suria

Bantal busuk hangus depan mata, budak lelaki 10 tahun pasrah pakcik bakar kenangan lama... Mujur masih boleh tidur nyenyak

Seorang kanak-kanak sedih melihat bantal busuknya dibakar oleh bapa saudara.

PADA mulanya ramai yang menyangka daun pisang kering. tetapi rupa-rupanya bantal busuk.

Paling tidak disangka apabila bantal busuk milik seorang kanak-kanak lelaki ini dibakar oleh bapa saudaranya.

Menerusi video yang tular, budak lelaki itu cuba berlagak tenang membiarkan bantal busuknya dibakar di depan mata sebelum bertukar menjadi drama air mata.

Bercakap kepada mStar, bapa saudaranya, Mior Izwanuddin Mohd Azhari mengakui dia yang membakar bantal busuk milik anak saudara lelakinya yang berusia 10 tahun.

Ketika kejadian, katanya, anak saudaranya yang lebih mesra disapa Irfan datang ke rumah ibu bapanya di Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk menghabiskan masa cuti hujung minggu.

"Bantal busuk tu dimiliki anak saudara sejak dia masih kecil. Daripada elok bantal tu, sampailah koyak dan hilang kekabu sehingga dijahit banyak kali sampai jadi macam kain buruk.

"Saya pesan kalau masih nak ada bantal busuk, dia kena cari baharu yang elok sebab yang ada sekarang teruk sangat. Sebab tak bersih, dia selalu selesema," katanya ketika dihubungi mStar.

Bantal busuk kesayangan sejak kecil.

Bagaimanapun, lelaki berusia 47 tahun itu tampil menjelaskan bahawa terdapat sebab lain yang membuatkan bantal busuk milik anak saudaranya terpaksa dibakar.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami tebalkan muka 'kutip' bantal busuk isteri tertinggal di homestay... Siap pesan jangan bocor rahsia siapa punya

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal pengantin risau tak boleh tinggal bantal busuk! Lunyai, tak boleh diselamatkan sebab dah 19 tahun guna - "Saya minta mak jangan cerita, nanti malu"

Mesra disapa Izwan, dia mengakui menjadi bapa saudara yang tegas dan mengambil berat tentang perkembangan anak-anak saudaranya terutama pembelajaran.

Izwan (tengah) bersama Irfan (kanan) dan seorang lagi anak saudaranya melihat bantal busuk yang dibakar.

"Saya selalu tanya mana buku sekolah dan kerja rumah dia. Saya mahu pastikan dia melakukan sesuatu yang berfaedah dan kerja sekolahnya siap.

"Sebab dia asyik main telefon je, saya beri pengajaran dengan tanya dia sama ada nak bakar telefon atau bantal busuk? Saya tak mahu dia ralit main telefon sampai mengabaikan pelajaran.

"Saya tegas dan bukannya garang, tegur pun secara baik. Dengan budak-budak ni kena ada skill komunikasi dan beri perhatian pada mereka," ujarnya.

Kanak-kanak ini mempunyai bakat terpendam iaitu melukis.

Memilih untuk bantal busuk dibakar, anak saudaranya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu sebenarnya sensitif dan lembut hati.

"Walaupun dia kata okay, tapi memang menangis sebab benda kesayangan. Tapi selepas tu dia okay, boleh je tidur tanpa bantal busuk.

Saya tegas dan bukannya garang, tegur pun secara baik. Dengan budak-budak ni kena ada skill komunikasi dan beri perhatian pada mereka.

MIOR IZWANUDDIN MOHD AZHARI

BAPA SAUDARA

"Anak saudara saya ni seorang yang mendengar kata dan boleh menerima teguran dengan baik. Walau berat hati tengok bantal busuk kena bakar, dia tetap reda demi kebaikan dirinya sendiri.

"Sebab itulah kalau dengar dalam video tu, dapat dengar isteri saya yang rakam kata belajar rajin-rajin. Maksudnya dalam kehidupan ni, kita perlu melepaskan sesuatu yang kita sayang untuk mendapat sesuatu yang lebih baik," katanya yang juga bapa kepada dua cahaya mata.

Antara lukisan yang dihasilkan anak saudara Izwan.

Sementara itu, Izwan yang merupakan pemandu lori turut mendedahkan di sebalik sifat sensitif dan mempunyai bantal busuk, anak saudaranya sebenarnya mempunyai bakat terpendam.

"Dia ada bakat terpendam melukis terutama lukisan animasi. Daripada asyik main telefon, baik melukis dan explore kartun-kartun baru untuk dilukis.

"Saya kagum dengan minat dia. Bagi saya, bakat seperti itu perlu diketengahkan selagi ia memberi manfaat dan tidak melekakan.

"Budak-budak zaman sekarang ni kena ada interaksi. Jangan biar mereka dalam dunia mereka saja, kita tanya dia apa yang dia nak dan fokus dalam hidup," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain