suria

Suka londeh seluar kawan punca murid darjah 1 ‘dikurung’ dalam bilik jeriji besi... Hanya 10 minit, cikgu tunggu depan pagar

Bilik berpagar besi yang didakwa dijadikan pengasingan seorang murid darjah satu.

KECOH di media sosial sejak petang Selasa mengenai seorang murid darjah satu didakwa dikurung di dalam sebuah bilik berpagar besi yang kelihatan seperti penjara.

Tindakan salah seorang guru di sebuah sekolah rendah di Rembau, Negeri Sembilan itu membangkitkan rasa tidak puas hati ibu bapa murid terbabit.

Malah, ia turut menggemparkan orang ramai susulan penularan tangkap layar perbualan dalam grup WhatsApp kelas dipercayai antara guru dan ibu bapa serta penjaga murid-murid kelas tersebut.

Ini termasuk beberapa foto bilik berjeriji besi yang didakwa dijadikan tempat pengasingan murid malang itu.

kurung murid 3

Tangkap layar grup WhatsApp kelas berkenaan.

Susulan insiden yang tular, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tampil memberi penjelasan selepas satu perbincangan diadakan bersama ibu bapa murid berkenaan pada petang Selasa.

Mengesahkan kejadian berlaku sebagaimana yang didakwa, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Rembau, Zamani Disimsalam berkata, 'hukuman' pengasingan itu diambil pihak sekolah selepas murid berkenaan mengulangi kesalahan mengganggu rakan-rakannya meskipun sudah diberikan peringatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam penjara! Murid darjah 1 didakwa dikurung dalam bilik pagar besi, ada kotak elektrik undang bahaya

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu tolak, campak murid tadika: Polis kenal pasti 'guru terlampau', siasatan sedang dijalankan

"Kami dapat makluman bahawa murid ini memang nakal. Dia suka melondehkan seluar murid-murid lain. Malah ibu bapanya turut akui anak mereka memang nakal.

"Guru kelas dah banyak kali beri peringatan kepada murid tersebut supaya tidak berbuat demikian.

"Malah, pihak sekolah juga memberi peringatan sewaktu perhimpunan pagi 26 Jun (Isnin) memaklumkan kepada semua murid mengenai kesalahan itu," katanya ketika dihubungi mStar pada Rabu.

Pendedahan dibuat menerusi ciapan di laman Twitter.

Bagaimana kata Zamani, murid berkenaan masih melakukan kesalahan tersebut sehingga guru kelas terpaksa membuat aduan kepada guru penolong kanan hal ehwal murid (HEM).

"Saya difahamkan murid itu diberi peringatan sebanyak dua kali. Dia dimasukkan ke dalam bilik pagar besi selepas kesalahan yang sama berulang kali," ujarnya.

Mengenai bilik pagar besi tersebut, dia menjelaskan bahawa ia sebenarnya merupakan bilik pameran kempen anti dadah yang juga merupakan simulasi untuk meningkatkan kesedaran murid-murid supaya tidak terjebak dalam kancah najis dadah.

Murid itu dimasukkan ke dalam bilik pagar besi selepas melakukan kesalahan yang sama berulang kali.

ZAMANI DISIMSALAM

TIMBALAN PEGAWAI PPD REMBAU

Ditanya mengenai kotak elektrik di bilik tersebut yang boleh mengundang bahaya, Zamani berkata, murid tersebut di bawah pengawasan guru penolong kanan HEM.

"Murid itu tidak ditinggalkan keseorangan, dan dia hanya berada di dalam bilik tersebut yang bukan dikunci pun, dan dia hanya berada dalam tu selama 10 minit untuk memberi kesedaran kepadanya.

"Sepanjang dia berada di bilik tersebut, ada guru penolong kanan HEM yang mengawasinya," katanya.

Kejadian berlaku di sebuah sekolah rendah di Rembau.

Menurut Zamani, selepas mengadakan perbincangan dan penjelasan bersama, ibu bapa murid berkenaan tidak bercadang untuk mengambil tindakan terhadap guru yang didakwa.

"Mereka tak kisah anak dirotan sebab nakal, tapi pihak sekolah pula tidak boleh sewenang-wenangnya merotan. Jadi, cara lain digunakan untuk memberi kesedaran dan menginsafkan.

"Isu tersebut selesai. Murid itu pun okay dan tetap datang ke sekolah seperti biasa," katanya mengenai perbincangan yang berlangsung selama kira-kira 45 minit itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain