KEGEMBIRAAN seorang pemuda bermain futsal dengan rakan-rakannya berakhir tragedi apabila dia rebah tidak sedarkan diri pada 6 Julai lalu. Menurut Muhammad Amirul Aiman Zainudin, 23, dia mendapatkan rawatan di sebuah klinik pada hari kejadian sebelum dimasukkan ke hospital esoknya selepas disahkan mengalami tekanan jantung rendah. "Ketika main futsal saya rasa tak larat. Masa nak keluar, mata dah kabur. Selangkah jalan terus tumbang ke lantai. Selepas 15 ke 20 minit saya dah okey balik. Selepas itu saya dibawa ke klinik. Amirul dibenarkan discaj selepas tiga hari menerima rawatan di hospital. "Selepas doktor buat pemeriksaan elektrokardiogram (ecg), dia panik seperti saya nak mati, sedangkan saya tak rasa sakit apa. Doktor kata kena pergi hospital pada malam tu tapi saya balik rumah. "Esok pagi saya sempat pergi kerja sekejap sebelum pergi ke sebuah hospital. Saya terus dimasukkan ke zon merah unit rawatan rapi (ICU) sebab bacaan jantung yang teruk," imbasnya kepada mStar. Sampai sekarang saya gigit kayu sugi, kalau tiada mungkin hancur jari sendiri saya gigit. MUHAMMAD AMIRUL AIMAN ZAINUDIN Menurut Amirul yang menghisap vape sejak tahun 2018, dia juga pernah dimasukkan ke hospital akibat tekanan jantung rendah pada tahun 2019. Namun katanya, doktor masih gagal mengenal pasti punca sebenar penyakitnya dan sekadar membuat andaian ia berpunca daripada ketagihan rokok elektronik itu. "Lepas masuk wad tahun 2018, saya hanya berhenti vape seminggu je. Lepas tu saya hisap balik sehinggalah masuk wad kali ni, barulah saya berhenti betul-betul. Tapi doktor tak boleh sahkan benda tu sebab masih belum jumpa punca. ARTIKEL BERKAITAN: Padah berasap 24 jam! Lelaki jauhi vape selepas seminggu di ICU, dada ditebuk... Simptom bermula masa jogging ARTIKEL BERKAITAN: Gadis bawah umur bangga hembus vape, selamba merokok depan orang... Lelaki ini runsing generasi muda makin tak malu buat salah "Biasanya kalau hisap vape, kesannya pada paru-paru. Tapi paru-paru saya okey. Jadi doktor minta sebulan lagi untuk analisis jantung saya. Tapi doktor memang cakap, sekarang ramai budak muda sakit sebab vape," ujarnya yang bekerja sebagai juruteknik. Menurut Amirul yang menetap di Bukit Subang, Selangor, dia berdepan kesukaran untuk meninggalkan tabiat buruk itu sehingga terpaksa menggunakan kayu sugi sebagai alternatif. "Pengalaman ini buat saya benar-benar insaf. Sebab boleh nampak orang meninggal bila-bila masa dalam wad. Baru je berbual, lepas tu orang tu meninggal. Tapi Alhamdulillah saya diberi nyawa untuk kali kedua. Saya discaj selepas tiga hari dalam hospital. Amirul berpesan agar anak muda di luar sana meninggalkan vape kerana ia memberi kesan buruk terhadap kesihatan. "Mak nampak saya gian sebab tak dapat vape. Saya tanya mak, ada tak apa-apa yang boleh digigit. Mak sarankan guna kayu sugi. Sampai sekarang saya gigit kayu sugi. Kalau tiada kayu sugi, mungkin hancur jari sendiri saya gigit," ujarnya berseloroh. Amirul turut berkongsi kisah penyakitnya itu menerusi TikTok sehingga ada pihak yang membuat teori bahawa dia merupakan mangsa kepada vaksin Covid-19. "Saya terlintas nak buat content di TikTok sebab risau kalau saya mati, kawan-kawan ada kenangan untuk ditonton. Tiba-tiba ada yang komen, kata ini berpunca daripada vaksin. Sedangkan saya dah pernah kena macam ni 2019 lagi. Amirul nekad berhenti menghisap vape selepas kejadian minggu lalu. "Selepas itu, ada juga yang komen menakutkan-nakutkan saya, mereka kata saya akan mati dalam dua ke tiga hari. Memang menangis saya baca, tapi saya tetap reply terima kasih. "Apa-apapun, saya nak sampaikan pesan doktor kepada orang di luar sana supaya berhenti hisap vape. "Vape ada bahan bahaya yang membuatkan orang muda sakit. Walaupun punca saya sakit belum disahkan, tapi ia mungkin ada kaitan dengan vape," ujar Amirul lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube