suria

Mak abah main kahwin-kahwin, bahagia dapat melaram songket hijau... Anak buka rahsia siapa paling teruja masuk butik pengantin

Suami isteri ini teruja memakai busana pengantin.

AKSI romantik pasangan suami isteri ini mengalahkan orang muda yang baru bercinta.

Walaupun sudah sekian lama mendirikan rumah tangga, namun kedua-duanya tetap mesra dan teruja mengenakan busana pengantin.

Menerusi satu video yang tular, mereka yang beraksi seperti raja sehari kelihatan malu-malu ketika bertentangan mata.

Berkongsi cerita, anak kepada pasangan itu, Azura Bohari menjelaskan bahawa ia bukan pertama kali ibu bapanya yang masing-masing berusia 57 dan 68 tahun memakai baju pengantin.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada pengisian masa lapang pasangan itu yang sering berkunjung ke butik pengantin miliknya di Banting, Selangor.

"Abah dan mak boring duduk di rumah. Sekali-sekala mereka akan datang ke butik saya untuk memakai baju pengantin.

"Sudah banyak kali mereka datang dan cuba pelbagai busana, cuma tahun-tahun sebelum ini hanya ibu yang teringin dan abah hanya ikut saja permintaan mak," katanya kepada mStar.

Ibu bapa Azura yang menetap di Banting.

Usia perkahwinan ibu bapa Azura memasuki tahun ke-39 pada Ogos ini.

Namun Azura berkata, tahun ini menyaksikan kelainan kerana bapanya, Bohari Parkam sendiri yang mahu memakai busana pengantin bersama isteri, Bariah Misni.

Kami adik-beradik gembira melihat hubungan mesra abah dan mak dan berharap mereka kekal sihat dan dipanjangkan umur.

AZURA BOHARI

"Sejak saya buka butik pada 2019, ini pertama kali abah terdetik hati untuk pakai baju pengantin secara sukarela.

"Ikutkan tahun-tahun sebelum ini ada je mak datang seorang ke butik tanpa ditemani abah dan mencubanya. Biasalah kaum wanita suka yang cantik, lebih-lebih lagi ada saiz yang sepadan," ujarnya yang berasal dari Banting.

Azura (berdiri, dua kanan) bersama keluarga.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, ibu bapanya seperti kebanyakan orang-orang lama yang lebih hangat bercinta selepas mendirikan rumah tangga.

ARTIKEL BERKAITAN: Usia hampir seabad, romantik macam baru kahwin... cucu dari jauh ada sebab mula simpan koleksi video sweet datuk, nenek

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula buka pintu kereta, kemudian pimpin tangan isteri masuk masjid... Gelagat pakcik 'sweet' sampai tua bikin ramai cemburu!

"Mak ayah tak bercinta sangat pun masa bertunang, orang dulu-dulu kan. Apabila dah jodoh, barulah bercinta selepas kahwin.

"Ogos tahun ini masuk tahun ke-38 abah dan mak sebagai suami isteri. Alhamdulillah," katanya sambil menambah bapanya merupakan bekas buruh, manakala ibunya suri rumah.

Keluarga ini meriah dengan tiga generasi.

Azura yang merupakan ibu kepada dua cahaya mata itu turut memberitahu, walaupun ibu bapanya kelihatan serasi sebenarnya mempunyai dua karakter yang berbeza.

"Mak seorang yang garang tapi penyayang. Abah pula lebih cool dan relaks, tapi kami adik-beradik dulu tetap takutkan abah dan selalu merujuk pada mak," katanya.

Usia perkahwinan ibu bapa Azura memasuki tahun ke-39 pada Ogos ini.

Mengenai ibu bapanya yang gemar ke butik pengantin miliknya untuk mencuba busana baharu, kata Azura, mungkin itu adalah salah satu cara mereka menunjukkan kebahagiaan dan kasih sayang antara satu sama lain.

"Saya sendiri terkejut dan terharu dengan gelagat abah. Penampilannya selalu berkopiah dan berkemeja. Setiap kali raya pun hanya pakai samping untuk sesi fotografi, katanya rimas.

"Tapi lain pula untuk baju pengantin, abah nampak lebih selesa. Mak pun nampak gembira apabila abah sukarela pakai baju tu.

"Sebagai anak, kami adik-beradik sudah tentu gembira melihat hubungan mesra abah dan mak dan berharap mereka kekal sihat dan dipanjangkan umur," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain