BAK kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah juga dengan Izryana Shazwany Azri yang pernah diberi jolokan sebagai 'gadis laut', gara-gara gemar berkongsi video dia menghabiskan masa di laut dengan aktiviti memancing dan memukat bersama adik-beradiknya. Gadis ini bukan sahaja mengkagumkan netizen dengan kemahirannya di lautan, bahkan membuatkan ramai 'ternganga' apabila selamba menjamah hidupan laut mentah-mentah. Dua daripada video yang dimuat naik di TikTok, memaparkan dia menjamah telur ketam, udang dan beronok secara mentah, meraih 2.7 juta dan 1.7 juta jumlah tontonan. Video Izry menjamah telur ketam dan beronok mentah mendapat jutaan tontonan di TikTok. Siapa sangka, video-video berkenaan memberikan impak kepada gadis kelahiran Kampung Mata Air, Pulau Langkawi ini. Bukan sahaja mengumpul lebih 268,000 jumlah pengikut di TikTok, bahkan ia seakan-akan menjadi pembuka pintu rezeki buat gadis berusia 22 tahun ini. ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 2 juta tontonan untuk video makan seafood mentah atas bot! Ramai tertipu, ‘gadis laut’ ini bukan anak nelayan - “Mak ayah tak payah beli ikan dah” ARTIKEL BERKAITAN: ‘Gadis laut’ selamba makan udang dan telur ketam mentah cemerlang STPM! Bawa mak bergambar di port kegemaran selepas dapat keputusan "Alhamdulillah, selepas viral rezeki saya dan keluarga begitu murah. Sejak setahun lalu, saya ditawarkan menjadi duta sebuah produk penjagaan kulit, Soblush. "Memang 'kena' sangat dengan saya yang rajin turun laut sejak di sekolah dan kini aktif berkawad pula dekat kampus. Kulit muka terdedah dengan cahaya mahatari dan kalau tiada penjagaan, memang burn. "Selain itu, saya juga bekerja secara separuh masa (part time) bahagian pemasaran dengan sebuah syarikat pelancongan Langkawi, Hunter Legacy. Saya promosikan pakej-pakej yang ditawarkan. Izry melanjutkan pengajian dalam jurusan Pengurusan Sukan di Universiti Malaya. "Saya memang asal Langkawi, jadi secara tak langsung saya promosikan kampung halaman juga. Di samping itu saya juga join buat affiliate dekat TikTok," ujarnya yang senang disapa sebagai Izry. Anak sulung daripada empat adik-beradik ini menambah, rezeki yang diperolehi menerusi pendapatan sampingan itu sedikit sebanyak dapat menampung keperluannya yang ketika ini sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam. "Menjadi anak sulung daripada empat beradik mengajar saya erti berdikari. Alhamdulillah, saya dah boleh beli tiket flight dan top-up kos belajar dengan pendapatan sendiri. "Syukur sedikit sebanyak saya dapat ringankan beban mak ayah dekat kampung," ujar penuntut semester empat, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan di Universiti Malaya ini. Bukan mereka saja tertunggu-tunggu, saya sendiri pun tak sabar nak turun laut. InsyaAllah, ada kelapangan masa, tak akan saya lepaskan peluang. IZRY Sudah terbiasa turun ke laut ketika menetap di kampung, Izry mengakui dia terlalu rindu untuk kembali ke 'padang permainannya' itu. Namun dek kesibukan rutinnya sebagai seorang penuntut ketika ini, niat itu hanya mampu dipendamkan buat seketika. "Saya dah lama tak turun laut. Kalau waktu cuti semester pun saya sibuk dengan training Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis). "Apabila balik kampung pun tak berkesempatan turun ke laut sebab adik lelaki saya pula tiada. Adik saya juga sibuk kerana dia salah seorang wakil Malaysia untuk skuad pelayaran. Izry bersama adik lelakinya yang menjadi wakil Malaysia dalam skuad pelayaran. "Jadi dah lama tak ada video turun laut. Memang ramai followers tanya... 'mengamuk' sebab tak ada video memancing dah. "Terpaksa saya buat video dan terangkan situasi sekarang. Bukan mereka saja tertunggu-tunggu, saya sendiri pun tak sabar nak turun laut. InsyaAllah, ada kelapangan masa, tak akan saya lepaskan peluang," ujar Izry. Dalam pada itu, Izry mengucapkan terima kasih kepada warga maya khususnya pengikutnya di media sosial yang memberikan sokongan dan setia mengikuti perkembangannya sejak dari kampung lagi. Izry mengabadikan kenangan manis di laut selepas mendapat keputusan cemerlang bagi peperiksaan STPM. Untuk rekod, mStar pernah menemubual kisah Izry sejak videonya menjamah hidupan laut secara mentah menjadi tular pada 2021. Kisahnya yang meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan mengabadikan momen bersama transkrip di tengah lautan turut dipaparkan di mStar. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!