suria

Rakam video, buat poster sendiri tapi hasil ‘sendu’! Kesian tengok makcik ‘struggle’ guna media sosial demi pertahan gerai usia 12 tahun

Wanita ini gigih mempromosikan gerainya walaupun kurang arif dengan dunia media sosial.

MAGIS sentuhan warga maya sememangnya mampu merealisasikan impian seseorang.

Demikianlah kisah seorang wanita dan ibunya apabila gerai mereka yang suram sejak kebelakangan ini mampu 'dihidupkan' kembali penangan kuasa viral.

Dalam satu ciapan di Twitter, Amirah Athirah, 25, atau mesra disapa Mira menceritakan bagaimana ibunya Faiez Noor, 53, bertungkus-lumus untuk mempromosikan gerainya di media sosial namun tidak membawa hasil yang diharapkan.

Ciapan Mira yang tular.

Bercerita kepada mStar, Mira berkata gerai ibunya sudah bertapak selama 12 tahun di Setia Alam, Selangor tetapi tidak berupaya mengejar persaingan daripada peniaga lain yang rancak berkembang.

"Gerai yang sekarang ini dikenali sebagai Tapaw Station, merupakan perusahaan bersama ibu dan arwah abah. Dulu waktu arwah abah ada, gerai ni jual buah-buahan segar dan air kelapa muda.

"Bila abah meninggal tahun 2016, ibu tak jual lagi buah dan pilih untuk jual makanan yang dia boleh masak. Cuma sejak akhir-akhir ni, banyak gerai makan berdekatan kedai ibu yang mula tutup satu-persatu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa baru meninggal, 7 anak yatim buka gerai! Kawan arwah tergerak hati singgah sebelum viral- “Aku bangga tengok depa usaha”

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga guna helah iklan gerai, ramai tertipu sangka betul Tokti pernah singgah! Netizen buat pendedahan mengejutkan

"Ibu selalu mengadu yang kedai dah tak ramai orang dan makanan dia masak selalu tak habis. Ibu lemah semangat sampai berhenti jual makanan, jual air kelapa je. Kuasa membeli sekarang banyak di media sosial dan ibu tak ada 'benda' tu.

"Orang ramai nak makanan yang nampak menarik dan kena dengan trend semasa, jadi gerai makan konvensional macam ibu akan ketinggalan," jelas Mira yang mempunyai tujuh adik-beradik.

Menurut Mira, dia cuba membantu ibunya untuk berjinak-jinak dengan media sosial namun tidak mampu untuk memulihkan prestasi gerai makan keluarga mereka.

"Saya tunjukkan dekat ibu kata-kata semangat dari netizen, ibu sampai berjuraian air mata bila baca.

AMIRAH ATHIRAH

"Ibu kalau boleh tak nak tengok gerai dia tutup. Tapaw Station ni dia yang bangunkan dengan arwah abah, dia sayang gerai ni. Jadi untuk selamatkannya, dia ada cuba guna media sosial.

"Dia dah biasa dengan Facebook sebab dekat situ ada ramai yang seusia dengannya. Ibu cuba keluar dari comfort zone dengan beranikan diri masuk ke Instagram dan TikTok. Ibu design poster dan buat video ikut cara yang dia tahu sendiri.

"Tapi teknik tak berapa menjadi, ibu punya engagement (capaian) dan views pun tak banyak. Dia ada minta saya ajar, saya sempat ajar sikit apa yang tahu sebab saya pun duduk asing dari ibu di Sungai Buloh, Selangor.

Mira membantu ibunya untuk menambah baik poster.

"Selain dari tu, saya sibuk dengan kerja dan tak dapat nak selalu ada dengan ibu. Kadang tu saya hantar poster yang saya design sendiri dekat ibu, tapi tersimpan dalam gallery ibu je sebab ibu tak tahu macam mana nak posting," kata Mira.

Seperti kata hikmat hasil tidak akan mengkhianati usaha, ciapan Mira yang menjadi tular di Twitter ibarat memberi talian hayat yang sangat diperlukan gerai Tapaw Station.

"Bila apa yang saya tweet tu jadi viral, ramai yang kesian tengok ibu punya struggle nak sesuaikan diri dengan media sosial. Sejak kelmarin, ramai yang tawarkan diri nak jadi social media manager untuk gerai ibu.

Cubaan awal ibu Mira membuat hantaran di laman Instagram.

"Ada juga yang cakap nak datang buat review makanan percuma di gerai ibu. Saya kata dekat ibu ini peluang untuk kita belajar, macam mana cara yang sebetulnya nak main dengan media sosial.

"Minggu depan pun ada yang sedekahkan makan untuk 10 orang pelanggan, nak bagi semangat untuk ibu kembali memasak, sekurangnya kalau tak habis tak ada la rasa rugi sangat," cerita Mira.

Mira berkata suntikan motivasi daripada warga maya meyakinkan ibunya untuk kekal optimis mencuba perkara baharu bersama gerai Tapaw Station.

Ibu Mira sering mendapatkan pendapat anaknya berkaitan media sosial.

"Saya tunjukkan dekat ibu kata-kata semangat daripada netizen, ibu sampai berjuraian air mata bila baca. Sekarang ni, di samping air kelapa, ibu ada juga buat coconut shake dan ais batu campur (ABC).

"Dan bermula Isnin ni, ibu akan masukkan semula menu makanan. Nanti akan ada mi sup, mi kari, laksa dan ayam penyet. Tak dilupakan juga hidangan istimewa ibu, asam pedas, memang luar biasa sedapnya.

"Ibu bercita-cita nak ada set asam pedas dengan coconut shake macam di Melaka tu. Dan kalau dapat sambutan dan ada untung, ibu teringin nak pergi bercuti sebab ibu dah lama sangat tak bercuti," kata Mira menutup bicara.

Sebagai makluman, gerai Tapaw Station terletak berhadapan restoran Ayamas di Saujana Utama, Selangor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain