suria

Tak tenang kalau pergi pasar tak angkut kucing terbiar, anjing pun dibela - “Dah nak balik, mak kata ada benda lupa beli”

Si ibu mengambil kucing terbiar di pasar untuk dibawa pulang ke rumah.

VIDEO memaparkan gelagat seorang makcik mengusung seekor anak kucing untuk dibawa pulang ke rumah meraih perhatian netizen.

Ketika dihubungi mStar, anak perempuannya, Nurul Fitriah Athirah Jalaluddin, 20, berkata rakaman diambil pada Ahad lalu ketika dia dan ibunya, pergi ke pasar pagi yang merupakan aktiviti mingguan mereka.

Dia yang lebih senang disapa Tyra menceritakan semula kisah di sebalik video tular itu yang melibatkan ibunya, Supiah Ibrahim, 55.

"Masa berjalan dengan ibu memang saya dah nampak ada anak kucing sedang main-main dalam satu kedai dekat pasar ni. Saya sempat pergi dekat sebab nak tengok.

"Saya ternampak ada seekor lagi kucing. Mula-mula tu memang rasa nak bawa balik juga tapi takut pula mungkin kucing tu bertuan jadi saya batalkan niat.

"Jadi selepas selesai beli barang basah, kami pun masuk kereta untuk pulang. Tapi ibu cakap ada benda lain terlupa nak beli," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas bagi kucing makan baru fikir nak sahur... Suami isteri belum punya zuriat bahagia kongsi rezeki dengan kucing jalanan

ARTIKEL BERKAITAN: Bagaikan terubat, pasangan belum dapat zuriat sambut raya dengan ‘anak’... siap masak sendiri juadah ayam rebus buat kucing terbiar

Mengenali sikap ibunya yang kasih terhadap binatang, dia yang merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik sempat memberi 'pesanan ringkas' sebelum wanita itu bersendirian menuju semula ke pasar.

Seperti yang dijangka olehnya, tidak lama kemudian ibunya kembali ke kereta membawa anak kucing yang mereka lihat sebelum ini dan ketika itulah Tyra membuat rakaman.

"Dalam video tu saya duduk dalam kereta sambil rakam mak bawa keluar kucing tadi. Masa dah nak balik tu mak pergi semula dalam pasar sebab katanya ada barang terlupa beli.

Antara kucing pasar dibawa pulang Tyra dan ibu.

"Masa mak keluar kereta, saya cuma suruh mak tanya orang di kedai tu sama ada kucing tu ada mak atau bertuan? Kalau ada saya kata jangan diambil pula.

"Tapi lepas tu dari jauh saya nampak mak dah pegang kucing tu. Niat memang nak rakam video suka-suka je. Tak sangka viral pula video tu dekat TikTok," ujarnya lagi yang menetap di Manjung, Perak.

Tyra yang sudah kematian bapa berkata, dia dan adik beradik yang lain kini menggalas tanggungjawab menjaga ibu di rumah.

Bercerita lanjut, Tyra berkata terdapat beberapa ekor kucing dan dua ekor anjing di rumah mereka kerana masing-masing suka membawa haiwan-haiwan terbiar pulang ke rumah.

Kami sekeluarga memang pencinta haiwan terutama sekali pada kucinglah.

FITRIAH ATHIRAH

"Tapi tak semua kucing dekat pasar kami bawa ke rumah. Yang mana tak bawa balik, kami tetap akan bagi makan.

"Kami sekeluarga memang pencinta haiwan terutama sekali kucinglah. Anjing dua ekor memang kami bela dari kecil tapi dilepaskan di luar rumah saja. Sampai dah besar pun datang rumah kami untuk cari makanan.

"Tapi dekat rumah kami sekarang tak banyak dah kucing atau anjing sebab hilang, orang ambil bela dan ada juga yang mati. Kalau anak-anak kucing kami kurung dalam sangkar yang disediakan makanan dan tempat buang najis," ujarnya lagi.

Ahli keluarga Tyra.

Hantaran yang dibuat Tyra meraih perhatian netizen dengan ramai yang memuji kebaikan ibunya.

Sebagaimana kita ketahui, ramai individu akan membuang kucing sendiri atau kucing terbiar di pasar namun berbeza pula dengan ibu Tyra.

Maka tidak hairanlah apabila ramai yang mendoakan kebaikan dan kesejahteraan wanita itu untuk terus berbakti kepada haiwan-haiwan terbiar ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain