suria

Suami isteri dicekup khalwat di hotel bajet! Rancangan ‘honeymoon’ ke Paris disabotaj ‘makcik puaka’ tauke kedai makan

Zaid berkongsi pengalaman pintu bilik hotel diketuk pegawai penguat kuasa.

KETERUJAAN sepasang suami isteri untuk berbulan madu terganggu apabila bilik hotel dihuni mereka diserbu jabatan agama, didakwa gara-gara penangan ‘makcik puaka’.

Menerusi video yang tular, kedengaran pintu bilik mereka diketuk pada awal pagi.

“Sekali kena tangkap basah, tak lena weh,” tulis si suami menerusi kapsyen video yang meraih empat juta tontonan di TikTok.

Bercakap kepada mStar, Muhammad Zaid Rodzuan berkata, kejadian berlaku pada awal pagi Ahad sebelum dia dan isteri berlepas ke Paris, Perancis pada pagi sama untuk bercuti.

Memandangkan penerbangan awal pagi, pemuda berusia 35 tahun itu memberitahu, mereka mendaftar masuk ke sebuah hotel bajet dekat Sepang, Selangor, pada Sabtu malam.

“Kami kena bangun awal pukul 4 pagi untuk ke airport. Selepas check-in, kami pergi ke sebuah restoran sebab sejak pagi tak makan, sibuk buat persiapan nak ke Paris.

“Hampir sejam kami tunggu, tapi makanan tak sampai. Jadi kami beralih ke kedai mamak berdekatan. Tapi kami letak duit RM10 untuk minuman yang dah sampai,” katanya ketika dihubungi mStar.

Pasangan ini berkahwin pada 7 Julai 2023.

Mesra disapa Zaid, dia dan isterinya yang berada di kedai mamak itu kemudian didatangi pasangan suami isteri yang yang merupakan pemilik restoran pertama.

Difahamkan suami isteri itu berasa tidak puas hati selepas Zaid dan isterinya meninggalkan kedai mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Check-in hotel dengan suami tapi tiada bukti nikah, wanita nyaris ditangkap ‘khalwat’ - “Allah nak tutup aib kami”

ARTIKEL BERKAITAN: Cerai selepas suami pulih dari koma, wanita cepat temui pengganti... tenang dituduh kena tangkap basah - “Kalau betul tak buat grand macam ni”

“Suami dia datang pulangkan duit baki dan makcik tu menyindir kata ‘terima kasihlah’ dan mundar-mandir di kedai mamak siap pandang-pandang kami sampai masuk ke hotel.

“Apabila kami masuk ke bilik hotel, kami dapat panggilan daripada petugas hotel maklumkan makcik dari kedai tu datang beritahu dah buat laporan pasal kami kepada pejabat agama.

“Pihak hotel nak sahkan sama ada kami dah kahwin ke belum. Kami pun tidur tak lena. Pukul 12 tengah malam, pintu bilik diketuk,” ujarnya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Seperti yang dijangka, Zaid berkata, dua anggota daripada pejabat agama datang untuk melakukan pemeriksaan selepas menerima aduan mengenai dia dan isteri menginap di hotel itu.

Zaid dan isteri kini berbulan madu di Paris.

Menurut Zaid, dia yang mendirikan rumah tangga pada 7 Julai lalu kemudian menunjukkan kad perakuan nikah mereka kepada anggota penguat kuasa terbabit.

“Anggota penguat kuasa tu terkejut kerana ada bukti kami sudah kahwin selama sebulan dan minta maaf. Jadi, kami pun cerita apa yang berlaku kepada anggota tersebut mengenai makcik tu.

Kalau tak puas hati, mereka akan buat sesuatu yang menyusahkan. Daripada tegur elok-elok atau bincang, tapi mereka lebih suka buat provokasi dan sabotaj.

MUHAMMAD ZAID RODZUAN

“Tapi kami rasa tertekan sebab kacau sampai tak boleh tidur sedangkan kami duduk di hotel nak berehat supaya boleh bangun awal pagi nak travel jauh, 12 jam penerbangan,” katanya lagi.

Susulan kejadian itu, Zaid yang merupakan ahli perniagaan kini dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan terhadap makcik yang merupakan pemilik kedai makan tersebut yang didakwa melakukan perbuatan khianat sehingga menyusahkan orang lain.

Zaid (kanan) dan isteri menunjukkan kad perakuan nikah.

“Orang kita kalau tak puas hati, mereka akan buat sesuatu yang menyusahkan. Daripada tegur elok-elok atau bincang, tapi mereka lebih suka buat provokasi dan sabotaj.

“Lebih teruk kalau ada hasad dengki sehingga nak menganiaya orang lain. Orang di luar sana kalau ada masalah atau tak puas hati ke, bincanglah, cakap elok-elok untuk cari punca dan macam mana nak selesaikan masalah.

“Ini perkara sensitif sehingga mengganggu privasi. Bayangkan kalau orang buat macam tu kat kita atau keluarga kita, apa perasaan kita?” katanya.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku, Zaid yang kini selamat tiba di Paris berkata, dia pada mulanya mengakui berasa terkejut dengan tindakan ‘makcik puaka’ berkenaan hanya kerana perasaan tidak puas hati.

“Tapi pada masa sama gembira akhirnya kami dapat juga rasa ‘ditangkap basah’ dan boleh tunjuk kepada penguat kuasa yang kami ada kad nikah tu. Ada fungsi juga kad nikah tu,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain