suria

Talasemia ‘pisahkan’ doktor dengan tunang! Saling menyinta tapi sepakat tak nikah... tak sanggup tengok anak derita

Pasangan ini terpaksa memutuskan pertunangan kerana kedua-dua mereka pembawa Talasemia. -Foto hiasan

LULUH hati pasangan yang sudah bertunang ini apabila mereka terpaksa berpisah setelah lama menjalinkan hubungan percintaan.

Keputusan menyedihkan ini terpaksa dibuat kerana Dr Farra dan pasangannya, juga berkhidmat sebagai pengamal perubatan merupakan pembawa penyakit Talasemia, justeru mereka sepakat untuk berpisah sebagai penyelesaian terbaik.

Kisah tersebut diceritakan olehnya menerusi akaun Twitter sehingga menjadi tular, sebagai memberi peringatan juga kesedaran kepada orang ramai tentang penyakit tersebut.

Menurut Dr Farra, sebelum ini tunangnya pernah memberitahu bahawa dia merupakan seorang pembawa Talasemia.

Pasangan ini masing-masing menghidap penyakit Talasemia. -Foto hiasan

Walaupun begitu, Dr Farra menyangka ia tidak menjadi masalah kerana menganggap dirinya normal, bebas daripada penyakit tersebut.

Namun, segalanya bertukar menjadi kisah hitam apabila dia membuat ujian Talasemia setelah bertunang dan disahkan mempunyai sakit sama.

"Dia adalah pembawa. Dia beritahu saya dari awal lagi. Tapi saya sangka saya normal. Tak pernah buat pemeriksaan pun.

"Saya buat pemeriksaan lepas kami bertunang, sebagai langkah berjaga-jaga... tapi itu yang saya sangka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan ini terkejut dapat tahu jadi pembawa talasemia, bimbang bayi dalam kandungan terkesan

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak sanggup berkorban, ketepikan kerja demi jaga adik sakit Talasemia di hospital... rupa-rupanya diri sendiri ada penyakit sama!

"Rupa-rupanya saya pun pembawa. Jadi, risiko untuk mendapat Talasemia Major tu ada. Kami tak mampu nak tanggung sesuatu yang tak pasti," ujar wanita itu yang berpisah dengan tunang demi kebaikan masa hadapan masing-masing.

Pasangan ini bagaimanapun tidak terburu-buru sebaliknya menghabiskan masa beberapa bulan untuk berbincang kerana ia bukanlah satu perkhabaran yang mudah untuk diterima, apatah lagi untuk membuat keputusan membatalkan perkahwinan.

Malah. wanita ini turut menceritakan pengalaman ketika bersama-sama bertugas di bahagian Pediatrik, yang mana mereka melihat ramai kanak-kanak Talasemia bergantung kepada transfusi (ganti komponen darah).

"Kami ingat kanak-kanak yang kami jaga sebelum ni. Kami kena masukkan darah mereka setiap malam, dan mereka perlu bergantung kepada pemindahan darah.

Tak sangka rupa-rupanya saya pun pembawa. Jadi risiko untuk menjadi Talasemia Major tu ada.

DR FARRA

"Walau sesedih mana yang kami rasakan, mereka (kanak-kanak) juga memberontak. Mereka luahkan perkara seperti kenapa saya yang sakit macam ni padahal ia bukan salah saya.

"Saya setuju ketika dia (bekas tunang) kata, kita tidak boleh pentingkan diri. Kita jatuh cinta dan dapat bertemu merupakan satu rahmat. Tapi, tolong kasihankan anak-anak nanti," ujarnya dalam bebenang ciapan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa sedih terhadap pasangan itu yang terpaksa berpisah dan sempat mendoakan kebahagiaan mereka.

"Benda paling sedih saya tengok dekat Twitter hari ni. Sangat kasihan dengan kalian berdua. Semoga masa 'menyembuhkan' awak.

"Sedih bila baca ni. Abang dan saya juga pembawa. Isteri dia pun sama. Mereka bincangkan perkara ini dan teruskan perkahwinan. Syukur mereka dikurniakan tiga cahaya mata. Semua bebas Talasemia. Awak dan pasangan tahu apa yang terbaik untuk anda. Semoga kebahagiaan diberikan buat anda berdua," komen netizen di Twitter.

Komen netizen di Twitter.

Dalam pada itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Canselor Tunku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Faizal Ahmad turut mencadangkan supaya mereka mencuba kaedah rawatan persenyawaan in vitro (IVF) jika meneruskan hubungan.

"Sebenarnya pembawa Talasemia yang berkahwin banyak di Malaysia. Kebanyakan pasangan dapat anak-anak normal melalui kaedah PGT-M (Ujian Genetik Praimplantasi) IVF.

"Di Malaysia, kita sudah lama ada PGT-M IVF untuk dapat anak normal bagi pembawa Talasemia. Jadi kalau isu untuk dapatkan cahaya mata, saya rasa jangan risau, kami boleh bantu.

"Saya doakan masih ada jodoh dan boleh baca fasal PGT-M IVF untuk pasangan pembawa Talasemia. Semoga Farra dan pasangan dimudahkan jodoh," katanya memberi cadangan.

Dr Farra dan tunang akur dengan takdir mereka tidak dapat bersama sebagai pasangan suami isteri. -Gambar hiasan

Menurut portal Myhealth, Talasemia adalah penyakit genetik di mana pesakit Talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi.

Sebagaimana dikongsikan dalam infografik di Twitter, beberapa kesan Talasemia Major dapat dilihat terhadap anak pasangan yang mana kedua-duanya pembawa genetik penyakit itu

Antara kesannya termasuklah perlu melakukan pemindahan darah sepanjang hayat, mudah penat, kurang darah, limpa membengkak, kerosakan hati, masalah jantung, tumbesaran terbantut dan perubahan struktur tengkorak dan wajah.

Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit ini.

Oleh itu, adalah penting untuk menjalani saringan Talasemia untuk mengetahui status, mencegah perkahwinan dengan pembawa serta mengelakkan daripada mendapat zuriat tidak sihat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain