suria

Kakak lari rumah, gelabah adik langkah bendul! Dah 10 tahun bercinta, duit cukup... takkan masih kena ikut giliran

Isu langkah bendul ada kalanya boleh membuatkan hubungan adik beradik renggang. -Gambar hiasan

JIKA sudah tertulis jodoh seseorang tiba lebih awal, siapalah kita sebagai manusia untuk menolaknya.

Namun begitu, situasi ini ada kalanya menimbulkan perasaan dilema terutamanya bagi mereka yang bergelar adik apabila 'terpaksa' memotong giliran adik beradik yang lebih tua atau bahasa mudahnya disebut langkah bendul.

Meskipun langkah bendul bukanlah satu pantang larang dalam hukum syarak, namun masih ada segelintir masyarakat Melayu yang berpegang dengan amalan ini dalam keluarga masing-masing.

Sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang wanita, dia meluahkan rasa sedih apabila kakak sendiri tidak merestui hasratnya untuk mendirikan rumah tangga disebabkan langkah bendul.

stres

Soal jodoh adalah perkara yang sensitif bagi kebanyakan wanita sehingga menimbulkan rasa tertekan. -Gambar hiasan

"Kakak saya dengan saya beza satu tahun. Dia seorang yang sangat penyayang dan tak pernah berkira.

"Tapi bila saya buka isu yang saya nak kahwin, dia paling marah sangat sehingga mengherdik saya macam-macam. Dia tak setuju saya langkah (kahwin dulu) dia.

"Saya dengan bakal (suami) dah bercinta selama 10 tahun, duit pun kami dah ada. Saya dah banyak kali bagi hint dekat kakak saya yang saya nak kahwin.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak izin kahwin, ‘pantang’ langkah bendul! Gadis stres tersepit dengan adat, teman lelaki pula nak cepat-cepat halalkan hubungan

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah berenggang sejak kecil, dalam gembira jejaka sayu lihat kembarnya naik pelamin... tak sangka ramai offer jadi isteri - “Ramai tanya abang bila lagi?”

"Tapi refleksinya dia sangat marah dan kata habis tu kau seronoklah orang bercakap pasal aku?, kau tak fikir langsung apa aku rasa, kau memang selfish dan banyak lagi.

"Saya sangat sedih dan tertekan dengan segala kata-kata dia," luah wanita yang tidak mendedahkan identiti itu.

Disebabkan buntu dan dalam masa yang sama enggan mengeruhkan hubungan sesama adik beradik, wanita berkenaan berkata dia meminta ibu bapanya mengambil peranan untuk berbicara dengan kakaknya itu.

"Jadi, bapa saya mesej dan memberitahu (kakak) bahawa bakal pihak lelaki akan datang merisik adiknya (saya). Satu balasan dari kakak saya pun tiada.

"Tiba masa keluarga pihak lelaki datang merisik. Semuanya dalam keadaan yang baik tetapi kakak saya tidak hadir pada hari itu," luahnya.

Rasanya kakak sis fanatik adat langkah bendul atau dia tak boleh terima orang lebih daripada dia.

NETIZEN

Apa yang lebih membuatkannya bertambah sedih, disebabkan perkara itu, kakaknya mengambil keputusan untuk membawa diri.

"Sekarang dah sebulan tak balik rumah. Kami semua pujuk dia suruh balik dan berbincang. Tapi dia beri banyak alasan untuk tidak pulang ke rumah.

"Ibu saya paling risau sangat dalam keadaan ini. Saya sangat sayang kakak saya, tapi saya nak sangat dia memahami keadaan saya. Sekarang apa yang patut yang saya buat," demikian luahnya lagi.

Coretan wanita berkenaan dikongsikan di laman Twitter personaliti televisyen, @fedtriyahya dan sehingga kini meraih lebih 470 retweet.

Menjengah ruangan komen, pelbagai reaksi yang diberikan warga maya yang majoritinya berpandangan bahawa isu langkah bendul sudah tidak lagi relevan ketika ini memandangkan soal jodoh adalah ketentuan Tuhan.

komen langkah bendul

Antara komen netizen terhadap perkongsian kisah wanita berkenaan.

Justeru, netizen mencadangkan agar wanita berkenaan meneruskan rancangan untuk berkahwin namun dalam masa yang sama berusaha mencari jalan agar hubungan adik beradik tidak terputus hanya kerana isu langkah bendul.

"Ia mengenai hidup kamu. Selagi mana ibu bapa restu, perkara lain tak berbangkit. InsyaAllah, kamu buat benda baik.

"Rasanya kakak sis fanatik adat langkah bendul atau dia tak boleh terima orang lebih daripada dia. Hanya mampu berdoa saja sis kerana kakak masih dalam dunia 'denial' dia.

"Orang tua restu, cukup syarat.... kahwinlah. Jaga orang tua dan berbahagialah dengan rumah tangga yang bakal dibina.

"Teruskan dan berdoa banyak-banyak kakak kamu dilembutkan hati. Cakap padanya, korang juga doakan dia jumpa jodoh," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain