suria

Pemuda ‘mengimarahkan’ TikTok dengan al-Quran, sambung ayat dapat RM50! Kisah jumpa ‘mat Bangla’ pijak kasut cukup istimewa

Pemuda ini mahu mendekatkan orang ramai dengan al-Quran.

MENYUBURKAN amalan membaca al-Quran dalam kalangan belia tidak mudah, tetapi bukan juga sesuatu yang mustahil.

Begitulah tekad jejaka ini untuk menarik anak muda mendampingi kitab suci umat Islam itu melalui inisiatif yang dekat dengan jiwa mereka.

Abdul Qawiy Abd Rashid, 26, yang merupakan seorang hafiz al-Quran dilihat aktif bergerak di jalanan menganjurkan kuiz spontan berkonsepkan keagamaan.

Melalui video tular di TikTok, Qawiy mengajak sesiapa yang berani mencuba nasib untuk menyambung bacaan ayat al-Quran dan jika berjaya ada ganjaran yang menanti.

"Sebelum ni kita selalu tengok content berupa challenge yang bermacam jenis di media sosial. Kalau berjaya sempurnakan, akan dapat hadiah atau duit.

"Jadi saya terikir nak buat challenge edisi menyambung bacaan ayat al-Quran, boleh kumpul pahala sekali. Negara jiran dah ada yang buat macam ni tapi di Malaysia mungkin saya orang pertama.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis cantik agama Hindu rupanya hafal surah al-Quran sejak kecil, siap baca terjemahan - “Bagi saya hidayah adalah milik Tuhan”

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut ustaz! 2 beranak ‘dinosaur’ bikin kecoh kelas mengaji, si bapa nak pupuk minat anak 4 tahun belajar al-Quran

"Dah hampir setahun saya buat content ni, saya mula pertengahan tahun lepas. Lokasi pertama yang kami terjah dulu adalah di sekitar Kuala Lumpur seperti Dataran Merdeka dan Bukit Bintang.

"Waktu mula-mula dulu tak ramai yang sahut cabaran kami tapi lepas viral, sambutan yang kami terima lebih meriah," cerita Qawiy kepada mStar.

Menurut Qawiy, dia menyediakan tahap kesukaran kuiznya berdasarkan latar belakang dan kemampuan individu yang ditanya.

Rasa puas bila apa yang saya buat boleh mengubah seseorang ke arah kebaikan.

ABDUL QAWIY ABD RASHID

"Saya mahu tolong mereka menang supaya boleh dapat RM50 yang kami tawarkan tu. Sebelum start, kami akan tanya soalan perkenalan diri seperti nama, umur dan dulu belajar aliran apa.

"Kalau latar belakang biasa-biasa, kami akan minta dia sambung ayat al-Quran dari surah-surah pendek. Tapi kalau dia background aliran agama, kami akan bagi ayat daripada juzuk awal al-Quran yang lebih panjang.

"Challenge ni secara rambang dan rawak, tak ada plan daripada awal. Semua orang boleh buat challenge ni, orang asing pun ada juga yang approach kami, dari Bangaldesh dan Iran. Kebanyakan yang berani cuba ialah orang muda.

Qawiy menjalankan kuiznya di ibu kota.

"Seterusnya untuk challenge ni, hanya mereka yang berjaya kami akan muat naik ke media sosial, kalau yang separuh jalan tiba-tiba terlupa ayat, kami akan simpan je, takut mengaibkan," kata Qawiy yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Menjentik sanubari, Qawiy mengatakan dia pernah berhadapan dengan beberapa insiden yang menginsafkan diri sepanjang programnya itu bersama orang awam.

"Ini yang paling melekat dengan saya, waktu tu saya buat challenge berbeza sikit daripada biasa. Peserta boleh petik mana-mana ayat dalam al-Quran dan saya yang kena sambung, kalau gagal, saya kena bagi mereka RM50.

Rakan-rakan Qawiy turut serta membantu.

"Jadi, datang seorang brother ni dari Bangladesh, dia terima cabaran saya, dia tak fasih bahasa Melayu jadi saya bercakap dengan dia dalam bahasa Inggeris. Saya pun bagi dia al-Quran untuk dia tanya saya.

"Sebelum dia pegang al-Quran, saya nampak dia buka kasut dan berdiri atas kasut dia tu. Saya macam pelik tapi saya biar, dah selesai semua baru saya tanya. Why do you take off your shoes? Rupanya sebab dia nak menghormati al-Quran.

"Dia cakap kasut kita ni kotor, saya pun terus tersentak, sampai macam tu sekali dia jaga kesucian al-Quran, saya yang hafal al-Quran pun tak terlintas macam tu," kata Qawiy yang pernah menuntut di Afrika Selatan selama 14 tahun.

Qawiy bersama seorang peserta yang sudi menjawab kuiznya.

Insiden seterusnya pula membuatkan Qawiy lebih bersemangat untuk meneruskan programnya yang merupakan perjuangan ke jalan jihad.

"Saya ada jumpa seorang artis tempatan ni, dia cakap terima kasih banyak dekat saya sebab buat content macam ni. Dia kata sebab content saya tu la, dia terdorong untuk belajar semula al-Quran.

"Dia dah lama tinggalkan al-Quran, jadi dia belajar semula dari Iqra' sebab dia dah lupa banyak benda. Saya rasa berbunga hati ni, rasa puas apabila apa yang saya buat boleh mengubah seseorang ke arah kebaikan.

Qawiy cuba menguji tahap hafazan pesertanya.

"Harap dari content saya ni lebih ramai yang akan dapat manfaat," ujar Qawiy.

Qawiy mengatakan dia berharap untuk melebarkan sayap programnya ke serata tanah air termasuk Sabah dan Sarawak serta ke luar negara jika berpeluang.

"InsyaAllah kuiz bacaan ayat al-Quran ni akan jadi macam tour," kata Qawiy menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain