suria

Sayup-sayup nampak kelibat baju putih, pemuda batal niat hiking Bukit Singa - “Insan terpilih je dapat jumpa bunian”

Kelibat individu berpakaian putih dapat dilihat dari jauh.

HASRAT dua individu untuk mendaki sebuah bukit di Pulau Kapas, Terengganu, terbantut apabila mereka melihat sekumpulan individu berpakaian serba putih di kawasan tepi laut.

"Apa benda tu? Kejadian 10.48 pagi tadi. Masa tu aku dalam perjalanan nak pergi hiking tapi patah balik sebab tak ada orang pergi hiking pagi, cuma kami berdua je," tulis Muhammad Nazrin pada kapsyen video TikTok.

Di ruangan komen, ramai netizen berjenaka tentang kelibat kumpulan berbaju putih itu, tak kurang juga yang mengaitkannya dengan elemen mistik seperti orang bunian dan sebagainya.

"Jangan kacau bunian nak healing tu.

"Dari jauh nampak real macam orang bunian.

"Insan terpilih je dapat jumpa bunian ni," tulis beberapa netizen.

Saya ada WhatsApp dengan adik tu... dia tak yakin yang baju putih semua tu manusia.

GEE

Dicelah-celah spekulasi berkenaan, seorang wanita dikenali sebagai Gee tampil memberikan penjelasan bahawa dia merupakan salah seorang individu berbaju putih dalam video tular itu.

"MasyaAllah. Itu team kami sedang bercuti. Baru lepas turun bot untuk hiking Bukit Singa. Kami bukan bunian," tulisnya di ruangan komen.

Ketika dihubungi mStar, Gee berkata dia dan rakan sekerjanya bercuti di Terengganu sejak Khamis, 22 Jun sebelum mengikuti perjalanan balik hari ke Pulau Kapas pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja dakwa ada deria ke-6 suka kongsi video di TikTok, nampak gerbang ke alam bunian di belakang rumah - “Kalau benda hilang, mereka yang pinjam”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini buat pengakuan bebas keluar masuk alam bunian, siap ada keluarga angkat! Ustaz pesan hati-hati guna ‘kelebihan’

"Kami semua kawan-kawan pejabat. Kami dari Shah Alam, penerbangan kami tiba di Terengganu pada 8 pagi Khamis. Tiga hari kami di sana. Pada Jumaat, kami ambil pakej day trip ke Pulau Kapas untuk OOTD (outfit of the day).

"Saya yang tetapkan supaya semua berpakaian putih. Saya kata, siapa tak pakai putih, saya akan golek dalam laut. Total semua 13 orang termasuk anak saya.

"Tiba-tiba member maklumkan yang video kami dah viral. Ada orang rakam dari jauh. Jadi kami cuba semak masa serta tarikh, betul memang kami dalam video TikTok individu tersebut," ujarnya kepada mStar.

Menurut Gee yang bekerja di Pejabat Tanah Dan Galian Selangor, dia turut berhubung dengan pemuda berkenaan bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku pada hari itu.

buniam4

Sebahagian rakan-rakan Gee yang ikut serta ketika OOTD di tepi pantai.

"Terkejut la kita dah viral. Saya pun ada WhatsApp dengan adik tu. Dia tak yakin yang baju putih semua tu manusia. Jadi lepas dah sahkan bahawa itu team saya dalam video berkenaan, dia pun ada minta maaf.

"Baca komen netizen, saya pun rasa terhibur. Bukan salah adik tu pun. Dia cuma nak kepastian. Tapi kami pun tak hiking, sebab salah seorang rakan terkena obor-obor. Jadi kami bergambar di bawah saja," ujar Gee lagi.

Tambah Gee, dia terhibur dengan kejadian itu dan tidak ambil hati tentang penularan video berkenaan.

Malah katanya, kunjungan kali kedua ke Pulau Kapas itu dianggap sebagai kenangan melucukan selepas kisah dia dan rakan-rakan sekerjanya tular di TikTok.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain