TERPALIT dengan kontroversi yang hampir memusnahkan nama baik sendiri adalah episod hitam yang tidak mungkin akan dilupakan oleh pemuda ini. Namun siapa sangka, dia beroleh peluang kedua selepas rayuannya dipertimbangkan oleh pihak pengurusan syarikat tempatnya bekerja, Shopee Express. "Alhamdulillah, saya amat bersyukur kepada Allah apabila rayuan saya diterima dan didengar oleh pihak Shopee," ujar pemuda bernama Ahmad Firdaus Al-Farabie kepada mStar. Ahmad Firdaus sebelum ini digantung kerja oleh Shopee Express, selepas videonya memegang bungkusan terkoyak berisi pisang milik pelanggan, tersebar awal bulan lalu. Video tersebut dirakam oleh seorang rakan tanpa disedari oleh pemuda itu sendiri ketika dirinya sedang membuat pemeriksaan bungkusan sebelum dihantar kepada pelanggan. Video yang menjadi tular di Twitter. Bagaimanapun penularan video tersebut menimbulkan salah faham ramai lantaran Ahmad Firdaus dituduh mengoyakkan bungkusan pelanggan, menyebabkan pemuda tersebut diambil tindakan oleh pihak pengurusan Shopee Express. Insiden tersebut menyebabkan pemuda berusia 24 tahun itu tampil membuat permohonan maaf serta memberi penjelasan mengenai situasi yang berlaku kerana dikecam hebat. Sudah mula bekerja pada minggu lalu, Ahmad Firdaus atau senang disapa Firdaus berkata, dia memperoleh pengajaran yang cukup bermakna susulan insiden berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Lega parcel ‘pisang kontroversi’ selamat sampai walau digantung kerja – “Saya yang tampal bungkusan terkoyak” ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja syarikat kurier main-main campak bungkusan, gelakkan pelanggan beli pisang... Shopee janji ambil tindakan! "Kita harus menitikberatkan pasal etika dan disiplin di tempat kerja apatah lagi bila kita memakai uniform syarikat. "Kena sentiasa peka dengan keselamatan dan privasi pelanggan. (Saya) berjanji untuk sentiasa jujur dan berpegang dengan amanah yang diberikan oleh pelanggan dan syarikat kepada saya," ujarnya yang merupakan pemandu Shopee Xpress di Hub Machang, Kelantan. Selain rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah, Firdaus turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang memberi sokongan kepada dirinya ketika dihimpit kontroversi tersebut. Terima kasih kepada mStar yang membantu saya menjelaskan keadaan sebenarnya kepada masyarakat di luar sana. FIRDAUS "Saya nak ucapkan terima kasih kepada keluarga yang sentiasa di belakang dalam apa jua keadaan saya pada masa tersebut. "Terima kasih kepada mStar yang membantu saya menjelaskan keadaan sebenarnya kepada masyarakat di luar sana. Terima kasih kepada pihak pengurusan Shopee yang memberi peluang kedua kepada saya bekerja di sini lagi. "Juga kepada kawan-kawan yang sentiasa memberi semangat dan sokongan, serta kepada netizen di luar sana yang mendoakan segala kebaikan untuk saya. "Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik kalian semua," luahnya lagi. Firdaus (kanan, berbaju hitam) tampil dalam video berasingan selepas kejadian tersebut untuk membuat permohonan maaf dan menjelaskan situasi sebenar. Mengambil iktibar atas apa yang berlaku, Firdaus turut menitipkan pesanan kepada masyarakat agar tidak mudah menjatuhkan hukuman kepada seseorang sebelum mengetahui kisah sebenar. "Kita jangan cepat menghukum seseorang berdasarkan apa yang dilihat sahaja. "Kadang-kadang apa yang kita lihat tidak sama dengan keadaan yang sebenarnya. "Pastikan kita tahu keadaan yang sebenarnya sebelum, menjatuhkan hukum apatah lagi melibatkan dengan kerjaya seseorang itu," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!