suria

Geram tengok cendawan gebu tumbuh tepi rumah, isteri masak jamu sekeluarga... Rupanya beracun! - “Saya panik, suami dah lemah longlai”

Perkongsian tentang masakan cendawan beracun di TikTok mengejutkan ramai.

TULAR di media sosial tentang sebuah keluarga dikejarkan ke hospital gara-gara termakan cendawan beracun.

Sebagaimana diceritakan @mas.ita, suaminya menjumpai lebih kurang 10 kaki cendawan jenis Chlorophyllum Molybdites di tepi rumah mereka, baru-baru ini.

Walaupun pada awalnya terdetik di hati rasa ragu-ragu untuk makan cendawan yang tumbuh meliar, dia tetap meneruskan hasrat menggoreng cendawan tersebut sebagai hidangan mereka sekeluarga.

Mas menyediakan hidangan cendawan liar untuk keluarganya sebagai menu makan tengah hari.

"Saya saja nak buat content masak-masak. Apabila teliti pada cendawan tu macam cendawan busut (Termitomyces) tapi bukan.

"Kemudian saya tengok cendawan tu gebu macam pau, lembut sangat... Tapi bahagian bawah cendawan ni berwarna hijau pucat dan ada (bentuk) cincin dekat bawah.

ARTIKEL BERKAITAN: Cendawan Makkah banyak kelebihan, mampu rawat diabetes? Ini penjelasan pakar

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak jadi kaya saya walau terjual 1,000 pek sekali pun” - Guru tolak komisen RM1, ikhlas tolong promosi cendawan sisir

"Saya pun ragu-ragu boleh makan ke cendawan ni tapi teruskan juga memasak sebab dah lama tak makan cendawan," jelasnya dalam video dimuat naik di TikTok.

Ketika cendawan itu dibersihkan, Mas berkata terdapat debu-debu spora (habuk halus) yang terkeluar.

Selain itu tiada seekor serangga pun dijumpai semasa Mas memotong batang cendawan berkenaan.

Keadaan cendawan jenis Chlorophyllum Molybdites yang dibersihkan oleh wanita ini.

Tanpa berlengah Mas dilihat mula memasak cendawan liar itu dengan menumis bawang, cili dan halia.

Dalam video yang dikongsikan juga, Mas menjelaskan air didihan cendawan itu berubah warna kepada hijau pucat namun rasanya enak seperti masakan cendawan busut.

"Lepas tu tunggu apa lagi kan, saya pun rasa. Memang okey dan sedap macam cendawan busut.

cendawan racun

Cendawan beracun dibuang atas arahan suami.

"Setelah selepas makan tengah hari tu, kami sakit. Tak sempat saya nak check (carian) Google, rupa-rupanya memang betul sah-sah cendawan tu tak boleh makan... beracun!

"Suami terus suruh saya buang cendawan tu sebelum anak-anak kami yang lain makan. Saya panik, suami saya dah lemah longlai tak boleh nak pandu kereta jadi saya telefon 999 (talian kecemasan)," ujarnya.

Menurut Mas lagi suaminya makan tumbuhan liar tersebut dalam kuantiti yang banyak menyebabkan dia mengalami muntah-muntah sehingga hampir pengsan.

Cendawan beracun kebanyakan ada cincin dekat batang dan tak akan ada serangga pun dekat cendawan tu.

NETIZEN

Malah, Mas dan anaknya turut mengalami sakit akibat termakan cendawan tersebut walaupun dimakan dalam kuantiti yang sedikit.

Dalam video yang meraih lebih sejuta jumlah tontonan itu, dia sempat menitipkan pesanan agar orang ramai lebih cakna mengenai jenis-jenis cendawan yang tidak boleh dimakan kerana beracun.

Rata-rata netizen turut menyatakan pendapat dan tip mereka tentang cendawan liar.

"Cendawan beracun kebanyakan ada cincin dekat batang dan tak akan ada serangga pun dekat cendawan tu.

Komen netizen di TikTok.

"Ada kaum Cina bagi petua. Masak cendawan letak halia. Kalau halia tu hitam maknanya cendawan dimasak tu beracun.

"Tak pernah masak cendawan yang kutip dekat tepi-tepi rumah melainkan beli dekat pasaraya," komen netizen di TikTok.

Untuk rekod, menurut portal Asia Research News, Chlorophyllum Molybdites ialah cendawan beracun yang paling kerap dilaporkan di Malaysia.

Cendawan ini seringkali dikelirukan dengan cendawan Termitomyces, jenis yang boleh dimakan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain