suria

Beri sumbangan barang dapur, tersentak 4 beradik yatim tanya mi segera perisa ayam - “Memasak pun terpaksa tumpang rumah jiran”

Video ketika kunjungan Saharuddin ke rumah empat beradik yatim ini menyentuh hati ramai.

LEBIH tujuh tahun terlibat dalam lapangan kebajikan, pelbagai suka duka dan momen menyentuh hati sudah ditempuhi oleh pemuda ini dan pasukannya.

Namun, kisah sebuah keluarga yang menetap di kawasan penempatan bakau di Sandakan, Sabah benar-benar membuatkan air mata jantannya gugur.

Mana tidaknya, sudahlah hidup dalam keadaan serba daif, keluarga yang terdiri daripada lima beranak ini hanya menumpang kasih si bapa lantaran insan bergelar ibu sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Berkongsi cerita dengan mStar, Saharuddin Amirullah berkata, keluarga tersebut ditemui ketika dia bersama pasukannya melakukan rutin misi bantuan mengagihkan barang keperluan dapur kepada penduduk di kawasan pedalaman di daerah tersebut.

"Ketika itu kami mengagihkan barang dapur seperti beras, minyak masak dan telur di sebuah penempatan bakau. Apabila tiba di hujung sungai, kami mencari-cari mana lagi rumah untuk diberikan barang dapur.

"Ketika itulah kami bertemu dengan keluarga ini. Ketika kami datang, salah seorang daripada anak keluarga itu berkata ayah mereka tiada kerana bekerja. Bila tanya mana mak, jawapan yang diberi buatkan kami sedih.

"Emak mereka sudah meninggal dunia. Kini tinggal mereka empat beradik bersama ayah. Dua daripada empat beradik ini OKU cacat penglihatan. Si ayah bekerja ikut orang... kadang buat pendawaian (wiring), kerja buruh," ujar pemuda berusia 31 tahun ini.

amal 2

Saharuddin berkunjung kali kedua ke rumah empat beradik berkenaan untuk membawa mi segera dan barangan lain.

Cerita Saharuddin, tatkala dia menyerahkan barang bantuan, pertanyaan yang diajukan oleh salah seorang daripada empat beradik itu cukup membuatkannya tersentak.

"Dia tanya, ada mi segera perisa ayam tak? Kalau ada yang tak tahu, mi segera ini ibarat hidangan pelengkap bagi orang di sini. Mungkin ramai yang rasa mi segera ini hanya makanan biasa, tapi bagi kebanyakan orang di sini, mi segera ni dah macam mewah.

"Kemudian ada satu momen tu, salah seorang daripada anak-anak ini menangis dan memeluk saya. Dia tak dapat tahan sebak. Kami semua pun ikut menangis. Dia baru berusia 13 tahun tapi sangat matang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Belum pernah dapat ayam” - Sayu... nelayan sabar tunggu ikan dari atas sampan, tak percaya ketika dihulur ayam segar

ARTIKEL BERKAITAN: Tinggal dalam semak, kanak-kanak miskin sanggup tahan gatal digigit nyamuk teruja ‘jumpa’ McD... lelaki bantu sambil berjurai air mata

"Kami kemudian berkunjung lagi ke rumah anak-anak syurga ini beberapa hari kemudian. Kunjungan kedua, kami bawa bersama mi segera perisa ayam dan barangan lain.

"Kunjungan kali ketiga, kami bawa bersama dapur gas, bantal dan tilam. Keadaan mereka sangat daif sehingga memasak pun terpaksa tumpang di rumah jiran," ujarnya yang merupakan koordinator sebuah badan bukan kerajaan (NGO), VitaminBae.

Nak beri sumbangan sebenarnya tak perlu tunggu menjadi kaya. Dengan RM1 yang kita sumbangkan pun boleh bagi orang makan.

SAHARUDDIN AMIRULLAH

KOORDINATOR NGO VITAMINBAE

Bercerita lebih lanjut mengenai misi pasukannya, Saharuddin berkata dia bersyukur kerana terlalu ramai rakyat Malaysia yang prihatin dengan menghulurkan sumbangan kepada pihaknya bagi tujuan kebajikan.

"Syukur, rakyat Malaysia ni memang pemurah dan tak lokek beri sumbangan. Namun sejak kebelakangan ini, sumbangan sedikit berkurang... namun saya faham, berkemungkinan ia disebabkan faktor ekonomi yang kurang baik juga.

"Kami sedaya upaya tak hentikan misi ini, namun barangan bantuan terpaksa dihadkan mengikut dana. Kami fokus beri beras, minyak masak dan telur buat masa ini.

"Jika kurang dana, ada kalanya kami guna duit poket sendiri dan ada juga daripada 'gift' yang diberi ketika buat siaran langsung TikTok," katanya lagi.

amal 3

Kunjungan kali ketiga Saharuddin (kiri) bersama team VitaminBae membawa tilam, bantal beserta barangan lain.

Tidak menyangka video yang dimuat naik di TikTok meraih lebih dua juta jumlah tontonan, Saharuddin dalam pada itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia khususnya yang tidak lokek menghulurkan sumbangan kepada pasukannya.

"Walaupun tak dapat bantu dari segi kewangan, orang Malaysia ni sangat saling menjaga. Mereka bantu kongsi, sama-sama buat hebahan malah tak persoal siapa penerima bantuan.

"Terima kasih saya ucapkan kerana prihatin. Nak beri sumbangan atau terlibat dengan aktiviti kebajikan sebenarnya tak perlu tunggu menjadi kaya. Dengan RM1 yang kita sumbangkan pun boleh bagi orang makan," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain