suria

Pelik, minta potong ayam 2 kali pusing masih tak siap! Akhirnya dapat bahagian kaki berbeza dari kedai lain

Seorang wanita menceritakan pengalamannya ketika membeli ayam di sebuah pasaraya. -Gambar hiasan

KRISIS ekonomi melanda negara ini menyebabkan ramai terkesan terutama mereka yang sudah berkeluarga.

Memandangkan harga bahan mentah dijual pada harga tinggi, ramai mencuba pelbagai cara untuk berjimat cermat.

Begitu juga dengan pengasas tudung muslimah, Annur Nida yang meminta pekerja di sebuah pasar raya memotong ayam mentah yang dibelinya kecil-kecil.

Pekerja itu menuruti saja permintaannya dengan meminta pelanggannya menunggu sebentar sementara dia memotong ayam mentah tersebut seperti diminta.

Disebabkan permintaan untuk memotong ayamnya dijangka mengambil masa lama, dia pun berjalan-jalan dahulu di dalam pasar raya Giant di Kangar, Perlis.

Wanita ini berlegar-legar dalam pasaraya sementara menunggu ayamnya siap dipotong. -Gambar hiasan

"Sat-sat (sekejap-sekejap) dia tu... dua kali saya pusing tempat sayur. Tak siap-siap lagi dia potong ayam.

"Nak kata dia sibuk, tak ada orang lain pun beratur nak beli ayam. Masa ni Adwa (anak) ikut. Dia pun jenuh tunggu ayam dipotong tu siap.

"Tapi tak apalah. Saya sabar menunggu. Dekat 10 hingga 15 minit macam tu akhirnya dia beritahu sudah siap dipotong," tulis Annur Nida di Facebook.

Menurut wanita itu, pemuda dalam lingkungan usia sama dengan adik bongsunya itu kelihatan tersenyum tapi dalam keadaan takut-takut saat menyerahkan plastik ayam yang telah siap dipotong.

"Terangguk-angguk budak pemotong ayam tu. Muka nampak gaya macam umur adik bongsu saya je. Senyum tapi macam takut-takut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Potong dulu baru timbang, kepala ayam tak kira harga... Penjual di Changlun tiba-tiba viral, cari keberkatan dalam berniaga

ARTIKEL BERKAITAN: Patut la ayam cepat habis, pasar raya jual tanpa kawalan... Wanita ini sakit hati tengok pengguna penting diri borong satu troli penuh!

Setelah memeriksa plastik yang dihulurkan, ayam sememangnya dipotong kecil, betul-betul seperti yang diminta.

Namun, pada masa itu saiz ayam bukan lagi menjadi perhatiannya sebaliknya perkara lain.

"Balik rumah, masa keluarkan ayam dari plastik, memang betul-betul kecil ayamnya tu dia potong.

Bagus budak tu, rasanya dia biasa tolong mak bersiang ayam.

ANNUR NIDA

"Saya pun beritahu suami, abang rasanya budak kerja potong ayam tu budak baru, kecil benar ayam kita kali ni, lepas tu bersih. Lemak-lemak tak ada sangat," katanya menceritakan kepada suami.

Paling membuatkan dia teruja apabila dia terjumpa kaki ayam yang sudah dibersihkan.

Dia memuji keikhlasan pemuda ini bekerja malah menganggap dia seorang yang rajin membantu ibunya di dapur.

"Tiba-tiba, saya terjumpa kaki ayam. Wah! Dua pasang kaki ayam bersiang elok siap tak ada kuku dan tapak kaki ayam. Teruja betul saya.

Pelanggan berkongsi pengalaman membeli ayam mentah di pasar raya. -Gambar hiasan

"Bagus budak tu, rasanya dia biasa tolong mak siang ayam. Memang terbaiklah adik yang potong ayam tu. Mudah kerja saya itu hari.

"Okaylah, nak pergi beli ayam. Harap adik itulah yang potong ayam senang kerja saya," ujarnya lagi.

Hantaran tular itu yang menunjukkan foto kaki ayam dipotong bersih turut mendapat pujian netizen.

Malah, ramai turut berkongsi pengalaman mereka ketika membeli ayam di pasar raya sebelum ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain