suria

Kerana sebatang besi, kereta kesayangan rentung dalam 10 minit! Wang RM6,000 diamanahkan bayar hutang arwah rakan jadi abu

Honda HRV milik Fara terbakar selepas sebatang besi terjatuh dari sebuah lori sebelum ia mencucuk enjin keretanya.

MALANG tidak berbau.

Seorang wanita dikenali sebagai Fara Nadila berputih mata selepas kereta Honda HRV miliknya hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Paya Siput, Lanchang, Pahang, pada Jumaat.

Menurut Fara, kereta kesayangannya yang baru dibeli pada tahun 2021 itu musnah sekelip mata gara-gara kebakaran yang dipercayai berpunca daripada sebatang besi yang terjatuh dari sebuah lori.

fara2

Kereta Fara mula berasap selepas besi tersebut mencucuk enjinnya.

"Besi dari sebuah lori jatuh atas tar sebelum ia melantun ke arah kereta saya. Lori itu dalam lima meter depan saya. Waktu besi tu hentam enjin, kereta saya terus berasap. Besi tu tertusuk ke radiator.

"Saya terus bagi signal dan berhenti ke tepi, kereta mati dengan sendiri. Saya keluar dari kereta sebab lemas. Saya juga ambil video untuk tunjuk keadaan kereta kepada abang.

"Belum sempat saya call towing, saya nampak api mula merebak dari bawah kereta yang ada kebocoran. Saya tak pasti bocor tu minyak atau air.

Kejadian berlaku cepat sangat. Kereta baru pakai dua tahun, tayar pun belum tukar lagi.

FARA NADILA

"Tak sampai 10 minit kereta rentung, bomba datang selepas 30 minit kereta terbakar. Hanya kerana sebatang besi jatuh dari lori, saya hilang kereta kesayangan," ujarnya kepada mStar.

Bercerita lanjut, Fara berkata dia juga terkilan apabila gagal menyelamatkan wang tunai berjumlah RM6,000 yang berada di dalam kenderaan tersebut.

"Barang-barang semua hangus termasuk duit RM6,000. Lebih perit, duit tu duit amanah dari keluarga arwah kawan untuk selesaikan hutang arwah. Duit tu dalam sampul raya. Saya letak di seat depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu! Suami meraung lihat isteri terbakar dalam kereta, bomba kata mangsa tersepit sampai rentung... “Allahuakbar... bini saya bang!”

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Aidiladha, kereta tiba-tiba terbakar! Isteri berjaya keluar sebelum pintu terkunci sendiri, barang lain hangus

"Tak sempat ambil sebab kereta mula meletup. Saya kerja servis Coway. Filter Coway termasuk barang-barang kerja turut hangus. Masa tu saya menangis sambil tengok kereta.

"Kejadian berlaku cepat sangat. Kereta baru pakai dua tahun, tayar pun belum tukar lagi," ujarnya yang ketika itu sedang memandu untuk ke Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Fara turut berkongsi video kejadian berkenaan menerusi aplikasi TikTok sehingga dia dihujani pelbagai komen netizen.

Beberapa individu turut mengkritik Fara yang dikatakan lebih mementingkan rakaman video daripada bertindak pantas untuk menyelamatkan barang dalam keretanya.

fafa3

Fara gagal menyelamatkan wang tunai yang diletakkan di dalam keretanya.

"Kalau saya, apa-apa cari barang dulu daripada rakam," tulis seorang individu.

Jawab Fara, dia membuat rakaman ketika keretanya belum terbakar untuk ditunjukkan kepada abangnya dan dia sama sekali tidak menyangka keretanya akan musnah dalam masa singkat.

"Saya rakam untuk tunjuk pada abang saya. Saya tak sangka kereta akan terbakar. Dalam keadaan panik, apa sangat saya boleh buat," jawabnya kepada netizen.

Di sebalik komen negatif itu, ramai netizen yang lain tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat buat Fara dan mendoakan dia terus tabah berdepan ujian tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain