suria

Tak putus doa sepanjang hamil, suami isteri OKU syukur dua anak lahir normal... Kagum cepat ‘tangkap’ bahasa isyarat

Nuramalina dan suami bersyukur kerana dua cahaya mata mereka dilahirkan normal.

JIKA dilihat dari luaran, pasangan ini kelihatan seperti suami isteri normal yang lain.

Namun jika diamati cara layanan serta interaksi bersama dua cahaya mata kecil mereka, kedua-duanya banyak menggunakan bahasa isyarat.

Beberapa perkongsian video yang dimuat naik di aplikasi TikTok menjawab persoalan yang mungkin berlegar di minda kita mengenai keluarga kecil ini.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nuramalina Abd Rahman ini berkata, dia dan suaminya, Muhamad Aqil Aziad, 31, merupakan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran.

"Ya saya dan suami sejak kecil dilahirkan pekak istimewa," kata Nuramalina.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri berkerusi roda, kalau keluar berdua cari rezeki memang perlu bantuan - “Siapa tolong, moga pahala mereka seberat wheelchair ni”

ARTIKEL BERKAITAN: Berkerusi roda tetap sayang! Gadis ini setia di sisi kekasih, 2 tahun tak mengeluh jaga orang sakit... Jual ‘choco jar’ bantu tanggung kos rawatan

Menurut wanita berusia 30 tahun ini, dia dan suami berkenalan ketika sama-sama menuntut di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor sebelum kedua-duanya sepakat untuk mendirikan rumah tangga sekitar empat tahun lalu.

Kuasa Allah, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan sebagai penyeri keluarga dan kedua-duanya normal seperti kanak-kanak yang lain.

OKU 3

Nuramalina dilahirkan dengan kecacatan pendengaran sejak lahir.

Menurut Nuramalina, walaupun dia dan suami merupakan insan istimewa, tidak pernah sekali pun terdetik perasaan bimbang dalam hati mereka mengenai zuriat yang bakal dilahirkan.

"Tidak, saya dan suami tidak bimbang... bahkan kami berdoa yang terbaik buat kelahiran si bayi sehinggalah apabila mereka besar nanti. Walaupun mereka masih belum lahir, doa akan sentiasa dipanjatkan," ujarnya yang menetap di Sungai Buloh, Selangor.

Ditanya mengenai cabaran sebagai ibu bapa OKU dalam membesarkan anak-anak, Nuramalina berkata dia dan suami tidak pernah menganggap kekurangan diri mereka sebagai masalah.

Tetaplah kuat dalam menempuh segala dugaan dan bersyukur dengan rezeki yang diberi Allah, tak kira bagaimana, tetap ucapkan Alhamdulillah.

NURAMALINA ABD RAHMAN

Malah sejak kedua-dua anak masih kecil, Nuramalina dan suami sudah mula mengajar bahasa isyarat ringkas sesuai dengan usia mereka.

"Sejak anak-anak saya berumur setahun, saya dan suami sudah mula mengajar serba sedikit bahasa isyarat dan mereka memahami situasi ibu bapa mereka yang istimewa.

"Dalam bertutur pula mereka diajar oleh keluarga saya dah keluarga mentua saya. Apa contoh isyarat mudah? Reka saja isyarat basuh tangan, kereta, motor, busuk, tidur, papa, mama, susu dan sebagainya.

"Sambil kita mesti tunjukkan isyarat tu dan galakkan anak meniru isyarat tangan ni," ujar ibu kepada dua cahaya mata, Nur Ainuha Qamariah (tiga tahun) dan Nur Aqila yang berusia dua tahun.

OKU 2

Nur Ainuha Qamariah dan Nur Aqila menjadi penyeri buat Nuramalina dan suami.

Tidak menyangka perkongsian videonya mengundang perhatian warga maya, Nuramalina meluahkan rasa syukur dan terharu dengan doa serta kata-kata semangat yang dititipka oleh netizen.

"Tetaplah kuat dalam menempuh segala dugaan dan bersyukur dengan rezeki yang diberi Allah, tak kira bagaimana, tetap ucapkan Alhamdulillah," ujarnya lagi.

Sedikit perkongsian mengenai Nuramalina, wanita ini mengusahakan bisnes sendiri, Kotak Dari Hati, iaitu perkhidmatan gubahan untuk 'gift box' sejak setahun lalu bagi membantu suaminya yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Untuk rekod, beberapa video yang dimuat naik di aplikasi TikTok meraih melebihi 11,000 sehingga 136,000 jumlah tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain