suria

Masuk ‘showroom’ mak terus tunjuk Proton Saga merah, tapi takut-takut nak naik... Ibu tunggal meleleh air mata ‘salesman’ hulur geran

Seorang ibu sebak menerima kejutan hadiah sebuah kereta.

HASRAT seorang ibu yang mahu melakukan pandu uji sebuah kereta bertukar drama air mata selepas mengetahui kenderaan tersebut sudah pun menjadi miliknya.

Kejutan yang dirancang anak-anak ternyata menjadi apabila si ibu kelihatan terpinga-pinga selepas penasihat jualan menyerahkan sijil pemilikan kenderaan tertera namanya.

Berkongsi cerita kepada mStar, Nur Atikah Mohamed Nassuruddin berkata, kejutan dibuat di sebuah pusat pameran kereta di Alor Setar, Kedah pada Sabtu lalu.

Menurut Atikah, ibunya Asiah Said yang berusia 63 tahun selama ini memandu kereta dengan transmisi manual.

"Kasihan tengok mak bawa kereta manual. Dia tak nak beli kereta baharu sebab katanya dah tua. Kami anak-anak risau mak sakit lutut kalau memandu kereta manual terlalu lama.

"Jadi saya berazam untuk belikan kereta automatik iaitu sebuah Proton Saga bagi memudahkan pergerakan dia," katanya ketika dihubungi mStar.

kejutan test drive 2

Atikah (tiga, kanan) bersama keluarga ketika kejutan dibuat.

Berusia 37 tahun, Atikah berkata rancangan untuk membawa ibunya memandu uji kereta dibuat bersama suami dan adik-beradik lain.

"Suami kononnya nak pergi ambil barang dekat kawan dia di situ, dan saya ajak mak pergi test drive. Mak memang berkenan selepas nampak kereta Saga merah dalam showroom tu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh Axia tak dikenali 'block' pagar rumah, rupanya 'kerja' anak sendiri... buat kejutan sampai mak ayah menangis

ARTIKEL BERKAITAN: Pelan awal tak menjadi, kereta ibu mentua buat hal lagi, "Mak jangan panggil pomen ya, tunggu kami datang"

"Pada mulanya dia keberatan nak naik sebab tak nak kotorkan kereta orang. Mak betul-betul tak sangka kereta yang disangka kepunyaan orang tu sebenarnya untuk dia," ujarnya yang berasal dari Alor Setar.

Kenangan... keluarga bersama arwah bapa (duduk, kanan).

Mengulas lanjut, anak sulung daripada lapan beradik itu sebak menyaksikan ibunya yang merupakan pesara kerajaan menangis ketika menerima kejutan hadiah kereta baharu.

"Mak terharu tapi kami adik-beradik lagi sebak. Mak merupakan ibu tunggal, dah 10 tahun selepas pemergian arwah ayah yang meninggal dunia secara mengejut.

Sebagai anak, kita kena bahagiakan mak ayah. Jangan berkira kerana rezeki Allah itu sangat luas.

NUR ATIKAH MOHAMED NASSURUDDIN

"Dia seorang ibu yang penyayang, berusaha keras membesarkan adik-beradik terutama adik-adik yang semuanya menyambung pengajian ke universiti dalam dan luar negara.

"Malah sebelum ayah meninggal lagi, mak sudah bersusah payah untuk kami. Mak sanggup pergi kerja naik bas, dan naik motor sebelum bertahun-tahun bawa kereta manual," katanya.

Asiah (tengah) membesarkan lapan anak.

Atikah yang berkhidmat sebagai guru sekolah menengah turut menjelaskan antara sebab lain dia menghadiahkan kereta tersebut kerana pengorbanan ibunya yang menjaga neneknya.

"Saya tengok susah payah mak jaga nenek yang berusia hampir 100 tahun dan menghidap Alzheimer. Nampak kesanggupannya untuk menjaga ibunya.

"Pengorbanannya mendorong saya untuk membalas jasa, dan berharap nanti anak-anak saya juga melakukan perkara yang sama kepada saya," katanya yang mempunyai seorang cahaya mata.

Berkongsi kegembiraan bersama adik.

Berpengalaman sebagai guru selama 11 tahun, kata Atikah, dia juga sering menasihatkan pelajar-pelajarnya supaya berbakti kepada ibu bapa semasa hayat mereka.

"Sebagai anak, kita kena bahagiakan mak ayah. Jangan berkira kerana rezeki Allah itu sangat luas. Walaupun hanya beri RM10, itu pun sudah cukup membahagiakan mereka.

"Dengan pemberian kereta ini juga memudahkan lagi pergerakan mak untuk pergi ke kuliah dan solat di masjid, hampir setiap hari. Moga ada keberkatannya, insyaAllah," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain