suria

“Kami sekeluarga mohon maaf” - Bapa murid darjah 1 maklum anak bergurau londeh seluar kawan, kini trauma nak pergi sekolah

Bilik berpagar besi yang didakwa dijadikan pengasingan seorang murid darjah satu.

IBU bapa mana yang tidak sedih apabila anak yang dihantar ke sekolah untuk menimba ilmu tapi sebaliknya dikurung dalam sebuah bilik berpagar besi seperti penjara.

Selepas dua hari tular mengenai seorang murid darjah satu didenda kerana melakukan kesalahan, bapa kanak-kanak itu akhirnya tampil bersuara.

Bercakap kepada mStar, bapa murid berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Azrul meluahkan rasa kesal dengan tindakan yang dibuat terhadap anak lelakinya.

Pendedahan menerusi satu ciapan di laman Twitter menjadi tular.

Disebabkan kejadian tersebut, bapa berusia 41 tahun itu memaklumkan anaknya kini mengalami trauma.

"Saya memang tak bersetuju dengan tindakan cikgu tersebut, buat budak-budak macam tu. Saya sebagai bapa sangat kecewa.

"Anak saya tidak mahu hadir ke sekolah sebab trauma... takut akan dimasukkan ke dalam 'penjara' itu lagi," katanya ketika dihubungi mStar.

Azrul berkata, satu perjumpaan dibuat antara pihaknya bersama wakil sekolah, polis dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Astana Raja, Rembau di Negeri Sembilan pada pagi Rabu.

Jelasnya, penjelasan berhubung kejadian yang berlaku diberikan dalam perbincangan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Suka londeh seluar kawan punca murid darjah 1 'dikurung' dalam bilik jeriji besi... Hanya 10 minit, cikgu tunggu depan pagar

ARTIKEL BERKAITAN: Macam penjara! Murid darjah 1 didakwa dikurung dalam bilik pagar besi, ada kotak elektrik undang bahaya

Susulan perbincangan tersebut, Azrul memberitahu dia menerima penjelasan pihak sekolah dan memaafkan atas kejadian yang berlaku.

"Saya tak nak memanjangkan kes ini kerana memikirkan keadaan anak saya yang masih bersekolah. Anak saya buat masa sekarang tak nak ke sekolah sebab takut nak masuk ke tempat tu.

"Saya berharap kejadian seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang. Saya juga minta tempat tersebut (bilik pagar besi) dibuka dan jangan jadikan sebagai tempat kurung budak-budak kat dalam tu,” jelasnya.

Saya akan menasihati anak saya agar tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang.

AZRUL

BAPA

Sehubungan itu, Azrul berkata, dia memohon maaf dan menyesali di atas kejadian yang berlaku.

"Saya sekeluarga memohon maaf kepada pihak yang terlibat. Kami menyesali atas perbuatan anak kami.

"Saya akan menasihati anak saya agar tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa akan datang," katanya lagi.

Terdahulu, dilaporkan murid berkenaan dimasukkan dalam bilik berpagar besi itu atas kesalahan melondehkan seluar murid lain di sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, hasil siasatan pihaknya melalui pegawai perhubungan sekolah (PPS), Cawangan Khas dan Ketua Polis Balai Kota mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi Selasa.

Kejadian berlaku di sebuah sekolah rendah di Rembau.

Menurutnya, guru lelaki berusia 43 tahun didapati mendenda murid berkenaan dengan mengurung di ruangan besi kerana masalah disiplin.

"Ruangan besi itu merupakan ruangan pameran Persatuan Pencegahan Dadah Sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Hazri lagi, satu perjumpaan dibuat melibatkan pegawai pendidikan daerah, pihak sekolah dan keluarga mangsa yang turut dihadiri pihak polis.

"Hasil perjumpaan tersebut, bapa mangsa menerima penjelasan oleh guru tersebut dengan baik dan memaafkannya.

"Setakat ini, tiada laporan polis yang diterima berkaitan kejadian ini," katanya sambil menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak sahih sehingga menggugat ketenteraman awam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain