suria

“Bayaran kami harus bermaruah“ - Gadis IPT tegas tuntut elaun setimpal, mahu syarikat lihat intern sebagai pelaburan

Rashifa berkempen di sekitar kampusnya untuk menyebarkan kesedaran mengenai nasib pelajar praktikal.

SETIAP bakal graduan kebiasaannya akan menjalani latihan praktikal (internship) sebelum menamatkan pengajian.

Latihan ini bertujuan mendedahkan bakal graduan kepada kepada budaya kerja di industri dan sebagai salah satu persediaan penting sebelum menceburi bidang kerjaya masing-masing..

Namun begitu, baru-baru ini gempar di media sosial apabila seorang gadis membawa satu sepanduk dengan mesej tertulis 'intern bukan buruh percuma'.

Ciapan tular di laman Twitter.

Demikian perjuangan yang diketengahkan Rashifa Aljunied, 24, apabila dia menuntut bayaran elaun yang berpatutan untuk pelajar pelatih selain setimpal dengan keadaan ekonomi semasa.

Bercerita kepada mStar, Rashifa berkata berdasarkan perbahasannya yang hangat dibicarakan di Twitter, ternyata masih ramai di luar sana yang tidak mempunyai kesedaran akan perihal ini.

"Saya mula terdetik untuk jalankan kempen ini sebab saya merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Malaya. Semester saya akan habis lagi dua minggu. Bulan Oktober tahun ini saya akan masuk intern.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada elaun! Syarikat beri peringatan awal, minta bakal intern fikir ilmu berbanding duit - “Pelajar yang patut bayar kami”

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar intern trauma turun site! Pengurus kata pegang paha tanda terima kasih, bukan gangguan seksual - “Pekerja asing lebih hormat saya”

"Apa yang saya cuba bawa ni bukan untuk saya seorang tapi untuk rakan-rakan lain yang senasib dengan saya. Isu ini amat penting untuk dibincangkan kerana ia sudah berlarutan buat sekian lamanya.

"Kami bukan minta bayaran elaun yang menyamai gaji staf berstatus tetap, kami cuma mahu dibayar dengan munasabah. Cuba fikirkan keadaan pelajar praktikal yang tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

"Bagaimana mereka mahu bayar sewa rumah, makan minum harian dan kos pengangkutan dengan elaun yang sebegitu kecil atau lebih teruk tidak dibayar langsung," kata Rashifa yang mengambil jurusan Pengajian Antarabangsa dan Strategik.

Tapi walau apa pun sebabnya, sesiapa sahaja yang bekerja berhak dibayar dengan bermaruah.

RASHIFA ALJUNIED

Menurut Rashifa lagi, Akta Kerja juga tidak meliputi pelajar praktikal dan polisi sebegini membolehkan majikan untuk mengambil kesempatan ke atas mereka.

"Intern adalah seorang pelajar dan juga seorang pekerja, kami tidak mempunyai polisi yang jelas untuk melindungi kami sama ada di bawah akta pelajar atau akta pekerja.

"Jadi, jika terjadinya eksploitasi kepada pelajar praktikal, kami tidak ada enakmen yang khusus untuk kami rujuk," kata Rashifa yang berasal dari Johor Bahru.

Pelajar UM ini aktif melibatkan diri dalam kempen kemanusiaan di serata negara.

Mengupas bentuk ekspolitasi yang dialami golongan belia, Rashifa berkata antaranya adalah bebanan kerja berlebihan yang tidak sepadan dengan skop seorang pelajar praktikal.

"Banyak kisah yang kita dengar tentang bagaimana pelajar pelatih melakukan kerja yang sama atau lebih dari staf biasa tetapi tidak dibayar langsung untuk kerja tersebut.

"Kalau kita tengok guru praktikal, ramai daripada mereka yang tidak menerima elaun dan sampai perlu mengeluarkan duit sendiri untuk membeli peralatan pembelajaran," kata Rashifa.

Rashifa menyertai kempen krisis iklim.

Rashifa sempat mengulas stigma sesetengah majikan yang enggan membayar elaun tinggi kepada pelajar praktikal kerana beranggapan mereka tidak menyumbang kepada produktiviti syarikat.

"Pelajar praktikal datang untuk belajar. Mungkin ada melakukan kesilapan dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

"Tapi walau apa pun sebabnya, sesiapa sahaja yang bekerja berhak dibayar dengan bermaruah. Tak kisah la pekerja full-time, part-time atau intern, mereka harus dibayar dengan munasabah.

"Syarikat seharusnya melihat intern sebagai satu pelaburan, peluang untuk merekrut bakat-bakat baharu. Dengan memberikan pengalaman kerja yang positif, syarikat dapat menyaring individu dengan potensi dan kemahiran relevan.

Ketika menyertai Women's March di Kuala Lumpur pada 2020.

"Ini dapat membentuk pelapis berkualiti untuk memenuhi keperluan syarikat di masa hadapan," kata Rashifa.

Menitipkan pesanan terakhir, Rashifa juga berpandangan majikan tidak seharusnya mendiskriminasi pembayaran elaun ke atas pelajar praktikal berdasarkan latar belakang.

"Bayaran elaun atau gaji ini tidak sepatutnya bergantung kepada latar belakang seseorang. Tidak wajar diletakkan label jika seseorang itu adalah bujang, berkemampuan, seorang wanita atau lain-lain faktor.

"Upah atau elaun harus dibayar setanding dengan kerja yang dilakukan," kata Rashifa menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain