suria

Lebih 10 tahun tak jenguk, pemilik terkedu tengok apa pihak pengurusan dah buat kepada rumahnya! Beri alasan tak masuk akal

Farah (bukan nama sebenar) terkejut dengan keadaan rumahnya.

SUDAH lama tidak menjenguk rumah sendiri yang dibiarkan kosong, seorang wanita dikejutkan dengan kejadian yang tidak disangka-sangka.

Mana tidak, seluruh kediamannya dipenuhi dengan pelbagai perabot dan beberapa set TV lama termasuk berpuluh tilam serta papan katil.

'Macam tauke kedai perabot', begitulah yang dirasakan pemilik kediaman jenis kondominium yang terletak di Negeri Sembilan ini.

Keadaan dari luar rumah.

Berkongsi cerita kepada mStar, Farah (bukan nama sebenar) berkata, dia sudah tidak menjejakkan kaki ke rumah itu selama lebih 10 tahun.

Wanita berusia 40an itu memberitahu, rumah itu dibelinya tanpa pernah dihuni kerana mahu menjadikannya sebagai sebahagian daripada asetnya.

“Rumah tu dah nak habis bayar, saya nak buat full settlement. Jadi, saya datanglah jenguk ke rumah tu minggu lalu. Rumah saya di aras bawah.

“Dari luar tingkap, saya nampak ada barang-barang di dalam rumah. Saya terkejut sebab rumah memang kosong dari mula dibeli. Saya salah rumah ke?” katanya ketika dihubungi.

Sukar untuk masuk ke dalam rumah yang dipenuhi banyak barang.

Farah kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan kondominium dan penjelasan yang diberikan amat mengejutkannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuan rumah untung besar, ubah suai pangsapuri jadi ‘penthouse’ 6 bilik... Kutip sewa lebih RM2,000 tapi bayar bank cuma RM800 sebulan

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak boleh fikir dah, geli” - Ejen hartanah trauma nampak patung seks di rumah untuk dijual, ngeri imbas kelakuan bekas suami klien

“Pihak pengurusan beritahu mereka tumpang barang kat rumah saya, tapi tak minta izin pun. Alasannya tak masuk akal, mereka kata rumah saya dipecah masuk sebelum ini.

“Kondominium dalam kawasan berpagar dan ada sekuriti, jadi macam mana boleh ada kes pecah masuk? Maksudnya sekuriti tak ketatlah?” soalnya.

Beberapa set TV lama juga disimpan di rumahnya.

Dia yang menetap di Kuala Lumpur mengakui sukar untuk masuk ke bahagian dalam kediaman tiga biliknya itu kerana dipenuhi dengan barang.

“Saya beristighfar sebaik masuk ke dalam rumah. Dinding dan lantai kotor, berada di dalam rumah buat saya sesak nafas.

Bagi alasan ‘sebab puan dah lama tak balik’. Kalau saya tak balik ke rumah selama 20 tahun sekali pun, mereka tak ada hak masuk ke rumah tanpa izin.

FARAH (BUKAN NAMA SEBENAR)

“Bau yang sangat tidak menyenangkan. Tak boleh masuk ke bilik, ruang makan dan dapur sebab penuh dengan barang.

“Macam tak percaya rumah saya selama ini dijadikan stor menyimpan barang-barang. Nasib baik saya tak kena serangan jantung tengok rumah sendiri diceroboh masuk oleh pengurusan kondominium,” ujarnya.

Perabot lama berselerakan di dalam bilik.

Selain menggunakan rumahnya sebagai stor tanpa keizinan, Farah turut kesal kediamannya itu tidak dijaga kebersihannya dengan baik.

“Tolonglah jangan bagi alasan ‘sebab puan dah lama tak balik’. Kalau saya tak balik ke rumah selama 20 tahun sekali pun, mereka tak ada hak masuk ke rumah tanpa izin.

“Pihak pengurusan hanya ada hak sehingga perkarangan rumah sahaja. Dari dalam rumah itu adalah hak saya sebagai pemilik. Mereka menceroboh masuk,” katanya lagi.

Selain dipenuhi barang, rumah Farah turut kotor dan mempunyai bau yang tidak menyenangkan.

Kesal dengan kejadian itu, Farah kini dalam rundingan bersama pihak pengurusan kondominium untuk mengeluarkan semua barang dan membaik pulih kediamannya.

“Saya sedang mendapatkan khidmat nasihat peguam untuk melakukan tindakan seterusnya. Apa saja janji mereka perlu ada kertas hitam putih, ini termasuk surat permohonan maaf.

“Saya berkongsi video mengenai keadaan rumah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai hak kita sebagai pemilik rumah.

“Pihak pengurusan juga perlu amanah. Tak kisahlah rumah saya terbiar, ia tetap rumah saya. Lainlah rumah saya kena sita. Bayangkan, pihak pengurusan pun boleh buat hal,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain