suria

Macam penjara! Murid darjah 1 didakwa dikurung dalam bilik pagar besi, ada kotak elektrik undang bahaya

Bilik berpagar besi yang didakwa dijadikan pengasingan seorang murid darjah satu.

MACAM penjara!

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai nasib malang seorang murid yang didakwa diletakkan di dalam sebuah bilik berjaring besi.

Apa yang lebih menyedihkan, murid berkenaan baru darjah satu!

Tular di laman Twitter pada petang Selasa mengenai ciapan seorang lelaki mendedahkan tindakan tersebut yang didakwa dilakukan oleh seorang guru.

Menerusi ciapan tersebut, turut didedahkan tangkap layar perbualan dalam grup WhatsApp kelas dipercayai antara guru dan ibu bapa serta penjaga murid-murid kelas berkenaan.

kurung murid 4

Ciapan yang tular di Twitter.

Seorang bapa bertanya sama ada benar anak lelakinya yang berusia tujuh tahun itu diletakkan di dalam bilik berjaring untuk pengasingan.

"Ya tuan, memang saya yang letakkan," demikian pengakuan yang didakwa dibuat oleh seorang guru lelaki dalam grup WhatsApp tersebut.

Ciapan itu juga turut disertakan beberapa foto bilik berpagar besi yang didakwa dijadikan tempat pengasingan murid malang itu.

Bercakap kepada mStar, individu yang memuat naik ciapan berkenaan mendakwa, kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah rendah di Rembau, Negeri Sembilan, pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu tolak, campak murid tadika: Polis kenal pasti 'guru terlampau', siasatan sedang dijalankan

ARTIKEL BERKAITAN: "Penting ke kau nak pukul muka anak aku?" - Ibu tengking guru di sekolah, berang hukum murid cara kasar dengan buku

Hanya mahu dikenali sebagai Azuan, 30, katanya, kejadian didakwa berlaku melibatkan seorang murid lelaki yang merupakan rakan sekelas anaknya.

"Dalam grup WhatsApp maklumkan murid tu bergurau dalam kelas. Mulut tak tahu diam, main tarik-tarik seluar kawan," katanya ketika dihubungi.

Tangkap layar grup WhatsApp kelas berkenaan.

Walau nakal sekali pun, bapa tiga anak itu menyifatkan tindakan yang dikenakan terhadap murid berusia tujuh tahun itu adalah tidak wajar.

"Tindakan kurung itu tidak wajar, budak-budak tu baru darjah satu, umur tujuh tahun. Mereka masih kecil, tak tahu apa-apa lagi.

"Memang pada usia mereka tu kadang-kadang nakal, tak patut dibuat begitu (kurung). Ada cara lain yang lebih wajar," katanya.

Jika kejadian kurung ini benar, saya gesa cikgu berkenaan dikenakan tindakan tegas kerana tindakannya itu tidak berperikemanusiaan.

AZUAN

Apa yang lebih dikesalkan, katanya, terdapat kotak elektrik di dalam bilik jeriji besi yang didakwa dijadikan tempat 'kurungan' murid berkenaan.

"Sudahlah diletakkan dalam 'sangkar besi', ada kotak TNB lagi. Memang bahaya untuk kanak-kanak. Kalau budak tu buat main benda tu tak tahu apa yang akan jadi.

"Kalau jadi pada anak saya, memang saya akan marah. Saya akan bawa perkara ini ke PPD (Pejabat Pendidikan Daerah)," katanya lagi.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah sekolah rendah di Rembau.

Susulan insiden itu, Azuan berkata, anak lelakinya pernah mengalami situasi tidak suka pergi sekolah selepas seminggu pembukaan sesi persekolahan 2023.

"Sejak masuk darjah satu ni, anak saya tak ceria macam sebelum ni masa dia pergi tadika. Mungkin sebab anak pernah nampak ada kawan pernah kena, itu yang sejak seminggu lepas sekolah, dah mula tunjuk tak berminat ke sekolah.

"Alhamdulillah, anak saya belum kena kurung lagi. Selepas kejadian hari ini, saya syak anak saya takut ke sekolah disebabkan hal itu.

"Jika kejadian kurung ini benar, saya gesa cikgu berkenaan dikenakan tindakan tegas sebab tindakannya itu tidak berperikemanusiaan," katanya lagi.

Sementara itu, menurut sumber, kes berkenaan telah dilaporkan ke PPD Rembau pada Selasa petang.

"Pihak kami di PPD sudah terima laporan dan penjaga kepada murid tersebut juga datang ke PPD untuk berbincang," katanya ketika dihubungi pada Selasa petang.

Ditanya sama ada kes tersebut dalam siasatan, dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain