suria

Tauke minyak paling tenang! Makcik selamatkan akak Grab daripada tersadai... Selesai isi petrol sambung healing atas buai

Tangkap layar video yang tular menunjukkan makcik ini kembali duduk di buai setelah mengisi minyak.

MENJALANI kehidupan yang tenang dan selesa menjelang usia tua merupakan salah satu impian orang ramai.

Apatah lagi bagi mereka yang hidup dalam kesibukan bandar, pasti ramai yang cemburu melihat kehidupan damai penduduk di desa.

Sebagaimana dikongsikan Natasha di media sosial, rakaman menunjukkan seorang wanita lanjut usia bersantai di atas buaian menjadi tular.

Ceritanya bermula apabila wanita 26 tahun ini menghantar seorang penumpang dari Kong Kong, Masai ke Sedidi Kechil di Johor.

Makcik ini mengisi minyak kereta Natasha secara tradisional.

"Saya ada buat perkhidmatan Grabcar hantar penumpang dekat kawasan berdekatan kampung makcik tu.

"Bacaan tolok minyak pada meter kereta pula masa tu cuma tinggal satu bar jadi agak paniklah sikit.

"Sepanjang perjalanan hantar pelanggan tu memang saya tak nampak satu pun stesen minyak yang ada dekat kawasan perumahan tu. Perjalanan tinggal 30 kilometer (km) nak jumpa pekan," katanya ketika dihubungi mStar.

Menurutnya yang sudah dua tahun melakukan perkhidmatan e-hailing, dia kemudiannya bertanya kepada pelanggannya yang merupakan penduduk di kampung tersebut.

Sebagaimana dimaklumkan pelanggan Natasha, di kampung tersebut sememangnya tiada sebarang stesen minyak berdekatan melainkan di bandar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia seorang je, bukan perempuan lain” - Netizen wanita tak mengaku geng, terhibur tengok akak Alza sumbat semua nozel dalam tangki

ARTIKEL BERKAITAN: “Memang ada perempuan jenis bimbo” - Lagi aksi wanita ‘struggle’ isi minyak buat netizen geram, naik meluat!

"Selepas hantar pelanggan tu saya sempat tanya dia dekat mana ada pam minyak yang paling dekat.

"Dia kata tak ada yang dekat semua jauh dari sini. Yang ada cuma petrol yang dijual seorang mak cik.

"Katanya memang semua penduduk kampung tu isi minyak dengan makcik ni jadi saya pun pergilah cari dia," imbasnya lagi.

Sejurus tiba di lokasi mengisi minyak, dia terlihat makcik bernama Rosni Abidin sedang berbaring di atas buaian.

Menurut Natasha, momen itu dianggap comel dan mencuit hatinya sekali gus membuatkan dirinya ingin membuat rakaman untuk disimpan sebagai kenangan di TikTok.

Walaupun ada yang mempersoalkan nilai minyak dijual pada harga RM2.60 bagi satu liter tu tapi bagi saya murah je.

NATASHA

Malah, Natasha yang menetap di Setia Indah, Johor, sempat mengambil peluang membuang air kecil di rumah wanita berusia lingkungan 60an itu.

"Sebelum datang tu memang dia dah dekat atas buai depan rumah tu tapi saya tak sempat rakam. Saya rasa macam comelnya lepas tengok dia berehat atas buai macam tu.

"Tapi saya sempat rakam video selepas isi minyak sebab makcik tu pergi duduk atas buai semula.

"Ini pertama kali saya datang dan tak pernah isi minyak macam ni. Tapi masa isi minyak tu saya tak rasa was-was pun. Saya rasa dia gunakan petrol jenis Ron 95," ujarnya.

Video dirakamkan ini meraih perhatian netizen yang rata-ratanya suka dengan kehidupan tenang makcik tersebut.

Natasha bekerja dalam sektor e-Hailing sejak dua tahun lalu.

Malah, ramai juga netizen yang kagum dengan kudrat Rosni yang masih kuat walaupun sudah lanjut usia.

"Saya rakam makcik ni sedang pam minyak sebab rasa kagum sangat tengok dia masih kuat buat kerja-kerja macam ni walaupun dah berusia.

"Walaupun ada yang mempersoalkan nilai minyak dijual pada harga RM2.60 bagi satu liter, tapi bagi saya murah je. Lagipun situ memang tak ada pam minyak.

"Saya isi sebanyak 20 liter saja untuk balik ke Johor semula. Apa-apa pun saya doakan makcik tu dimurahkan rezeki selalu. Kalau ada sesiapa lalu kawasan tu singgahlah kalau nak merasa isi petrol legend," ujarnya menutup kisah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain