ADA kalanya sebagai pengguna, kita teruja mengambil makanan atau membuat pesanan di kedai makan sehingga terlupa untuk bertanyakan harga. Disebabkan 'kekhilafan' tersebut, ada yang cenderung untuk menularkan di media sosial kerana tidak berpuas hati apabila harga yang terpaksa dibayar lebih tinggi daripada jangkaan, walaupun sebenarnya ia berpunca daripada silap sendiri. Begitu juga dengan seorang wanita ini yang turut membuat perkongsian di media sosial mengenai pengalamannya ketika menikmati hidangan di sebuah restoran. Namun begitu, perkongsiannya sedikit 'rare' kerana dia tidak bertujuan untuk meluahkan rasa tidak puas hati atau mahu memburukkan restoran berkenaan, sebaliknya hanya berkongsi kisah serta pandangan sendiri agar dapat dijadikan panduan kepada orang lain. Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Azura Baharudin berkata ketika itu dia dan seorang lagi individu bersamanya menikmati yong tau foo di sebuah restoran di pusat beli belah terkenal di ibu kota. Bagaimanapun dia sama sekali tidak menyangka harga bagi dua mangkuk hidangan tersebut mencecah RM95! ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula ‘total’ RM129, rupanya harga sebenar RM75! Restoran mengaku ‘salah kira’, nafi sengaja naikkan bil ARTIKEL BERKAITAN: Meatball 50 sen sebiji di Kelantan dianggap mahal, Ikea lagi murah katanya! Peniaga terpaksa ‘sekolahkan’ pelanggan "Ini bukan nak viral atau burukkan tau tapi sekadar kongsi rasa terkejut ja. Sebab kita dah biasa makan yong tau foo pasar malam semangkuk besar satu family pun kadang RM30 saja. "Ini tiba-tiba beli untuk dua orang makan RM94.20," kongsinya dalam hantaran tersebut. Perkongsian pengalaman oleh wanita berkenaan. Tambah Azura, sekali pun terkejut namun dia tidak mahu melatah malah melihat apa yang berlaku ini dari sudut positif dan relevan. "Tak salah pun harganya kerana kita kena faham tentang lokasi iaitu Pavilion yang mana memang sedia maklum tempat shopping orang have-have (berada). Tapi saya pergi bukan shopping. Sekadar nak makan ja. "Jadi harga begitu fahamlah nak cover kos sewa dengan pekerja. Sewa semestinya sangat mahal. Cuma kita yang tak faham sama sekali tak menjangka harga begitu kerana lokasinya pun sekadar di food court (medan selera). Tapi iyalah food court Pavilion. Bukan food court Aeon. "Memang tak boleh salahkan seller sebab jelas dia letak tanda harga. Jadi pilihan kita. Hang (kamu) rasa OK mampu, maka ambillah. Tak mampu sudah, makan je apa yang mampu," tulisnya lagi. Terima kasih sebab ingatkan. Betul tu, kadang walaupun berduit tapi terkejut juga tengok harga macam tu. NETIZEN Dalam masa yang sama, wanita tersebut mengakui apa yang berlaku adalah kerana khilafnya sendiri dan mengharapkan perkongsian pengalamannya dapat dijadikan pengajaran bersama. "Saya pula silapnya tak tengok langsung harga kerana bayangan saya makan yong tau foo ketika diet ni sesuai dan mungkin tak mahal sangat sebab nama pun yong tau foo. "Tapi jangkaan saya silap, maka bayarlah dengan senyuman. Dalam hati, kalau tak habis ni, sat lagi memang wajib bungkus. Sayang oiii harga kayangan. "Cuma dijadikan pengajaran untuk golongan kita-kita ni yang mungkin kemampuan kurang sikit. Jangan tersilap, kejap lagi ingat yong tau foo maka kita pun ambil penuh semangkuk. "Tapi apa pun rasa dia sedap memang licin saya makan," tulisnya lagi. Sebahagian komen netizen pada perkongsian wanita tersebut. Sehingga kini hantarannya meraih 616 shares di Facebook. Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya turut bersetuju dengan pandangan wanita berkenaan. "Saya pun dah terbiasa ambil macam-macam bila beli yong tau foo. Terkedu juga bila kena bayar RM30 lebih. Tapi, itulah tempat high end macam ni memang kena expect harga macam tu. "Pavilion kak... kena terima hakikat. Bahan yang guna berkualiti. Food court sini audit setiap minggu maintenance pun tinggi. Pasar malam tapak sehari RM5 ringgit. Sini sehari hampir RM100 sewa saja, belum termasuk upah dan bahan mentah untuk memasak lagi. "Terima kasih sebab ingatkan. Betul tu, kadang walaupun berduit tapi terkejut juga tengok harga macam tu," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube