suria

Bapa baru meninggal, 7 anak yatim buka gerai! Kawan arwah tergerak hati singgah sebelum viral- “Aku bangga tengok depa usaha”

Isteri arwah mengusahakan gerai makanan di Alor Setar bersama tujuh orang anaknya.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Video memaparkan seorang ibu tunggal yang mengusahakan gerai makanan bersama tujuh anaknya di Alor Setar, Kedah, ternyata mengundang rasa simpati netizen.

Menurut pemilik video, Fida Sahaq, 32, peniaga wanita tersebut merupakan isteri kepada bekas rakan sekerjanya iaitu Mohamad Ashraf atau Chik yang baru meninggal dunia akibat sakit jantung pada Januari lalu.

gerai2

Anak-anak arwah gigih membantu ibu mereka berniaga.

"Chik, malam ni aku singgah kat gerai bini hang (kamu). Aku sebak rasa macam hang ada je kat sini. Hang tengok anak-anak hang, aku bangga tengok depa (mereka) sebab depa rajin tolong mak depa.

"Waktu aku terima perkhabaran tentang kematian hang. Perkara pertama aku ingat adalah anak-anak hang. Aku tak boleh bayang macam mana hidup depa tanpa hang. Malam ni aku tengok sendiri yang depa ni kuat.

"Anak yang baik. Bini hang pun seorang yang sangat kuat. Aku bangga tengok depa berusaha tanpa meminta-minta. Orang Alor Setar mohon support," tulis Fida menerusi kapsyen di TikTok.

Isteri arwah ucap terima kasih sebab tularkan gerainya. Dia pun terharu baca komen-komen netizen.

FIDA SAHAQ

Bercakap kepada mStar, Fida berkata dia dan arwah pernah bekerja di sebuah pasar raya dan mereka mengenali antara satu sama lain sekitar lima tahun lalu.

"Dulu kami kerja gudang pasar raya. Dah bertahun saya kenal arwah Chik. Dia diberhentikan sebab faktor kesihatan. Lepas berhenti, arwah berniaga nasi lemak dengan isterinya. Chik sebelum ni pernah koma, dia ada sakit jantung. Lepas tu, saya dapat tahu dia meninggal.

"Kami biasa kerja sekali, jadi saya tahu keadaan ekonomi mereka. Survive dengan kerja tak seberapa. Jadi bila dia dah tak ada, saya rasa tak boleh nak bayang macam mana keadaan keluarganya," imbas Fida.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedai makan tak laku, seorang pelanggan pun tiada... Hasrat wanita minta edit gambar macam gerai viral sentuh hati netizen

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga guna helah iklan gerai, ramai tertipu sangka betul Tokti pernah singgah! Netizen buat pendedahan mengejutkan

Menurutnya, pada hari kedua sambutan Aidiladha, dia dan suami keluar untuk membeli makanan sebelum dia membuat rakaman video keadaan isteri serta anak-anak arwah yang sedang berniaga di sebuah gerai.

Tambah Fida, dia sama sekali tidak menyangka tindakannya berkongsi video itu ke aplikasi TikTok akan menyebabkan anak beranak itu tular sekali gus mereka menerima sokongan ramai pelanggan.

"Kebetulan raya kedua, saya malas nak masak. Saya keluar dengan suami, nampak mereka sedang berniaga. Jadi saya rakam video sebab teringat dekat arwah, saya kongsi di TikTok. Tak sangka viral.

gerai3

Komen netizen di TikTok.

"Tapi pada waktu itu, saya tak sempat berborak dengan isterinya. Mungkin dia pun tak cam sebab dulu saya free hair, kini saya dah bertudung. Lagipun pada waktu itu dia tengah sibuk berniaga, saya tak mahu ganggu.

"Bila video viral, ramai orang luahkan sokongan untuk mereka. Isteri arwah juga mesej saya, suruh datang lagi ke gerainya. Isteri arwah ucap terima kasih sebab tularkan gerainya. Dia pun terharu baca komen-komen netizen," cerita Fida lagi.

Untuk rekod, video berkenaan meraih hampir 200,000 tontonan dan turut dihujani lebih 500 komen netizen di aplikasi TikTok yang mana rata-ratanya menitipkan kata semangat serta mendoakan rezeki keluarga tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain