BARU-BARU ini tular di media sosial mengenai rakaman menunjukkan berpuluh buah kenderaan menggunakan lorong kecemasan ketika trafik sesak. Kejadian dipercayai berlaku di Lebuhraya Utara Selatan dekat Johor. Berdasarkan beberapa rakaman yang tular, turut dirakamkan sebuah kereta Honda berwarna merah yang memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan. Menerusi rakaman yang dipercayai dibuat oleh seorang wanita, salah seorang daripada penumpang kenderaan terbabit dilihat sedang membuang air kecil. Antara kenderaan yang melalui lorong kecemasan dirakamkan oleh seorang wanita. Susulan penularan video tersebut, seorang individu yang mendakwa sebagai pemilik kereta Honda berwarna merah berkenaan tampil memberi penjelasan berhubung situasi yang berlaku. Dia mendakwa terpaksa memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan kerana terdesak apabila bapanya yang merupakan warga emas terpaksa membuang air kecil. ARTIKEL BERKAITAN: "Sis basuh kencing tonyoh dengan getah paip?" - Netizen tempelak wanita gelabah rekod video jumpa skru dalam 'hose' tandas awam ARTIKEL BERKAITAN: Kencing dalam botol, tahi merata... bilik dah macam tong sampah! Satu rumah busuk kerana seorang penyewa pengotor Ujarnya ketiadaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian sebelah yang berdekatan memaksa dia berhenti di situ bagi membolehkan bapanya membuang air kecil. "Saya pemilik kereta berwarna merah dalam video tersebut. Pada hari kejadian cuaca hujan dan terjadi kemalangan di depan yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas. "Pada saat itu, saya hanya memilih untuk mengatasi situasi mendadak ini di tepi lorong kecemasan. Saya menyalakan lampu kecemasan untuk ke lorong kecemasan," tulisnya menerusi satu ruangan komen di grup Facebook. Menurut pemandu kereta Honda itu, dia menyedari terdapat seorang individu di dalam sebuah kereta membuat rakaman dan melihat video itu tersebar di media sosial beberapa hari kemudian. "Jika saya dikenakan denda, saya harus bertanggungjawab. Tetapi mengapa harus memburukan imej orang lain? Adakah ayah saya berbuat salah kerana harus membuang air kecil kerana keadaannya? "Adakah dia melakukan kejahatan? Hal ini amat menyinggung perasaan keluarga saya dan saya berasa terganggu," katanya lagi. Jika dikenakan denda, saya harus bertanggungjawab... tapi mengapa harus burukan imej orang? PEMANDU HONDA Katanya lagi, dia berharap pemilik video tersebut dapat memberi penjelasan dan membuat permohonan maaf secara terbuka atau dia akan mengambil tindakan undang-undang kerana mengaibkan bapanya. Selain merakamkan keretanya berhenti di lorong kecemasan, pemilik video tersebut turut didakwa bergelak ketawa ketika melihat bapa pemandu Honda terbabit membuang air kecil. Laporan polis dibuat berhubung kejadian. Difahamkan, pemandu kereta Honda tersebut membuat laporan polis berhubung video yang tular. "Saya akui dan akur sekiranya kereta yang dipandu oleh saya ditularkan kerana menggunakan lorong kecemasan tetapi ini melibatkan maruah ayah saya," katanya. Hasil semakan mendapati video yang dimuat naik oleh seorang pengguna akaun TikTok bagaimanapun sudah dipadamkan. Untuk rekod, perbuatan mengaibkan kehormatan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Pada masa sama, memandu di lorong kecemasan juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube