SUDAH menjadi kebiasaan bagi lelaki mahupun wanita untuk membawa kekasih masing-masing berjumpa dengan ibu bapa bagi memohon restu dalam setiap perhubungan. Namun berbeza pula halnya dengan Nurul Faten Hisham, 30, apabila dia dibawa ke rumah kekasih bapanya di Batu Pahat Johor baru-baru ini. Bercerita lanjut, Faten berkata dia terhibur saat mengikut bapanya Hisham Tasaie, 55, begitu bersungguh-sungguh bersiap dengan menjaga penampilan sebelum berjumpa calon mentua. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Pengalaman ayah nak jumpa atuk dan nenek (calon mentua bapa) ni kelakar juga. Kami berdua keluar awal hari tu. Ikut rancangan nak jumpa pukul 2 petang lepas Zohor. Tapi pukul 12 tengah hari kami dah bergerak. "Sebelum berjumpa tu ayah dah tanya saya macam-macam. Rambut okay tak? Senyum okay tak? Dia minta saya semburkan minyak wangi dan losyen tangan. Ayah siap buat gigi palsu sebelum berjumpa atuk dan nenek sebab gigi dia patah dulu akibat kemalangan tahun lepas. "Masa jumpa tu kami makan tengah hari bersama-sama. Mereka hanya berbual santai saja. Sebelum balik tu atuk ada petikkan buah rambutan dan mangga untuk kami bawa balik ke rumah di Johor Bahru," jelasnya ketika dihubungi mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri lega keluarga sendiri, famili mentua ‘sama naik’ main motorbike... Kena tahan roadblock masa ride, terkejut reaksi abang JPJ ARTIKEL BERKAITAN: “Kita datang rumah jadi bibik” - Pertama kali jumpa mak BF, gadis meluat disuruh cuci pinggan kotor penuh dalam singki Menurut Faten lagi, bapanya sudah berkenalan dengan wanita dipanggil aunty itu sejak mereka di bangku sekolah yang sama di Muar, Johor. Malah katanya yang sudah kehilangan ibu sejak 19 September 2017, hari tersebut merupakan kali pertama dia berjumpa dengan wanita yang menjadi calon ibu tirinya itu. Atuk memberikan buah tangan seperti mangga dan rambutan sebelum mereka pulang. "Sebelum ni sudah beberapa kali ayah ajak untuk ke sana tapi saya sibuk bekerja. Baru kali ini saya berkesempatan ikut ayah untuk berkenalan dengan keluarga aunty tu. "Sebenarnya ayah baru juga kenal aunty. Walaupun mereka sebaya dan belajar di sekolah sama, tapi dulu ayah tak perasan kewujudan aunty. Namun makcik saya merupakan kawan baik aunty, jadi dia pun kenalkanlah mereka. Kebetulan aunty pun kehilangan suami beberapa tahun lalu. Saya tak berharap apa-apa daripada mereka cuma kalau ada jodoh, moga kekal dan baik-baik saja. NURL FATEN "Lepas enam tahun ibu meninggal ayah selalu bersedih. Memang tak pernah tengok ayah sesedih tu. Tapi sejak berkenalan dengan aunty beberapa bulan lalu nampak dia okey semula. Ayah memang seorang yang kuat," ujarnya yang bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik pergigian. Terdahulu Faten yang merupakan anak sulung dalam keluaganya berkongsi momen dia bersama bapanya bertandang ke rumah calon ibu tirinya hingga meraih perhatian netizen di TikTok. Rata-ratanya melahirkan keterujaan melihat gelagat bapanya ketika berkunjung ke rumah calon mentua. Ibu Faten (atas, dua dari kanan) meninggal dunia sejak enam tahun lalu. Namun begitu ujar Faten, sehingga kini bapanya masih dalam proses berkenalan dengan wanita tersebut dan tiada sebarang tarikh ditetapkan untuk ke fasa seterusnya. "Saya tak berharap apa-apa daripada mereka cuma kalau ada jodoh, saya berharap ia kekal dan semoga yang baik-baik saja. "Bagi rancangan berkahwin tu saya tak pasti macam mana. Memang saya serahkan keputusan tu dekat mereka berdua. Kami berjumpa baru-baru ini pun untuk berkenalan merapatkan hubungan silaturahim saja," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube