GENIUS matematik, Adi Putra Abdul Ghani tidak pernah dilupakan rakyat Malaysia meskipun namanya kurang menjadi perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Terbaharu, Adi, 24, mengumumkan dia mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihan hatinya, Siti Sarah Zurkarnin, 27, pada tanggal 19 Julai lalu. "Sebenarnya kami dah kenal lama sejak lapan tahun lalu. Jumpa online melalui Instagram. Masa tu saya mengajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Majlis pertunangan Adi dan Sarah diadakan di Kota Bharu, Kelantan. "Dia ada kawan di sana, jadi kami kenal melalui connection di Instagram. Bermula di direct message (DM) menjadi friendship, kemudian relationship pula. Pada masa tu dia masih belajar. "Kami ambil masa tujuh tahun untuk kumpul duit sehinggalah majlis pertunangan diadakan di kediamannya di Kota Bharu, Kelantan pada 19 Julai," ujarnya kepada mStar. Bercerita lanjut, Adi berkata dia merancang untuk menamatkan zaman bujang pada tahun ini, manakala majlis resepsi pula akan diadakan pada tahun depan. Saya minta doa daripada semua agar majlis kami berjalan lancar dan kami dapat jalani hidup dengan bahagia. ADI PUTRA ABDUL GHANI "Tentang kahwin, semuanya masih dalam perbincangan untuk kami cari tarikh serta lokasi yang sesuai. Kalau tiada apa-apa, insya-Allah kami rancang nikah dulu tahun ni, persandingan besar pula tahun depan. "Sekarang saya menetap di Cyberjaya bersama adik-beradik yang lain. Bulan depan, insya-Allah akan pindah ke Ampang. Ini juga sebahagian persiapan untuk kahwin, kena cari rumah sendiri," ujarnya lagi. Dalam pada itu, Adi berkata sikapnya yang gemar 'menyepi' daripada perhatian umum menyebabkan segelintir pihak beranggapan dia berhijrah meninggalkan Malaysia. ARTIKEL BERKAITAN: Adi Putra - Genius Tak Diiktiraf ARTIKEL BERKAITAN: Genius matematik muncul di program debat, soal Syed Saddiq "Ada yang jumpa saya, dia tanya ini betul Adi ke? Mereka fikir saya dah berpindah cari kerja di luar negara. Sebenarnya tidak, saya sentiasa ada di Malaysia. Bekerja di sini juga. Itulah jawapannya. "Sebagaimana orang tengok Instagram, saya memang jarang berkongsi apa-apa. Saya tidak begitu aktif di media sosial. Tapi tunang saya ada bagi idea supaya saya buat TikTok atau YouTube untuk ajar matematik. "Untuk buat seorang diri tu, saya rasa belum lagi. insya-Allah lepas dah kahwin, dia boleh tolong saya" ujar Adi lagi. Adi berkenalan dengan Sarah melalui Instagram, kira-kira lapan tahun lalu. Mengenai perkembangan terbaharunya, Adi berkata dia kini tidak terikat dengan mana-mana pihak dan lebih selesa bergerak sendiri dengan bertugas sebagai tutor persendirian. "Sekarang saya tak terikat dengan mana-mana badan atau universiti. Saya buat home tutor. Saya pun tak ada ramai sangat pelajar. Saya fokus kehidupan harian saja. "Jika ada permintaan, saya juga terfikir untuk menghidupkan semula program-program seperti kelas atau bengkel Matematik yang pernah dijalankan sebelum pandemik," ujarnya yang kini turut bekerja dalam bidang IT. Akhir kata, Adi menitipkan ucapan penghargaan buat rakyat Malaysia yang tidak pernah melupakannya dan turut memohon doa agar majlis bahagianya kelak berjalan dengan lancar dan sempurna. Adi nafi berhijrah ke luar negara, sebaliknya masih berjuang untuk bidang matematik di Malaysia. "Kepada semua yang ucap tahniah selepas tahu saya bertunang, terima kasih saya ucapkan. Terima kasih juga atas sokongan sejak saya kecil lagi. Walau jarang keluar orang masih ingat. "Tiada kata yang dapat saya ungkapkan. Saya masih di sini, mahu memperjuangkan matematik di Malaysia. Kalau ada program-program matematik nanti, harap ramai yang akan berikan sokongan. "Saya minta doa daripada semua agar majlis kami berjalan lancar dan kami dapat jalani hidup dengan bahagia," kata Adi lagi. Untuk rekod, Adi Putra pernah menggemparkan negara selepas digelar sebagai genius matematik, khususnya dalam pengetahuan alegbra, trigonometri dan darab (antara lima hingga enam digit). Ketika berumur enam tahun, anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu mendapat tawaran melanjutkan pengajian di dua universiti terkemuka dunia iaitu Universiti of Oxford dan Harvard Universiti. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube