suria

Mat salih berseluar pendek masuk rumah Allah... Ramai teruja komuniti Islam Amerika lebih terbuka, budak-budak pun suka datang masjid

Masjid seharusnya menerima kedatangan sesiapa sahaja dengan tangan terbuka. -Gambar hiasan

“KENAPA masjid luar negara selalu meriah, masjid kita nak dapat dua saf pun susah.”

Demikianlah persoalan yang diajukan warga maya apabila baru-baru ini tular di Twitter menunjukkan keadaan sebuah masjid di Amerika Syarikat yang dilihat berseri dengan aktiviti anjuran komuniti setempat.

Dalam perkongsian itu, Saif Suhairi, seorang rakyat Malaysia yang bermastautin di sana menunjukkan seorang lelaki berseluar pendek beramah mesra dengan sekumpulan anak kecil di dalam masjid.

Lelaki mat salih menyantuni kanak-kanak Muslim di sebuah masjid di Amerika Syarikat.

"Ahad lepas ada pakcik mat salih pakai seluar pendek bawa buaya masuk masjid sebab nak hiburkan budak-budak sempena hari graduasi sekolah agama di sini.

"Sekolah agama di sini sama konsep macam kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) di Malaysia. Kena bayar untuk alatan tapi cikgu dan guru besar merupakan sukarelawan, baik sangat mereka semua ni.

"Pakcik tu peminat reptilia jadi dia dipanggil untuk pamerkan koleksi dia. Ada ular, biawak dan buaya. Lepas habis majlis, budak-budak semua keluar pergi makan aiskrim sambil healing.

ARTIKEL BERKAITAN: Juruvideo rakam detik sayu PKP... masjid kosong waktu solat Jumaat, hanya gema laungan azan - “Bukan edit, tiba-tiba banyak burung gagak”

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak berlari, menjerit dalam masjid waktu solat tarawih... Ada jemaah tak senang, tapi imam Masjid Besi kata rindu

Menurut Saif, ahli jawatankuasa (AJK) masjid di Amerika Syarikat kebiasaannya mempunyai hubungan rapat dengan ahli kariahnya.

"Imam di masjid ini iaitu Sheikh Abdul Hadi sangat prihatin dengan budak-budak. Hampir nama setiap budak dia boleh ingat.

"Budak jadi suka nak datang masjid. mereka gembira. Inilah cara kami komuniti Islam di Amerika Syarikat. Tak sama dengan tempat lain," jelas Saif.

Saya free hair, nak masuk masjid untuk solat terus kena tengking dengan makcik.

WARGA MAYA

Selain itu seorang warga maya yang sering berkunjung ke negara Barat sempat menceritakan pengalamannya melihat aktiviti di masjid di sana.

"Masjid dekat sana bukan sekadar masjid. Tapi ia adalah pusat Islam untuk Muslim ataupun bukan Muslim berkumpul dan menjalankan aktiviti riadah. Mereka bergaul dan ada komunikasi sihat, kenalan baharu dibuat tanpa ada diskriminasi.

"Yang tua memerhatikan dan membimbing yang muda tanpa ada rasa senioriti. Budak-budak boleh buat kerja sekolah dekat situ. Lepas siap, sesetengah pusat Islam tu ada PlayStation 5 atau Nintendo Switch, mereka boleh main ramai-ramai.

Suasana meriah masjid di Amerika Syarikat yang dihadiri komuniti Islam setempat.

"Apabila masuk waktu solat, mereka solat berjemaah, lepas tu sambung buat aktiviti. Mereka yang duduk di overseas akan tahu masjid atau pusat Islam ni memainkan peranan penting dalam membina komuniti Islam di sana," ujarnya.

Susulan daripada perkongsian itu, warga maya mula membandingkan pengisian di masjid-masjid di Malaysia.

"Dekat Malaysia ni lain. Masjid dikunjungi apabila masuk waktu solat, itu pun imam kena berusaha keras nak penuhkan. Sebab apa begini jadinya?

Sebuah masjid tanpa pengisian sewajarnya pasti kelihatan muram. -Gambar hiasan

"Sebab orang ramai termasuk kanak-kanak dan remaja tak ada urusan atau tujuan untuk pergi ke masjid melainkan ketika waktu solat. Belia kita lebih cenderung untuk lepak di kafe siber atau mamak bermain permainan video ramai-ramai.

"Berjam-jam melepak di sana dengan hanya bermodalkan segelas air teh-O di meja. Itu sebab masjid selalu kosong. Kalau waktu solat dapat dua saf pun dah cukup baik," katanya.

Seorang lagi warga maya pula mengatakan konsep sebegini pernah diamalkan ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka tetapi semakin luntur dimamah peredaran zaman.

"Masjid pernah menjadi pusat komuniti untuk masyarakat Melayu dahulu. Ketika sebuah bandar hendak dibangunkan, tiga perkara wajib ada iaitu istana, masjid dan pasar atau pelabuhan.

"Masjid menjadi pusat untuk menimba ilmu, untuk masyarakat berkumpul sebagai satu komuniti dan sebagai tempat bermesyuarat untuk rakyat jelata dan istana," terangnya.

Sijil graduasi sekolah agama yang dianugerahkan kepada anak lelaki Saif.

Sementara itu ada segelintir netizen tampil membuat pengakuan dengan pelbagai dakwaan bagi menjelaskan punca mereka menjauhkan diri daripada masjid.

"Ahli jawatankuasa masjid (AJK) ramai yang benci kanak-kanak dan remaja. Pernah datang ke masjid pakai jersi Manchester United, terus kena tegur dengan seorang pakcik cakap tak boleh berpakaian macam tu.

"Saya pernah datang solat tarawih pakai seluar jeans, terus kena tegur dengan pakcik terpaling alim. Kononnya seluar tu tak sesuai pakai untuk solat di masjid. Saya free hair, nak masuk masjid untuk solat terus kena tengking dengan makcik.

"Saya pernah pergi masjid di United Kingdom, masjid di sana terbuka untuk semua termasuk untuk bukan Islam. Tapi masjid di Malaysia ada yang dijadikan pentas politik untuk mempromosikan kebencian.

"Saya pernah datang nak buat assignment di masjid, terus kena gertak dengan satu pakcik ni, ditanya universiti tak ada perpustakaan ke," cerita warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain