suria

Geram pasar raya tak bagi plastik, pelanggan puas hati dapat aniaya, susahkan staf! Balik rumah ajar 2 rakan taktik kotor sama

Seorang lelaki mengelakkan diri daripada membayar barang dibeli kerana tiada plastik disediakan. -Gambar hiasan

TINDAKAN seorang pelanggan yang melakukan sesuatu yang tidak bermoral mengundang kecaman netizen.

Pelanggan tersebut berkongsi cerita dan pengalamannya membeli barang basah, dipercayai di sebuah pasar raya menerusi hantaran di grup Facebook B40 Buat Perangai Apa Harini.

Katanya, pasar raya berkenaan tidak menyediakan plastik untuk pelanggan membawa pulang barang-barang yang dibeli.

"Saya pergi beli ayam dua ekor, ikan dua kilogram. Kesemuannya dipotong siap-siap. Selepas potong, saya belilah barang-barang lain juga. Harganya adalah dalam RM300 lebih.

"Selepas ke kaunter dia scan (imbas harga) keseluruhannya dan tolak tepi (barang) lalu minta saya buat bayaran. Saya kata macam mana nak bawa balik tak ada plastik? Dia kata memang tak bagi plastik.

"Saya kata okay sekejap. Saya ambil bakul dekat kereta. Dia kata bayar dulu boleh encik? Sebab belakang tu ramai orang beratur nak bayar. Kalau boleh tak nak tunggu," ceritanya di posting Facebook.

Seorang pelanggan membeli barang basah di sebuah pasar raya. -Gambar hiasan

Katanya, disebabkan tiada plastik disediakan, dia mendapat idea untuk mengelak dan melarikan diri daripada membayar barang basah dibeli.

Dia kemudian memberi alasannya tertinggal wang di dalam kereta dan terpaksa meninggalkan kaunter untuk mengambilnya wang serta bakul untuk meletak barang-barang yang dibeli.

Taktik kotor tersebut ternyata membolehkan dia keluar dan melarikan diri.

"Saya buat-buat meraba poket seluar sambil kata alamak duit pun dalam keretalah. Kejap ya... jap jap.

"Saya berlari-lari anak pergi dekat kereta terus tinggalkan mart dia sebab tak bagi saya plastik. Tak kan saya b***h nak support perniagaan kedekut.

"Terpaksalah ayam dan ikan yang dipotong tu mereka letak balik dekat kawasan lauk (belum dibeli)," kata pelanggan itu, berpuas hati dengan taktik kotornya yang berjaya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Semua barang kau harga kafir" - Peniaga umur 14 tahun terkesan dengan pelanggan biadab, mahu lenyapkan ayat 'customer is always right'

ARTIKEL BERKAITAN: Order ‘kencang’ dari pagi sampai malam... video sayu peniaga dikompaun selepas jual 5 botol air terima 1.3 juta tontonan!

Berasa bangga dengan taktik dan penganiayaan yang dibuat, lelaki ini kemudiannya 'menghasut' rakan-rakan lain supaya melakukan perkara sama dan mereka mengikut apa yang disuruh.

Disebabkan perbuatan mereka, pasar raya tersebut bertindak menggantungkan notis pemberitahuan menyatakan tiada plastik disediakan untuk pelanggan.

"Saya balik rumah dan pakat dengan kawan. Saya bagi RM10 suruh buat benda sama petang tu. Sama juga cuma pekerja dekat kaunter tu orang lain.

"Esok saya berpakat dengan kawan lain pula buat benda sama. Cuma kali ni modal saya suruh kawan cakap duit tak cukup dan suruh kaunter tunggu untuk ambil duit dan potong ayam awal-awal.

"Hari ketiga saya tengok dia gantung banner tulis 'Di sini tidak menyediakan plastik'. Masa tu saya tengok orang dah berkurang masuk mart (pasar raya) dia. Padan muka," katanya lagi.

Berpuas hati taktiknya berjaya, individu tersebut mahu melakukan perkara sama terhadap premis lain yang tidak menyediakan plastik kepada pelanggan.

Kalau pun tak suka, kau dah menghasut orang buat benda merugikan orang lain. Semakin sempit rezeki.

NETIZEN

"Nanti saya nak buat lagi dekat kedai lain pula. Best kenakan orang macam mereka. Biarpun mereka pekerja tapi dia tidak memaklumkan awal-awal sebelum masuk membeli kepada pelanggan.

"Itu salah dia bukan bos dia. Bos dia rugi juga pelanggan ramai dah tak datang," katanya lagi.

Bagaimanapun, rata-rata netizen berang dengan tindakannya dengan menyatakan ceritanya ini tidak kelakar sama sekali.

Malah, ada juga netizen berpendapat bahawa pelanggan ini mempunyai masalah hati dan tiada orang lain akan melakukan perkara sama.

Komen netizen di Facebook.

"Tak lawak pun. Semoga Allah persulitkan segala urusan. Kau dah menganiaya. Kalau pun tak suka, kau dah menghasut orang buat benda merugikan orang lain. Semakin sempit rezeki.

"Kalau sekali terkena isu plastik tu kami boleh terima. Kalau ajak orang lain buat dan ada niat nak kenakan peniaga lain pula itu tandanya anda mempunyai masalah hati.

"Kenapa buat perangai macam ni sebab plastik je ke. Semoga kebodohan encik tak merebak dengan pantas pada orang dalam grup ni," antara komen netizen pada hantaran asal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain