suria

Pelanggan ‘sound’ gadis stesen minyak belajar tak pandai, sebab tu jadi cashier - “Gaji yang dikeji tu tak banyak, tapi cukup”

Wanita ini sedih dihina hanya kerana dia bekerja di sebuah stesen minyak.

PERJALANAN hidup setiap insan sudah ditetapkan rezekinya.

Ada yang dipermudahkan urusan sehingga berjaya di menara gading dan ada juga yang diuji dengan rintangan demi rintangan sebelum berjaya.

Bagi gadis ini, dia diuji dengan pelanggan yang memandang rendah dan menghina pekerjaannya sebagai juruwang di stesen minyak.

Gadis ini sudah hampir dua tahun bertugas sebagai seorang juruwang di stesen minyak.

Berkongsi pengalaman pahit itu kepada mStar, Nurizzati Nazmi, 21, mengakui sangat terasa hati dengan hamburan kata-kata jelik pelanggan terbabit.

"Sebelum kejadian, saya nampak pakcik tu masuk seorang diri ke dalam kedai dan waktu tu dia dah mula pandang saya atas bawah. Seperti ada sesuatu yang tidak kena tentang diri saya.

"Mungkin dia nampak saiz badan saya kecil sangat, seperti pelajar sekolah tapi dah bekerja. Dia kemudian pergi ke peti sejuk untuk ambil air. Lepas tu dia datang kepada saya untuk bayar.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid darjah 3 menangis diejek miskin, malu dihina rakan... Rupanya bukan kali pertama - “Tak apa cikgu, saya dah biasa kena”

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak lari rumah, gelabah adik langkah bendul! Dah 10 tahun bercinta, duit cukup... takkan masih kena ikut giliran

"Tiba-tiba, tengah saya nak scan tag harga, pakcik tu tanya dah habis sekolah ke? Saya pun cakap dah habis dah. Saya anggap biasa je soalan tu.

"Lepas tu, dengan muka dan nada dia yang angkuh, dia cakap mesti saya belajar tak pandai ni, itu yang kerja stesen minyak. Saya terkedu, tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba kena herdik," kata Izzati.

Tidak cukup setakat itu, Izzati berkata pakcik tersebut seterusnya mempersoalkan pilihannya untuk bekerja sebagai seorang juruwang.

Kalau kita simpan dendam, nanti ia akan makan diri kita semula juga, jadi saya maafkan pakcik tu.

NURIZZATI NAZMI

"Dia tanya kenapa tak belajar tinggi-tinggi, boleh dapat gaji RM6,000 ke atas. Kerja macam sekarang (juruwang), dapat je la gaji RM1,500.

"Dia cakap tu dengan nada biadab dan memang tak ada adab. Saya tahan diri dari hilang sabar, saya tetap jawab dengan sopan. Walaupun dia dah tua dan makan garam, dia tak ada hak untuk cakap macam tu dengan saya.

"Kami tak kenal pun antara satu sama lain. Sedih bila dengar apa yang keluar dari mulut pakcik tu, rasa kecil sangat diri ni," ujar Izzati menyimpan perasaan hiba.

Izzati mempunyai sebab yang tersendiri bekerja di usia muda.

Walaupun begitu, Izzati tidak menafikan ada kebenaran di sebalik celaan lelaki lanjut usia itu dan menganggap ia sebagai kritikan pembakar sangat.

"Saya asal hulu kampung, anak kelahiran keluarga susah, dari zaman kanak-kanak dah biasa kena cercaan semua ni. Tapi tak sangka sekarang dah masuk tahun 2023, masih ada yang sanggup cakap macam tu dekat saya.

"Apa-apa pun, saya akui, apa yang keluar dari mulut pakcik tu betul. Saya memang tak pandai, belajar setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bukan tak nak sambung belajar, tapi saya ada komitmen keluarga.

Keluarga adalah segala-galanya untuk Izzati.

"Mak ayah saya bercerai. Saya anak bongsu dari lima orang adik-beradik, saya ambil keputusan untuk bekerja supaya dapat bantu sedikit kewangan keluarga. RM1,500 yang dikeji tu tak banyak, tapi cukup.

"Yang penting halal, boleh sara hidup dan tak susahkan orang di sekeliling. Duit gaji tu saya bagi dekat dua-dua belah mak dan ayah saya. Mungkin orang tak tahu, tapi saya yakin Allah nampak usaha saya," kata Izzati yang bekerja di sebuah stesen minyak di Taiping, Perak.

Izzati mengatakan dia sudah berdamai dengan nasib dirinya dan memaafkan cacian yang dilontarkan pelanggan itu.

Izzati tidak akan pernah putus asa untuk berusaha keras mencari rezeki.

"Kalau kita simpan dendam, nanti ia akan makan diri kita semula juga, jadi saya maafkan pakcik tu. Mungkin itu kekhilafan dirinya. Saya akan buktikan kepada mereka yang saya pun boleh berjaya.

"Saya sekarang dalam perancangan untuk cari kerja baharu, kerja juruwang di stesen minyak ni, masa saya agak terikat dengan jadual sampaikan saya tak sempat solat.

"Saya sebenarnya sangat berminat untuk berniaga, pernah cuba dulu tapi tak membuahkan hasil. Jadi saya tak teruskan. Mungkin rezeki saya di tempat lain.

"Kepada mereka yang suka bercakap besar, tak kisah la kerja kami ni picisan ke, ingatlah Tuhan kalau nak tarik nikmat ni bila-bila masa boleh. Waktu tu, giliran mereka pula untuk dihina," kata Izzati menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain