suria

Pengantin, ‘bridesmaid’ membatu atas pelamin... Juruvideo hidupkan semula trend lama sebelum generasi TikTok... Kelip mata pun tak boleh!

Juruvideo ini cuba menghidupkan semula trend lama kepada pasangan pengantin masa kini.

TUGASAN yang berulang menyebabkan lelaki ini cuba memburu kelainan dalam pekerjaannya.

Mempunyai pengalaman hampir sedekad sebagai jurugambar dan juruvideo profesional, Haikal Omar, 31, sering dipanggil ke majlis perkahwinan untuk mengabadikan kenangan berharga pasangan mempelai.

Gara-gara mahukan sesuatu yang ekstra, Haikal melalui satu video tular di TikTok dilihat menghidupkan kembali trend Mannequin Challenge di media sosial yang sudah lama terkubur.

Trend Mannequin Challenge, seperti namanya iaitu boneka pakaian merujuk kepada aktiviti di mana mereka yang terlibat harus berada dalam keadaan kaku selama beberapa minit sambil video dirakam.

Bercerita kepada mStar, Haikal berkata trend cukup popular sekitar tahun 2016 itu dikembalikan bagi menambah keistimewaan video perkahwinan yang dihasilkan.

"Saya pergi shooting untuk majlis perkahwinan tu pada pertengahan bulan Mei. Majlis perkahwinan tu orang yang saya kenal, mereka jiwa muda dan terbuka untuk mencuba.

ARTIKEL BERKAITAN: Diusik kain hilang, nak terbang di majlis kahwin... peminat Aina Abdul tak kisah baju pengantinnya dikritik asalkan majlis berjalan lancar

ARTIKEL BERKAITAN: Tetamu teruja, majlis meriah... pengantin perempuan dedah terpaksa berendam air mata nak kahwin drive thru!

"Saya nampak pengantin lelaki dan perempuan memang segak dan jelita pada hari majlis tu. Jadi saya rasa suasana waktu ni sesuai nak buat trend supaya ia lebih memorable buat pengantin.

"Walaupun trend yang tengah naik pada masa tu ialah 'Wes Anderson' tapi semua orang dah buat dan mainstream sangat. Jadi saya terfikir nak buat Mannequin Challenge. Saya pun terangkan kepada pengantin dan keluarganya.

"Ada yang tahu apa itu Mannequin Challenge dan ada juga yang tidak tahu. Saya aturkan semua rancangannya dan letak mereka pada posisi masing-masing," kata Haikal yang menetap di Cyberjaya, Selangor.

Inisiatif yang saya buat ni adalah untuk bagi majlis tu lain daripada yang lain.

HAIKAL OMAR

Haikal mengatakan penghasilan Mannequin Challenge pada majlis perkahwinan itu memerlukan kira-kira tiga kali percubaan untuk ia mencapai tahap yang memuaskan.

"Mannequin Challenge ni walaupun nampak mudah tetapi ia memerlukan juruvideo yang berkemahiran untuk jayakannya. Selain teknik suntingan, penting juga macam mana kita nak choreography semua orang supaya video jadi unik.

"Kadang-kadang mungkin ada yang tergerak atau berkelip mata, itu pun kita kena ambil kira. Jadi kalau orang tanya kenapa Mannequin Challenge? Sebab waktu ia tengah naik dulu bukan zaman TikTok. Lebih kepada YouTube, Instagram dan Facebook.

Haikal tidak kekok untuk keluar dari zon selesa ketika bertugas.

"Saya rasa kita boleh bagi Mannequin Challenge peluang kedua untuk naik sekali lagi dalam media sosial hari ini. Alhamdulillah, video sebalik tabir macam mana saya buat Mannequin Challenge masuk ke For Your Page (FYP).

"Dapat dua juta tontonan. Production house yang saya wakili untuk shooting majlis perkahwinan tu pun tumpang berbangga," kata Haikal yang mula menceburi bidang fotografi secara sepenuh masa sejak tahun 2014.

Merupakan graduan sarjana muda teknologi kreatif dan artistik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Selangor, Haikal mengatakan gimik seterusnya dalam perancangannya adalah Harlem Shake.

Haikal begitu teliti dalam tugasnya demi dapatkan hasil yang berkualiti.

"Inisiatif yang saya buat ni adalah untuk bagi majlis tu lain daripada yang lain, sebabnya apabila setiap minggu asyik shooting benda sama, sampai satu tahap kita rasa tepu.

"Tapi apa-apa pun, setiap kali saya nak cuba buat suatu trend tu, saya akan tengok dulu keadaan. Kalau kena dengan orang dan keadaan majlis, baru saya akan approach pengantin.

"Syukur daripada apa yang saya buat ni dan apabila viral hari tu, ramai yang datang cari saya untuk tanya pakej fotografi dan sebagainya. Bertambah masuk rezeki.

"Trend seterusnya yang saya nak berikan nyawa semula adalah dari tahun 2013 iaitu Harlem Shake. Tapi trend ni agak 'ganas' sikit dan saya kena cari majlis yang betul-betul sesuai untuk saya cuba," kata Haikal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain