suria

BF adik perempuan ‘lulus’ jadi suami, air mata si abang tak henti berjurai di majlis nikah - “Nak kenal saya kena hadap dia dulu”

Abang sulung Anis gagal menahan air mata saat dia sah menjadi seorang isteri.

SELAIN bapa, abang adalah lelaki paling rapat yang berperanan menjadi pelindung kepada adik perempuannya.

Beruntungnya bagi gadis atau wanita sekiranya dikurniakan seorang abang yang bukan sahaja penyayang malah bertanggungjawab menjaga kebajikan serta keselamatan adik-adiknya.

Apabila hubungan antara adik beradik akrab, pasti akan berlaku drama air mata saat salah seorang daripada mereka melangkah ke alam rumah tangga.

Sebagaimana video yang tular di laman sosial, momen memaparkan seorang abang tidak mampu membendung air mata tatkala adik perempuannya selamat bergelar isteri, benar-benar menyentuh hati warga maya.

Berkongsi cerita dengan mStar, Puteri Anis Syafiqah Suhaimi berkata, video tersebut dirakam secara spontan oleh sepupunya ketika majlis pernikahannya yang berlangsung pada 4 Ogos lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis nangis teresak tak bagi abang nikah! Rupanya ada ‘kisah hitam’ satu famili rahsia ‘along kesayangan’ dah pergi kursus kahwin

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin berjurai air mata di pelamin, hiba tengok bapa menangis tak sanggup ‘lepas’ anak bongsu - “Saya kira, memang sembilan kali ulang lafaz”

"Dia abang sulung saya dan satu-satunya abang yang saya ada. Kami sangat-sangat akrab. Dia sebak selepas suami saya lafaz akad nikah.

"Sebab dia kata adik dia akhirnya jatuh pada tangan lelaki yang sepatutnya.

"Saya pun menangis sebenarnya, cuma tak terakam dalam kamera. Dari abah saya bacakan akad nikah, sampailah suami baca taklik, abang saya menangis," kongsi wanita berusia 27 tahun dari Kuala Besut, Terengganu ini.

kakak 1

Kakak Anis (kiri) yang menjadi individu bertanggungjawab menguruskan majlis perkahwinannya.

Senang disapa Anis, wanita ini berkata abang sulungnya, Mohd Norhisyam Asraf Suhaimi, 31, sememangnya sangat tegas dan garang, sesuai dengan kerjayanya sebagai tentera laut.

"Dia garang gila dengan orang yang cuba rapat dengan adik-adik perempuan dia. Dah macam bodyguard dah. Siapa-siapa yang nak bercinta, kenal dengan saya, kena hadap dia dulu.

"Sebelum bercinta dengan suami pun, abang saya yang interview dia dulu. Alhamdulillah, setiap misi dan visi yang dia bagi pada suami, semua suami lulus dengan jayanya.

"Suami kakak saya pun dulu kena macam tu juga. Dia sangat-sangat menjaga adik-adiknya. Selalu ambil tahu ke mana-mana kami pergi, keluar dengan siapa.

Dia garang gila dengan orang yang cuba rapat dengan adik-adik perempuan dia. Dah macam bodyguard dah.

ANIS

"Walapun begitu, dia adalah manusia yang sangat penyanyang dan dalam masa sama berperangai gila-gila. Kami tak kering gusi kalau berbual dengan dia. Dia peramah dan semua orang senang hati dengan sikap dia," ujar anak ketiga daripada empat adik beradik ini.

Malah ujar Anis, abang sulungnya itu turut menitipkan nasihat buatnya untuk dijadikan panduan menuju ke alam perkahwinan.

"Dia bagi pesanan, suruh saya jaga diri dan hubungan dengan suami. Kalau suami saya buat hal, mati dia," ujarnya berseloroh.

Tidak hanya abang sulung, Anis berkata kakaknya, Puteri Norsyahira Natasya Suhaimi, 29, turut tidak dapat menahan tangis sewaktu memberikan ucapan pada majlis perkahwinannya.

famili 1

Gambar keluarga Anis ketika majlis persandingan.

"Untuk majlis ini, kakak yang banyak bagi pertolongan. Hampir 90 peratus majlis ni kakak yang handle. Dia mengandung tapi tetap gagah nak melancarkan majlis saya.

"Dia garang macam harimau tapi menangis macam kanak-kanak masa bagi ucapan.

"Saya salah satu adik yang paling beruntung dalam dunia ni sebab dikurniakan abang dengan kakak yang amat kasihkan diri saya. Dah besar panjang pun mereka tetap layan saya macam budak kecil.

"Akhir kata, tiada nikmat yang saya dustakan, dikurniakan adik beradik seperti mereka," akhirinya.

Sehingga kini video yang dimuat naik di laman TikTok milik sepupunya meraih lebih 625,000 jumlah tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain