BERKHIDMAT sebagai guru dan dalam masa sama merupakan seorang pengumpul kereta, lelaki ini mempunyai cara unik melayani kerenah anak muridnya. Demi mendorong semangat pelajarnya supaya berusaha keras dalam pelajaran, cikgu Mohd Rafaik Ishak, 30, hadir ke sekolah membawa koleksi kereta klasiknya. Melalui satu video tular di TikTok, dapat diperhatikan sebuah kereta model Toyota MR2 berwarna merah menjadi tatapan warga Sekolah Kebangsaan Taman Melawati, Kuala Lumpur. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Bercerita kepada mStar, Rafaik berkata koleksi keretanya menjadi dambaan ramai terutama anak muda dan rata-rata ingin tahu bagaimana dia boleh memiliki asetnya itu. "Saya ada syarikat persendirian yang menjual insurans kenderaan dan nombor plat kereta, daripada situ saya jumpa orang dalam market dan beli kereta second hand daripada mereka yang nak lepaskan. "Saya sangat meminati kereta Japanese Domestic Market (JDM) dan sejak kecil saya ada impian untuk memilikinya. Alhamdulillah, tahun 2017, iaitu tahun pertama saya jadi guru, rezeki saya dapat beli kereta JDM yang saya impikan. ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kategori dipertandingkan, satu anugerah pun tak sangkut! Cikgu tak kecewa, hanya mahu murid berjaya dunia akhirat ARTIKEL BERKAITAN: Gurauan ‘seram’ sebelum berpisah! Calon SPM disembahyangkan rakan-rakan selepas tidur tak bangun-bangun - “Tak berniat persenda agama” "Dulu saya ada tiga kereta JDM, sekarang tinggal dua je. Kereta pertama yang saya beli adalah model Nissan Skyline R34, warna ungu, ini yang saya paling sayang. Ada sebabnya. "Lepas tu saya beli kereta model Nissan GTR R35, warna hijau, tapi saya dah jual tahun lepas. Terkini saya ada kereta Toyota MR2, warna merah, baru beli tiga bulan lepas," cerita Rafaik yang merupakan guru Pendidikan Seni Visual. Menurut Rafaik, kereta Nissan Skyline R34 mempunyai tempat istimewa di hatinya kerana ia sudah tidak lagi dikeluarkan industri dan dikira sebagai model vintaj. Apabila berkeperluan, saya akan bawa kereta klasik tu ke sekolah sebagai hiburan. MOHD RAFAIK ISHAK GURU SK TAMAN MELAWATI "Kereta Nissan Skyline R34 ni dalam Malaysia hanya ada dalam 200 buah je. Kali terakhir dikeluarkan kereta ni adalah pada tahun 1999. "Selain itu, kereta ni dicat menggunakan kod warna midnight purple, istimewa dan susah nak cari, kena ada campuran warna lain baru boleh dapat. Kos nak cat pun tinggi, hari tu saya cat telan kos RM12,500. "Kereta ni kalau dijual semula di pasaran berharga dalam RM300,000 dan ke atas, ramai yang terkejar-kejar kereta ni. Saya sayang sangat, sampai jarang-jarang nak guna. Kereta model Nissan Skyline R34 dibawa ke sekolah. "Kita panggil dia weekend car, maksudnya bukan untuk kegunaan harian tapi lebih kepada pameran untuk ditunjukkan kepada orang lain," kata Rafaik yang sudah tujuh tahun bergelar guru. Cerita Rafaik lagi, memandangkan ia adalah kereta klasik, keupayaan enjinnya juga adalah terhad dan perlu menggunakan bahan petrol yang banyak. "Saya pernah guna kereta Nissan Skyline R34 ni untuk balik Terengganu, kos minyak perjalanan pergi balik sampai RM500, bayangkan la," ujar Rafaik yang juga mengajar subjek Sains secara sampingan. Kereta Toyota MR2 di kediaman Rafaik. Rafaik mengatakan koleksi keretanya itu menjadi kegilaan anak muridnya dan dia bijak menggunakan peluang itu untuk membakar minat mereka supaya seronok belajar di sekolah. "Budak-budak sekarang ni celik media sosial, mereka boleh cari saya punya akaun TikTok dan tahu saya ada koleksi kereta. Mereka selalu tanya bila cikgu nak bawa kereta datang sekolah. Sampai murid sekolah lain pun ikut tanya. "Apabila berkeperluan, saya akan bawa kereta klasik tu ke sekolah sebagai hiburan. Kalau nampak murid macam lemau nak belajar, saya akan ajak jom pergi tengok kereta cikgu. Terus semangat mereka, suka betul. Murid-murid di sekolah mengambil peluang melihat kereta milik Rafaik secara dekat. "Mereka sebenarnya lebih kepada nak tengok feature yang ada dekat kereta, macam cara bonet dibuka, bunyi enjin dan cara lampu hadapan kereta dikeluarkan dari soket dia. "Mereka tak ada la sampai nak tengok spesifikasi detail tentang kereta saya tu," jelas Rafaik. Menjelang ujian pertengahan tahun di sekolahnya, Rafaik menawarkan satu insentif yang lumayan untuk menggalakkan anak muridnya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan. "Untuk subjek Sains ni saya bagi satu target kepada murid-murid, kalau mereka dapat Tahap Penguasaan 6 (TP6) iaitu markah ujian antara 80 hingga 100, mereka berpeluang naik kereta saya. Koleksi kereta Rafaik jarang digunakan dan hanya dikeluarkan apabila perlu. "Saya akan bawa mereka pusing-pusing Kuala Lumpur ni naik kereta Nissan Skyline R34. Dengan kebenaran ibu bapa mereka, saya akan realisasikan impian tu. "Mereka setuju dan mereka sahut cabaran saya. Boleh nampak mereka berkobar-kobar nak jawab ujian nanti. Saya sebagai guru pun gembira apabila ada persaingan sihat macam ni. "Nanti kita tengok apa hasilnya, tak sabar ni," kata Rafaik menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!