suria

Tak sangka ‘king’ Myvi boleh jadi trak makanan, lauk nasi lemak tersusun rapi... Orang Cyberjaya boleh cuba, siap ada kaunter kuih layan diri

Suami isteri menggunakan kereta Myvi untuk berniaga nasi lemak.

DIGELAR king of the road, kenderaan ini bukan sahaja 'lincah' di jalanan malah hebat membantu tuannya mencari rezeki.

Tak ubah seperti trak makanan, nasi lemak berlauk dan pelbagai kuih muih boleh diniagakan pasangan suami isteri ini menggunakan sebuah kereta Myvi.

Malah warnanya yang merah menyala cukup untuk menarik perhatian orang yang lalu lalang, sekali gus singgah membeli sesuatu.

Bercakap kepada mStar, Mohammad Irwan Zahari berkata, dia dan isteri baru sahaja mengusahakan bisnes nasi lemak menggunakan Myvi miliknya sejak lebih seminggu lalu di Cyberjaya.

Berusia 37 tahun, Mohammad Irwan menjelaskan mereka mempunyai sebab terpaksa menggunakan kereta tersebut untuk mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Kami sebenarnya dah berniaga nasi lemak di kawasan ini sejak awal tahun. Masa tu kami berniaga dengan membuka meja di tepi jalan.

"Bagaimanapun, kami tak dapat meneruskannya kerana tidak mempunyai lesen dan dimaklumkan bahawa kawasan tersebut tidak dibenarkan menjaja," katanya ketika dihubungi mStar.

Lauk nasi lemak serta makanan lain di bahagian but kereta.

Bukan dijadikan alasan, dia yang mesra disapa Wan mendakwa pernah cuba untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi tetapi perlu mencari lokasi yang dibenarkan untuk menjaja terlebih dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai nasi lemak ibu 'bergegar', gadis penggulung popia terlompat-lompat gembira dapat 8A! Rupanya tak tinggal solat tahajud setiap malam

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai nasi lemak bentang 20 meter karpet merah sambut pelanggan... Terus ‘feeling’ macam artis nak ambil anugerah!

"Lebih seminggu juga kami tak berniaga dan fikir macam mana cara nak atasinya. Nak berniaga dalam trak makanan tak mampu sebab kosnya tinggi.

"Jalan penyelesaian sementara adalah menggunakan kereta Myvi saya. Saya ubah suai sendiri (DIY) pasang rak untuk susun atur lauk dan makanan yang dijual di dalam kereta," ujarnya yang berasal dari Kampung Gajah, Perak.

Turut disediakan 'kaunter layan diri' untuk kuih-muih.

Beroperasi seawal 7 pagi bersama isteri, Roselina Zulman, 33, Wan berkata, selain nasi lemak, mereka turut menjual beberapa jenis kuih, termasuk bihun, mi dan kuetiau.

Walau bagaimanapun, bapa kepada seorang cahaya mata itu mengakui terdapat cabaran berniaga sementara menggunakan kereta Myvi yang dimilikinya sejak hampir 17 tahun lalu.

Alhamdulillah Myvi merah ini banyak berjasa untuk kami mencari rezeki.

MOHAMMAD IRWAN ZAHARI

"Kalau dulu masa berniaga guna meja di tepi jalan, saya dan isteri boleh melayan pelanggan berasingan serentak. Sekarang ni ada had dari segi pergerakan apabila guna kereta.

"Isteri cedok nasi di pintu belakang sebelah kiri, saya pula di but belakang untuk cedok lauk. Tingkap di pintu belakang kanan pula dibuka untuk pelanggan layan diri ambil kuih," katanya yang turut berpengalaman berniaga air balang dan karipap.

Wan (kanan) dan isteri mengusahakan bisnes nasi lemak.

Mendirikan rumah tangga sejak lebih sedekad lalu, pasangan suami isteri ini pernah mengusahakan kedai yang menyajikan makanan barat tetapi terpaksa menamatkan operasi selepas terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Wan lagi, penggunaan Myvi merahnya itu turut bertujuan untuk memperkenalkan bisnes nasi lemaknya kepada orang ramai sebelum berniaga di kawasan yang dibenarkan.

Orang ramai datang membeli nasi lemak.

"Kami cadang menyewa di tapak persendirian untuk menjaja di kawasan Cyberjaya atau di sekitar Puchong dekat Cyberjaya. Cukuplah sebelum ni dah tiga kali kena saman.

"Alhamdulillah Myvi merah ini banyak berjasa untuk kami mencari rezeki... itu ini ke sana sini. InsyaAllah, kami akan berusaha untuk mendapatkan lesen perniagaan... doakan kami," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain