suria

Sepeket mi segera sangat bernilai buat budak comot ini! Pemberi simpati tapi terpaksa ‘kedekut’ cuma mampu bagi sebungkus

Khairil (kiri) berkongsi kisah pengembaraannya di Laos menerusi TikTok.

ADA ungkapan mengatakan, jauh perjalanan, luas pemandangan.

Apabila banyak mengembara seseorang bukan sahaja dapat merasai pengalaman menjejakkan kaki ke bumi asing dan mempelajari budaya mereka, malah mendapat pengajaran yang amat berharga dan tidak boleh dibeli di mana-mana.

Bagi Khairil Anuar Ahmad, hobinya yang gemar menjelajah ke negara asing dengan menggunakan motosikal (ride) banyak mengajarnya erti bersyukur.

Beberapa perkongsian video ketika dia mengembara ke negara Laos, Disember lalu, yang antaranya memaparkan keadaan kanak-kanak yang ditemuinya, membuatkan warga maya tersentuh hati.

Dalam satu video yang dimuat naik di laman TikTok, seorang budak perempuan yang berpakaian comot dan hanya berkaki ayam kelihatan terharu apabila menerima sepeket mi segera daripadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan suami isteri ini naik kapcai tawan berpuluh negara, paling ngeri dan ‘menyesal’ ketika lalu jalan raya kedua tertinggi dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Samseng habis! Sudahlah berdiri di laluan ‘New Zealand’, rider ada hati nak hempuk kereta

"Ketika itu saya singgah dekat tepi jalan untuk menggunakan tandas. Sebaik keluar, ada seorang budak perempuan berdiri berhampiran tempat saya parkir motor dan tengok je saya.

"Mungkin dia nak cakap sesuatu tapi macam malu sebab saya orang luar. Saya serta merta jatuh kesian, dan terus buka box motor, ambil sepeket mi segera untuk diberi padanya.

LAOS 4

Kanak-kanak yang ditemui di perkampungan di Laos gembira mendapat gula-gula.

"Dia rapatkan kedua-dua tapak tangan dan ukir senyuman sebagai tanda terima kasih. Tak pasti keadaan keluarganya macam mana, tapi melihat pakaian, saya tahu dia orang susah.

"Begitu juga ketika bertemu beberapa budak sekolah di tepi jalan. Saya beri gula-gula dan mereka nampak seronok sangat macam dapat hadiah," ujar lelaki berusia 35 tahun ini.

Menurut Khairil, dia tidak menyangka perkongsian mengenai video kanak-kanak tersebut mengundang perhatian netizen sehingga menjadi tular.

"Ramai yang turut simpati bila lihat video tersebut. Tapi ada yang salah sangka, mereka ingat video tu dekat Malaysia.

"Ramai komen bertanya lokasi sebab nak beri bantuan. Ada pula yang persoal kenapa saya beri mi segera sebungkus saja, dan kenapa tak beri alat tulis dekat budak sekolah yang saya jumpa tu.

LAOS 3

Khairil sempat bergambar bersama pelajar sekolah yang ditemui di tepi jalan.

"Tak apalah, mungkin ada netizen yang tak tahu saya ride di luar negara. Tapi yang pasal beri sebungkus mi segera tu, saya minta maaf dapat beri itu saja.

"Sebab bekalan makanan yang dibawa agak terhad untuk 'survive' selama tiga minggu. Lagi pula nak dapatkan makanan halal di sana agak susah," ujarnya yang berasal dari Permatang pauh, Pulau Pinang.

Berkongsi cerita mengenai pengembaraan tersebut, Khairil berkata program konvoi itu disertai seramai 14 rider dan mengambil masa tiga minggu.

Ramai yang turut simpati bila lihat video tersebut. Tapi ada yang salah sangka, mereka ingat video tu dekat Malaysia.

KHAIRIL ANUAR AHMAD

"Sebetulnya perjalanan betul-betul ambil masa dua minggu, tapi seminggu lagi tu waktu untuk berehat sebelum memulakan pengembaraan.

"Selain kisah kanak-kanak tu, banyak perkara yang mengajar saya dan rider lain erti bersyukur. Daripada kemudahan infrastruktur jalan, fasiliti dan juga gaya hidup.

"Kalau nak dibandingkan, memang betul-betul buatkan saya muhasabah. Bayangkan, rumah di perkampungan masih memasak guna kayu api.

"Kaum lelaki akan cari kayu api setiap pagi. Ada saya tengok, budak-budak angkut kayu api atas kepala. Rumah berdebu sebab jalan tak berturap. Kita rakyat Malaysia ternyata sangat bertuah," kongsinya lagi.

LAOS 2

Khairil bersama rakan-rakan yang menyertai konvoi ke sempadan China, Disember lalu.

Sekadar membuat rakaman ringkas sepanjang pengembaraan tersebut, Khairil berkata dia sama sekali tidak menyangka videonya mendapat sambutan daripada warga maya.

"Pada asalnya, saya rekod suka-suka saja untuk tatapan keluarga. Saya ambil gambar dan video pun random dan ringkas-ringkas sebab saya bukan content creator.

"Video-video tu pun yang pengembaraan bulan Disember, saya baru saja upload di TikTok. Tak sangka, ramai pula seronok dan minta saya upload lagi video-video lain.

"Mereka kata seolah-olah mereka dapat menjelajah bersama dengan saya. Siap minta buat channel YouTube. Saya gembira kerana ramai yang suka daripada perkongsian tak seberapa ini," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain