suria

Diseret, ditinggal terkulai atas highway! Pelajar maut ketika nak balik kolej, keluarga percaya mangsa dilanggar lari

Ahli keluarga mengharapkan keadilan untuk lelaki ini yang dipercayai maut dilanggar lari.

HANYA keadilan yang dimahukan untuk ahli keluarga yang dianiaya.

Begitulah harapan gadis ini, Siti Nur Syafiah Tarmizi, 21, yang mahu mengheret pelaku yang dipercayai melanggar lari adiknya ke muka pengadilan.

Dalam satu kemalangan di Lebuhraya Damansara - Shah Alam (DASH), adiknya iaitu Nawawi Tarmizi, 19, atau mesra disapa Awie, maut di Hospital Sungai Buloh akibat dari kecederaan parah yang dialaminya.

Nawawi terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya DASH.

Bercerita tentang tragedi itu kepada mStar, Syafiah berkata dia sekeluarga bagai luruh jantung apabila menerima satu panggilan telefon daripada nombor adiknya yang membawa khabar duka.

"Waktu tu pukul 12 tengah malam Isnin, 26 Jun, Awie sepatutnya pulang ke kolej dia di Food Institute of Malaysia (FIM) di Kelana Jaya dari rumah kami di Setapak, Kuala Lumpur. Dia ada bekerja sambilan di restoran berdekatan rumah kami.

"Dia kerja sambilan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dia balik ke kolej malam tu sebab Isnin ada kelas. Tiba-tiba nombor Awie berdering, ingatkan nak beritahu dah sampai, tapi orang lain yang ada dalam talian.

ARTIKEL BERKAITAN: Axia terangkat naik divider jalan, ramai jadi saksi insiden langgar lari! Pemandu Iriz dah tak boleh sembunyi

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh Vellfire langgar lari didakwa milik anak VIP! Ahli keluarga mangsa cuma mahu keadilan, mujur saksi sempat tengok nombor plat

"Rupanya dia kemalangan, orang yang jumpa dia call kami. Waktu tu keadaan dia dah lemah, kami terus bergegas ke hospital, ambulans dah bawa dia ke sana. Bila sampai hospital, doktor minta maaf, cakap dekat kami yang peluang dia tipis.

"Bahagian kanan badan dia banyak kecederaan, ada tulang patah, kepala dia sampai nampak tengkorak, macam dia diseret atas jalan tar sampai terkeluar isi daging," cerita Syafiah penuh hiba.

Setelah beberapa jam bertarung nyawa, Nawawi yang merupakan anak kelima daripada tujuh adik-beradik menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 3 petang Isnin dengan Syafiah di sisi.

Saya nak keadilan untuk Awie walaupun itu tak akan bawa dia kembali.

SITI NUR SYAFIAH TARMIZI

"Kami bergilir-gilir masuk untuk tengok dan jaga Awie. Waktu dia dah nak pergi tu, kakak panggil mak saya masuk tengok Awie. Kemudian saya pula, saya yang terakhir dari keluarga kami berada dengan Awie.

"Jenazah Awie dikebumikan lepas Isyak pada hari sama di tanah perkuburan Sungai Buloh, Selangor, dekat dengan kubur arwah mak saudara kami.

"Kami cuba untuk lepaskan dan reda dengan apa yang jadi, tapi bila tengok video kemalangan Awie viral, nampak keadaan dia terbaring atas jalan berlumuran darah, kami tahu ada sesuatu yang tak kena," ujar Syafiah.

Nawawi (kiri) bersama ayah dan adiknya.

Syafiah berkata hatinya remuk memikirkan ada insan yang tergamak membiarkan Nawawi terkulai di atas lebuh raya setelah dirinya diperlakukan sebegitu kejam.

"Kami tahu Awie sentiasa menunggang motosikal dengan cermat, kami yakin dia bukan terbabas sendiri, ada yang melanggarnya. Kalau tengok motosikal pun masih dalam keadaan baik, cuma ada kesan geseran sikit je.

"Tapi bila tengok badan Awie habis cedera parah, kenapa agaknya tu? Ada yang seret dan gilis dia, kami nak orang tu bertanggungjawab. Ini dikira pembunuhan. Setakat ni belum ada saksi lagi, sebab orang ramai jumpa dia dah kemalangan.

Nawawi merupakan seorang pelajar di Food Institute of Malaysia.

"Kami ada pergi buat laporan polis, minta nak tengok rakaman litar tertutup (CCTV) tapi hanya diberikan separuh, pihak polis kata atas sebab-sebab tertentu. Dalam rakaman CCTV tu nampak motosikal Awie berdekatan terowong DASH.

"Lepas tu kami nampak ada kereta Proton Saga warna merah menghampiri motosikal Awie, dekat sangat, lagi sikit nak bergeser. Rakaman sampai situ je, kami tak nampak macam mana kemalangan tu berlaku," cerita Syafiah.

Menurut Syafiah, Nawawi sangat meminati bidang masakan dan bercita-cita untuk menjadi seorang cef namun kini impian itu lebur dengan pemergiannya.

Nawawi mempunyai hubungan yang akrab dengan adik bongsunya (kanan).

"Saya nak keadilan untuk Awie walaupun itu tak akan bawa dia kembali. Siapa pelaku, itu kami nak tahu. Kami rayu. Kami perlukan penutup ni supaya kami boleh berdamai.

"Saya perasan beberapa hari sebelum dia pergi, dia banyak termenung. Waktu malam kejadian, walaupun dia dah lewat nak balik kolej, dia tetap tunggu mak balik dari luar, dia salam dan peluk mak.

"Saya sebelum tu pun sempat berborak dengan Awie. Tiba-tiba dia titipkan pesanan, dia kata kalau apa-apa jadi, jaga adik bongsu kami baik-baik. Awie dengan adik kami yang ketujuh memang rapat.

"Dalam beberapa bulan akan datang ni, dia sepatutnya mewakili kolej untuk pertandingan memasak. Dia nak banggakan mak. Tak pernah sangka dia akan pergi secepat ni," kata Syafiah menoktahkan bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain