu, saya tahu waktu kapal akan naik dan turun, ada tekanan udara yang boleh menyebabkan kanak-kanak tidak selesa atau sakit telinga. "Ketika itu, saya beri susu atau air untuk anak redakan sakit telinga tu. Bila semakin besar dan bukan bayi, saya Google juga apa persediaan untuk memastikan anak-anak sentiasa sibuk sepanjang penerbangan," katanya ketika dihubungi mStar. Anak kecil ditempatkan khas di dalam pesawat. Intan berkata, anak sulungnya pertama kali menaiki kapal terbang bagi perjalanan jarak jauh selama kira-kira lapan jam ke Hokkaido di Jepun ketika usianya baru setahun pada 2016. Malah, dia juga membawa anak pertamanya yang ketika itu berusia dua setengah tahun menaiki penerbangan kira-kira lapan jam ke Melbourne, Australia tanpa ditemani suami. "Ketika itu suami sibuk bekerja. Pada 2017, saya ke Melbourne teman ibu mentua dan adik ipar yang baru sebulan bersalin pulang ke rumahnya. "Kali kedua ke Melbourne pada 2019, anak sulung demam dan saya bawa dia ke klinik sebelum ke lapangan terbang. Rasa gementar, penat sebab semua kena selesaikan sendiri tanpa suami di sisi yang sibuk bekerja. Anak kedua waktu itu baru berusia setahun. "Sambil mengendong anak kecil dan seorang lagi tak sihat, saya kena ke sana ke mari di samping risau terlepas penerbangan. Ketika itu, saya pastikan ubat-ubat mencukupi, buat 'sponging', pakaikan cool fever (turunkan suhu badan) dan bagi dia rehat dalam kapal terbang di samping minum air yang mencukupi," ujar ibu kepada dua cahaya mata itu. Anak Intan seronok menonton kartun kegemaran sambil menikmati makanan di tempat duduknya. Selain makanan dan permainan, Intan yang berasal dari Bintulu, Sarawak, turut menyanyikan lagu-lagu disukai anak-anaknya yang mampu memberi ketenangan. ARTIKEL BERKAITAN: Malu dalam pesawat! Anak meronta di kerusi, ketua kabin enggan beri infant belt... kapten buat pengumuman halau keluar ARTIKEL BERKAITAN: "Maaf jika delay sebab anak saya" - Pesawat dah nak terbang semula si kecil masih enggan turun, mujur ada pramugara larat dukung keluar "Bila anak-anak mula nak menangis, saya akan curi perhatian mereka dengan barang kesukaan masing-masing. Anak pertama suka gajet saya beri iPad, manakala anak kedua kuat makan, saya pastikan membawa banyak makanan," katanya sambil menambah kedua-dua anaknya kini berusia lapan dan lima tahun. Permainan, gajet dan makanan membantu mengalihkan perhatian anak-anak Intan di dalam pesawat. Suri rumah itu turut melatih anak-anaknya menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kereta atau car seat sekali gus membolehkan mereka membiasakan diri duduk di tempat duduk sendiri di dalam kapal terbang. "Didik anak untuk ikut undang-undang jalan raya iaitu memakai tali pinggang keledar dan menggunakan car seat. Apabila sudah biasa dengan car seat, anak-anak boleh duduk sendiri di dalam kapal terbang kerana situasi kedua-duanya hampir sama. "Dia perlu duduk di tempat sendiri, perlu pakai tali pinggang keledar. Cuma jenis kerusi saja yang berbeza," katanya. Intan melatih anak-anaknya menggunakan 'car seat' di dalam kereta. Dalam pada itu, Intan menekankan supaya ibu bapa membuat persediaan awal untuk mengelakkan daripada anak-anak mengalami tantrum. "Sebab itu 'pancing' dengan macam-macam sebelum tantrum terjadi. Kalau dah tantrum tak boleh buat apa, bagi duit sejuta pun dia bakar. Bukan kita je kena ajar anak-anak. Sebenarnya anak-anak pun banyak mengajar kita untuk menjadi manusia yang lebih baik. INTAN NUR ANUM AHMAD HILALUDDIN IBU "Kita mak ayah lebih kenal anak masing-masing. Sudah tentu kita tahu tanda-tanda sebelum tantrum terjadi. Masa itulah kita kena campur tangan dengan alihkan perhatian. "Contohnya keluarkan makanan atau permainan kesukaan anak. Waktu nak menangis ni, tunjuk sesuatu yang menarik perhatian, dia akan lupa nak menangis atau mengamuk," katanya lagi. Intan (dua, kanan) berkongsi tip membawa anak-anak kecil menaiki penerbangan dengan tenang. Mengulas mengenai ciapannya di laman Twitter dianggap segelintir pihak sebagai membuat perbandingan dengan anak orang lain, Intan memohon maaf berhubung tanggapan itu. "Tip yang diberi itu bukanlah benda baharu, malah semuanya saya dapat menerusi carian di Google. Saya rasa selagi anak-anak kita tak ada sebarang kondisi luar biasa, anak yang normal, seharusnya boleh ikut semua undang-undang yang diguna pakai satu dunia. "Cuma pendekatan kita untuk membentuk saja mungkin berbeza. Ada yang lembut, ada yang tegas, ada yang kasar. "Jangan malu bertanya. Jangan segan untuk Google maklumat sebab segalanya di hujung jari. Tak salah kalau mengaku tak tahu, tapi sekurang-kurangnya kita boleh belajar dan baiki diri untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik, insyaAllah. "Bagi saya, bukan kita je kena ajar anak-anak. Sebenarnya anak-anak pun banyak mengajar kita untuk menjadi manusia yang lebih baik," kata Intan lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube